Images
  • cna women's
    Mediacorp mengumumkan segmen 'Women's' khusus untuk kaum wanita di CNA Lifestyle. (Gambar: CNA)

CNA Lifestyle lancar segmen baru 'Women's', tumpu kepada suara, minat kaum Hawa

SINGAPURA: Kaum hawa kini mempunyai satu lagi wadah baru untuk mendapatkan berita atau pandangan tentang topik-topik yang penting lagi dekat di hati mereka - seperti kesihatan peribadi, kewangan, kecergasan diri dan isu di tempat kerja.

Mediacorp mengumumkan pada Rabu (2 Jun) bahawa CNA Lifestyle melancarkan sebuah bahagian kandungan baru, khusus buat wanita berusia 25 tahun dan ke atas.

CNA Women's menyediakan pembaca wanita dengan rencana-rencana yang memberi sudut pandangan informatif, mencetus inspirasi serta yang boleh memperkasakan pandangan mereka mengenai hal-ehwal yang relevan buat mereka pada setiap peringkat kehidupan.

Para pembaca boleh menjangkakan tulisan lebih terperinci mengenai personaliti-personaliti unggul, paparan lebih mendalam, nasihat bantuan kendiri dan banyak lagi. Kandungan yang diterbitkan pula menyelami topik-topik seperti kecelikan kewangan dan pelaburan, kesihatan, keluarga dan kesejahteraan diri, kecantikan serta fesyen. Selain itu, terdapat juga ruangan komentar berhubung isu-isu sosio-kebudayaan lebih meluas yang memberi kesan kepada wanita.

“CNA Women's dibangun berdasarkan daya tarikan jenama CNA Lifestyle yang mapan untuk menawarkan perspektif tersendiri mengenai isu wanita," kata Ketua Pegawai Komersil dan Digital Mediacorp Parminder Singh.

"Kami sedar keperluan pembaca wanita yang arif untuk mengadakan perbincangan lebih mendalam bagi topik-topik yang kontemporari dan mencerminkan keperluan serta aspirasi mereka. Kami berharap dapat memudahkan dialog seumpama itu dengan bekerja rapat dengan jenama rakan kongsi kami."

Salah satu rakan kongsi yang bekerjasama dengan CNA Women's ialah UOB untuk menerbitkan sebuah siri mini tentang kecelikan kewangan bagi wanita dari Jun hingga Disember. Siri itu akan meneroka hubungan pelbagai aspek yang mengaitkan wanita dengan wang dan bagaimana mereka boleh memanfaatkan alat kewangan untuk menyokong mereka di tahap berbeza dalam kehidupan mereka.

CNA Women's juga akan menawarkan peluang kepada rakan-rakan kongsi untuk memanfaatkan keupayaan pelbagai platform media Mediacorp bagi mencipta serta menyesuaikan kempen jenama yang boleh dikaitkan dengan pelbagai segmen wanita.

Jenama-jenama akan berpeluang meneroka kerjasama melalui paparan dan video bertema yang tertumpu kepada wanita selain tajaan produk kecantikan dan fesyen. Salah satu contoh adalah kerjasama berterusan Mediacorp dengan SK-II.

Cerita-cerita berjenama juga boleh diterbitkan di bawah naungan Squad, sebuah siri video dihoskan para personaliti Mediacorp dan diterajui Brand Studio iaitu cabang pemasaran kandungan Mediacorp.  

- CNA/FZ/fz

Top