Images

COVID-19: Khidmat 'Pick & Go' buka peluang rezeki bagi pekerja penghantaran

BERITAmediacorp: Sejak langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dan #Dudukrumahsaja dilaksanakan, khidmat penghantaran menjadi antara yang paling penting sekarang ini sehingga menyaksikan munculnya pemain-pemain baru.

Ia termasuklah syarikat 'Pick & Go' yang ditubuhkan dua anak Melayu.

Antara kelebihannya, syarikat baru itu menawarkan komisen lumayan kepada pekerja penghantar.

PENDAPATAN MINGGUAN NAIK 3 KALI GANDA

Jika lazimnya, Encik Muhammad Kassim sibuk menghantar penumpang ke destinasi mereka, beliau kini lebih giat menghantar makanan pula menerusi syarikat 'Pick & Go'.

Ekoran tempoh pemutus rantaian jangkitan atau 'Circuit Breaker', mata pencarian pemandu kereta sewa privet itu terjejas sehinggakan pernah membawa pulang S$50 sahaja dalam satu-satu hari.

Namun, sejak bersama 'Pick & Go', syarikat itu membayarnya antara S$10 hingga S$15 bagi setiap penghantaran.

Pendapatan Encik Kassim kini naik tiga kali ganda kepada sekitar S$1,200 seminggu.

"Dengan 'Pick & Go' ini, kami masih boleh mencari pelanggan dan penumpang, jadi di antara waktu itu, kami boleh membuat penghantaran makanan.

"Mungkin dalam satu hari itu, kami boleh buat enam perkhidmatan makanan dan mungkin mengambil dalam lima atau enam penumpang kereta sewa privet," jelas Encik Kassim yang merupakan antara yang pertama menyertai 'Pick & Go'.

KEUNTUNGAN SYARIKAT CUMA S$2 SAHAJA

Khidmat Pick & Go ditubuhkan Encik Feroz Ghulam Mohamed dan Encik Muhammad Hazwan Hamdan.

Encik Feroz sebenarnya bekerja selaku Pengurus Besar syarikat pelancongan Travelways, milik ayahnya. Syarikat penghantaran baru itu tercetus setelah perniagaan pelancongan kini terhenti.

'Pick & Go' kini punya lebih 30 orang pekerja penghantar makanan. Lapan restoran yang bekerjasama dengannya termasuklah Warung Pariaman dan Tash Tish Tosh.


Encik Feroz berkata buat masa ini, 'Pick & Go', yang baru dimulakan awal bulan April 2020, tidak mengambil banyak untung kerana bagi setiap kiriman, pekerja penghantar meraih lebih 80 peratus komisen. Misalnya, bagi setiap penghantaran bernilai S$12, mereka mendapat S$10 dan dari S$17 pula, mereka mendapat S$15.

Menjelaskan mengapa beliau mengambil langkah ini kata Encik Feroz: "Apabila para penghantar dibayar dengan baik, mereka kerja dengan gembira. Tiada makanan dan air yang tumpah. Yang paling penting apa yang restoran bayar dari pelanggan, pelanggan yang bayar penghantaran itu. Jadi kita membayar lebih kepada para penghantar jadi itulah sebab kenapa keuntungan kami cuba S$2."

PENJUALAN MEROSOT SEBANYAK 90% DEK COVID-19

Model perniagaannya itu tidak menggunakan aplikasi bijak atau Apps.

Restoran yang menjadi pelanggannya juga tidak dikenakan bayaran 'langganan' - sekitar komisen penghantaran sahaja.


Bagi restoran seperti Tash Tish Tosh, 'Pick & Go' nampaknya membantu merancakkan semula penjualannya setelah merosot 90 peratus dek penularan COVID-19.

"Melalui Pick & Go, ada lah muncul pelanggan-pelanggan baru yang mana sebelum ini agak sukar nak datang, restoran mungkin jauh daripada kediamaan mereka. Jadi dengan adanya Pick & Go ini, solusinya untuk mereka dapat makan makanan kami," ujar seorang jurucakap Tash Tish Tosh, Encik Azri Ariffin.

Pick & Go juga akan membuat penghantaran waktu sahur bagi Ramadan ini.

Lantaran itu khidmat penghantarannya akan dilanjutkan sehingga 4 pagi.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/tq

Top