Skip to main content

Iklan

Iklan

Teknologi

CEO Apple gesa Bloomberg tarik balik laporan berhubung cip risikan

Ketua Eksekutif Apple Inc Tim Cook pada Jumaat memberitahu satu media berita online bahawa Bloomberg perlu menarik balik laporannya yang mendakwa sistem komputer dalaman Apple disusupi cip komputer hasad yang dipasang ejen perisik China.

Anggaran Waktu Membaca:
CEO Apple gesa Bloomberg tarik balik laporan berhubung cip risikan

(Gambar: Chance Chan/Reuters)

Diterbitkan : 20 Oct 2018 10:08AM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 10:10AM

REUTERS: Ketua Eksekutif Apple Inc Tim Cook pada Jumaat memberitahu satu media berita online bahawa Bloomberg perlu menarik balik laporannya yang mendakwa sistem komputer dalaman Apple disusupi cip komputer hasad yang dipasang ejen perisik China.

Bloomberg bagaimanapun mempertahankan laporannya, yang diterbitkan awal bulan ini.

"Tidak ada kebenaran dalam laporan mereka tentang Apple," Encik Cook memberitahu BuzzFeed News dalam temu bual dengan penerbitan dalam talian itu. "Mereka perlu melakukan perkara yang betul dan menarik balik laporan itu."

Apple mengesahkan kesahihan laporan BuzzFeed News kepada Reuters tetapi enggan mengulas lanjut. Komen Encik Cook dibuat menyusuli penafian oleh Apple yang dimasukkan Bloomberg dalam laporannya, kenyataan yang diposkan di laman Apple dan surat kepada para penggubal undang-undang Amerika Syarikat.

Apple enggan mendedahkan sama ada pihaknya merancang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Bloomberg.

Sebagai repons kepada pertanyaan Reuters berhubung permintaan Encik Cook untuk menarik balik laporannya seperti dilaporkan dalam BuzzFeed News pada Jumaat, Bloomberg mengulangi bahawa ia yakin dengan laporannya, yang dijalankan dalam masa lebih dari setahun. Agensi berita itu menyatakan bahawa 17 sumber mengesahkan "manipulasi perkakas dan unsur-unsur serangan lain”.

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa unit Tentera Pembebasan Rakyat China menyusup rantaian bekalan pembuat perkakas komputer Super Micro Computer Inc untuk menanam cip hasad yang boleh digunakan untuk mencuri rahsia korporat dan pemerintah.

Bloomberg melaporkan bahawa kira-kira 30 syarikat dan pelbagai agensi pemerintah Amerika Syarikat disasarkan oleh cip-cip tersebut, yang akan memberikan Beijing akses kepada rangkaian dalaman.

Super Micro juga menafikan laporan itu.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan