Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

'Cik Pon' bakal jelma kali pertama di rumah Pontianak USS

Buat julung-julung kalinya, acara tahunan Halloween Horror Nights di Universal Studios Singapore ‘menyediakan’ sebuah rumah hantu khas bagi kisah legenda Pontianak. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bunyi mengilainya saja sudah cukup untuk meremangkan bulu roma. Sering juga masyarakat kita mendengar tentang kisah 'Cik Pon' atau Pontianak tetapi mungkin masih ramai yang tidak pernah bertentang mata 'live' dengannya? 

Kalau anda teringin, ini ada 'peluang’ untuk anda.

Buat julung-julung kalinya, acara tahunan Halloween Horror Nights (HHN) di Universal Studios Singapore (USS) ‘menyediakan’ sebuah rumah hantu khas bagi kisah legenda Pontianak.  

Baru-baru ini, BERITAmediacorp berkesempatan mengunjungi rumah hantu itu, yang bertemakan sebuah kampung tradisional.

Pihak kami juga bertemu Cik Waheedah Osman, yang merupakan salah seorang pencetus idea untuk mengadakan 'kampung Cik Pon' itu.

KAKITANGAN DIHANTUI KISAH IKONIK NUSANTARA

Lebih dikenali sebagai Ponti dalam kalangan kakitangan USS, watak Pontianak ini sebenarnya tidak asing lagi bagi acara HHN.

Sepanjang tujuh edisi HHN sebelum ini, watak Pontianak pernah muncul di rumah-rumah hantu yang lain seperti di ‘Old Changi Hospital’ dan ‘True Singapore Ghost Stories’.

Buat julung-julung kalinya, acara tahunan Halloween Horror Nights di Universal Studios Singapore ‘menyediakan’ sebuah rumah hantu khas bagi kisah legenda Pontianak. (Gambar-gambar: Illazabella Yusni/BERITAmediacorp)

Salah satu pelakon seram memainkan watak Pontianak di HHN tahun ini. 

“Kami memerhatikan yang para pengunjung apabila mereka melihat kelibat Pontianak ini selalu seperti dipukau. Ada yang menangis, berteriak. Jadi dari situlah tercetus ilham untuk adakan satu rumah yang dikhaskan untuk watak Pontianak ini. Dan untuk rumah ini, kami tahu yang watak Pontianak dan kawasan perkampungan Melayu harus disatukan,” kata Waheedah Osman salah seorang penerbit HHN.

Namun, persiapan bagi rumah hantu Pontianak ini bukan proses yang mudah. Bukan saja ia memerlukan kakitangan yang bekerja keras, malah juga mempunyai semangat yang kuat. 

Dengan kisah ikonik yang diadaptasikan dan diceritakan berkali-kali dalam kalangan orang Melayu di rantau ini, ramai kakitangan HHN sendiri juga dihantui oleh legenda Pontianak yang mereka kenali sejak kecil lagi.

“Cabarannya banyak. Antaranya tiada kakitangan yang mahu membuat rumah ini termasuk saya. Terlalu seram. Tapi lama-lama ada juga kakitangan yang ingin menjayakan rumah ini,” kata Cik Waheedah yang sebaliknya, memilih untuk menerbitkan rumah hantu ‘Stranger Things’ bertemakan cereka sains atau pun ‘sci-fi’.

PERSIAPAN MENGAMBIL MASA SETAHUN

Disebut-sebut sebagai acara tahunan terbesar di USS, proses untuk menjayakan HHN yang bermula sejurus sesudah acara tahun melabuhkan tirainya.

Menurut Cik Waheedah, setelah pasukan penerbit dan pengarah membuat keputusan pada tahun lalu untuk mengadakan rumah hantu Pontianak, banyak penyelidikan dijalankan.

Antaranya, menonton cerita-cerita Pontianak lama dan juga baru untuk mendapatkan sumber inspirasi bagi adegan-adegan dalam rumah hantu tersebut.

Filem-filem cerita Pontianak dari era 1950-an hingga ke 1960-an menjadi sumber inspirasi. (Gambar: IMDb) 

“Setiap bab kisah Pontianak diterjemah dan dijadikan adegan-adegan utama dalam rumah ini. Pengunjung akan melihat bagaimana watak Pontianak, iaitu wanita ini apabila dia meninggal dunia, apabila dia bersalin. Dan bagaimana dia bangkit semula, membuat huru-hara di dalam kampung ini,” tambah Cik Waheedah.

SERAM & REALISTIK: TUMPUAN DIBERI KEPADA SETIAP ELEMEN

Dari bau bunga melati, ke bunyi suara mengilai, perasaan takut bakal meresap ke setiap deria pengunjung rumah hantu Pontianak ini.

Elemen-elemen yang digunakan dalam penceritaan kisah legenda ini mencerminkan mitos Pontianak yang sering didengar oleh orang Melayu.

“Antara mitos yang kita pernah dengar ialah jangan tinggalkan jemuran di atas pada malam hari kerana siapa tahu Pontianak akan datang ke rumah itu. Dan cerita Pontianak juga selalu ada kaitan kuat dengan pokok-pokok pisang. Jadi kami akan mengadakan elemen-elemen seperti ini di rumah tersebut,” kata Cik Waheedah.

Luar rumah hantu Pontianak di USS. 

Bagi menjayakan rumah hantu ini, setiap elemen diberikan tumpuan, dari hiasan rumah hingga ke penggunaan kesan khas atau pun ‘special effects’. Sebagai sumber rujukan, rumah hantu Pontianak ini bertemakan kampung tradisional Melayu dari era 1950-an hingga ke 1960-an.

“Antara cabaran utama kami ialah bagaimana untuk menonjolkan watak Pontianak ini boleh terbang. Jadi setelah berdiskusi bersama kru, kami pilih untuk menggunakan ‘special effects’ dan gaya aksi oleh para pelakon,” tambah Cik Waheedah.

Satu lagi elemen utama merupakan persiapan watak Pontianak itu sendiri. Mengambil masa lebih kurang dua jam, solekan pelakon-pelakon Pontianak ini dikendalikan dengan teliti.

"Yang paling penting ialah mata. Dengan menggunakan solekan, kami boleh mengubah bentuk mata mereka untuk menjadi lebih menyeramkan dan realistik. Jadi kita gunakan warna gelap seperti hitam dan celak berwarna merah untuk bahagian mata,” kata Nhurul Hidayah Sulaiman, seorang jurusolek.

Di samping itu, prostetik merupakan salah satu elemen penting dalam solekan Pontianak supaya ia kelihatan tiga dimensi atau pun 3D, menurut Cik Nhurul yang sudah bertugas di HHN selama empat tahun.

“Untuk menggunakan prostetik bukan senang. Kalau kita salah campur sukatan warnanya, ia tidak akan menjadi,” tambah beliau.

Edisi kelapan Halloween Horror Nights di Universal Studios Singapore bakal berlangsung dari 27 September hingga 31 Oktober.

Sumber : BERITA Mediacorp/zz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan