Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Chalet konsep seni bina Keukenhof, tarikan baru Batu Kurau

Chalet Latip D’Ayer Itam di Kampung Air Itam, Batu Kurau, yang terletak kira-kira 20 km dari bandar Taiping memiliki konsep seni bina Keukenhof dari Belanda pada setiap chalet yang diusahakan Encik Abdul Muzhafar Abdul Manab, 25 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Chalet konsep seni bina Keukenhof, tarikan baru Batu Kurau

(Gambar: Chalet Latip D’Ayer Itam/Facebook)

Diterbitkan : 21 Jul 2020 09:00PM Dikemas Kini : 21 Jul 2020 09:05PM

TAIPING: Chalet Latip D’Ayer Itam di Kampung Air Itam, Batu Kurau, yang terletak kira-kira 20 km dari bandar Taiping memiliki konsep seni bina Keukenhof dari Belanda pada setiap chalet yang diusahakan Encik Abdul Muzhafar Abdul Manab, 25 tahun.

Konsep bilik segi tiga berwarna-warni itu dicetuskan oleh Encik Abdul Muzhafar yang mengambil alih pengurusan chalet daripada ayahnya, Encik Abdul Manab Abdullah, 64, pada 2018, di sekitar kawasan seluas 3.24 hektar dikelilingi pemandangan indah pokok yang menghijau selain mempunyai jambatan gantung untuk merentasi Sungai Lata Air Hitam, yang mengalir di bawahnya.

"Bila saya habis belajar pada 2018, saya memikirkan untuk membuat pengubahsuaian agar lebih menarik dan segar. Saya teringat konsep di Keukenhof yang mana bumbungnya berbentuk segi tiga untuk mudahkan salji jatuh dan saya fikir ia juga sesuai di sini untuk elak air hujan bertakung," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau, yang juga seorang graduan undang-undang dari Universiti Oxford, United Kingdom, sebenarnya boleh saja membina kerjaya sebagai pengamal undang-undang, satu kerjaya profesional.

Namun anak bongsu daripada tiga beradik itu nekad menukar haluan menjadi pengusaha pusat pelancongan bukan sahaja kerana ingin membantu ayahnya, tetapi didorong minat yang mendalam.

Tidak menyesal dengan haluan yang dipilih, Encik Abdul Muzhafar berkata, chalet, yang kini mempunyai 32 bilik itu, mula dibangunkan oleh ayahnya atau lebih dikenali sebagai Latip dalam kalangan penduduk setempat pada akhir 2018.

Dia yang dibantu abangnya, Encik Abdul Muhaimin, 27, berkata, mereka tidak menyangka selepas mengubah suai bilik daripada bentuk biasa kepada konsep Keukenhof, ia menjadi tular dan mendapat permintaan ramai sehingga talian telefon rasmi untuk tempahan terpaksa ditambah daripada satu kepada lima. 

SAMBUTAN SEPANJANG TEMPOH PKPP

Keputusan kerajaan membenarkan sektor pelancongan domestik beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menjadi 'penawar' kepada rakyat tempatan yang ingin merawat jiwa selepas hampir empat bulan duduk 'terperuk' di rumah akibat penularan COVID-19.

Berita gembira itu, bukan sahaja disambut baik oleh orang ramai malah memberi impak yang tinggi kepada pengusaha hotel dalam merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik.

Di Perak sahaja, setakat 4 Julai lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Cik Nolee Ashilin Mohammed Radzi memaklumkan sektor pelancongan di negeri ini menerima 7,736 tempahan hotel di seluruh Perak, sejak PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun lepas.

Walaupun komited menarik kehadiran pelancong, kerajaan negeri akan memastikan pengusaha pelancongan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan COVID-19, kata Cik Nolee Ashilin.

Encik Abdul Muzhafar pula menjelaskan, sejak PKPP diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, chalet itu menerima sambutan luar biasa dari dalam dan luar negara termasuk pelancong dari Belanda sendiri.

"Sejak pengumuman Perdana Menteri, chalet kami tidak putus-putus menerima panggilan daripada mereka yang ingin bercuti di chalet kami. Alhamdulillah ada yang datang dari Johor, Terengganu dan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, dia dan abangnya, menawarkan diskaun antara lima hingga 10 peratus manakala diskaun sehingga 25 peratus kepada petugas barisan hadapan bermula pada harga serendah RM150 (S$49) bergantung kepada saiz bilik yang mampu memuatkan dua hingga maksimum 10 orang.

"Bagaimanapun, mereka yang ingin bercuti di sini perlu hubungi kami terlebih dahulu kerana kebanyakan bilik sudah penuh pada tarikh-tarikh tertentu dan kami tidak mahu ada pengunjung yang datang dari jauh tetapi terpaksa balik dan hampa," katanya.

KONSEP BILIK JEPUN, FLYING FOX 

Sebagai nilai tambah, pembinaan kolam renang, dewan, surau dan latihan tali tinggi seperti ‘flying fox’ sedang dibangunkan dan dijangka siap sepenuhnya September ini.

"Pada awalnya, kesemua pembinaan itu, sepatutnya siap pada April lepas namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lepas, segala kerja pembinaan yang dijalankan awal tahun ini, terpaksa dihentikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau dan abangnya juga bercadang membuat chalet ala-ala Jepun yang lebih praktikal untuk pelancong ‘backpacker' serta pasangan yang datang untuk berbulan madu.

“Kita sedang merangka kerana kita mahu pelbagaikan pilihan bilik kepada pengunjung. Kita jangka untuk membina chalet ala-ala Jepun itu awal tahun hadapan,” katanya.

Mengakui aktiviti agro pelancongan semakin mendapat tempat di hati pelancong tempatan dan luar negara, Encik Abdul Muzhafar berkata beliau telah menghantar kertas kerja kepada Jabatan Pertanian untuk mendapatkan geran pada akhir tahun lepas sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di Perak khususnya di Batu Kurau.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan