Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

COVID-19: Nikah online jalan keluar pasangan tidak perlu tunda dirikan rumah tangga?

Dengan banyak negara melaksanakan pelbagai langkah demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, pastinya banyak rancangan terjejas dan tidak dapat diteruskan.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Nikah online jalan keluar pasangan tidak perlu tunda dirikan rumah tangga?

Pasangan ini bernikah secara online. (Gambar: JAWI/Facebook)

Diterbitkan : 20 Apr 2020 09:23PM Dikemas Kini : 21 Apr 2020 12:18AM

AGENSI: Dengan banyak negara melaksanakan pelbagai langkah demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, pastinya banyak rancangan terjejas dan tidak dapat diteruskan.

Antaranya termasuk rancangan untuk mendirikan mahligai rumah tangga kerana perintah kawalan pergerakan serta perhimpunan tidak dibenarkan.

Namun pada Sabtu (18 Apr), Malaysia melaporkan akad nikah pertama yang disempurnakan menerusi wadah online.

Dengan sekali lafaz, pasangan bernama Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif - kedua-duanya berusia 29 tahun - sah bergelar suami dan isteri melalui sidang video.

BAGAIMANA AKAD NIKAH DIJALANKAN?

Menurut agensi-agensi media Malaysia, majlis pasangan berkenaan berlangsung di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki tidak berada di tempat sama.

(Gambar: JAWI/Facebook)

Bapa pengantin perempuan menjadi wali pernikahan dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hadir di rumah pengantin perempuan.

Dr Zulkifli menerusi catatan Facebooknya berkongsi bahawa majlis tersebut selesai dijalankan dalam tempoh 15 minit sahaja dan ia dijalankan berpandukan tatacara ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Beliau menambah: "Usaha ini selari dengan keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang membenarkan majlis akad nikah secara dalam talian."

HANYA BOLEH DILAKUKAN DI BEBERAPA NEGERI

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di lamannya mengesahkan majlis akad nikah kini boleh dilakukan secara online.

Inisiatif itu pula hasil kerjasamanya dengan Jabatan Agama Islam negeri-negeri "bagi tujuan memberikan kemudahan kepada masyarakat umumnya dan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan".

Permohonan bernikah secara online bagaimanapun hanya dibuka bagi pendaftaran yang dibuat di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Meskipun demikian, laman rasmi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia - JAKIM turut menyatakan, inisiatif itu "akan terus diperluaskan bagi merangkumi negeri-negeri lain dalam masa terdekat."

PASANGAN ISLAM DI UAE JUGA NIKAH ONLINE

Antara negara yang melaksanakan nikah secara online berikutan COVID-19 adalah Amiriah Arab Bersatu.

(Gambar: Fernanda Méndez/Unsplash)

(Gambar hiasan: Fernanda Méndez/Unsplash)

Menurut Agensi Berita Emiriah, Kementerian Keadilan membolehkan penduduk untuk menetapkan tarikh bagi majlis nikah secara online.

Ini bagaimanapun memerlukan pasangan terdahulu menyerahkan permohonan dan dokumen-dokumen penting.

Pasangan akan 'ditemu bual' seorang kadi secara maya untuk mengesahkan identiti mereka. Selepas majlis, mempelai akan mendapat pengesahan sijil perkahwinan mereka menerusi kiriman mesej.

Agensi berita itu menambah, pasangan hanya perlu memastikan semua yuran dibayar secara online dan kontrak ditandatangani secara elektronik.

Kontrak akan dihantar menerusi email kepada Mahkamah Syariah.

Khidmat itu dikatakan dilancarkan "demi menjaga kesihatan awam dan mereka yang bekerja di mahkamah untuk mengawal kehadiran pekerja".

Apa pandangan anda soal nikah online?  

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan