Images
  • kenny rogers
    Cawangan Kenny Rogers Roasters Singapura yang baru dibuka di Jem. 

Cawangan halal Kenny Rogers Roasters’ dibuka di Jem; hidangkan Nasi Lemak dengan mufin jagung

SINGAPURA: Restoran makanan segera Kenny Rogers Roasters (KRR) Singapura mencetuskan rasa cemas dalam kalangan sesetengah peminat dan pelanggannya apabila ia secara mendadak mengumumkan penutupan cawangan francais terakhir di Great World City meskipun baru sahaja dibuka semula kepada umum pada April lalu.

Rangkaian restoran berkonsep santai yang mengetengahkan menu utama ayam itu diasaskan oleh seorang penyanyi muzik lagu rakyat dari Amerika Syarikat, Kenny Rogers. Ia cukup digemari oleh segenap lapisan masyarakat setempat bagi hidangan-hidangan dari bahagian selatan Amerika Syarikat yang disediakan seperti ayam panggang, daging rusuk belakang, makaroni dan keju (mac & cheese) serta mufin jagung.


Hak francais KRR Singapura sudahpun diambil alih oleh syarikat makanan dan minuman (F&B) tempatan, Lao Huo Tang Group, yang juga mengendalikan rangkaian restoran sup Cina serta juga cawangan Eng’s Wantan Noodle di pusat-pusat beli-belah.
Mereka membeli hak daripada konglomerat Malaysia Berjaya Group, yang mengendalikan francais KRR di Malaysia.

Namun pada Ahad lalu (6 Oktober), KRR Singapura membuka semula cawangannya di lantai besmen yang diperbaharui di pusat beli-belah Jem di Jurong.
Selain pemilikan, KRR Singapura juga mengubah sedikit konsepnya: kini sudahpun disahkan halal dengan bahan-bahan yang digunakan di dapur semuanya daripada pembekal yang halal.

"Resipi yang digunakan masih sama tetapi harga bagi menu adalah sekitar 30 peratus lebih rendah (berbanding restoran francais terdahulu). Ia lebih dimampui sekarang," kongsi Pengarah Operasi Lao Huo Tang Group, Encik James Cheong.

Misalnya, menu utama ayam panggang restoran tersebut dahulunya berharga $18.90 tetapi para pelanggan boleh menikmatinya hanya pada harga $13.90 di cawangan Jem. Ini mungkin kerana jenama tersebut sudah tidak lagi menawarkan khidmat pelayan.

James berkongsi bahawa kumpulan syarikatnya itu merancang untuk melaburkan S$10 juta untuk membuka 10 cawangan KRR dalam tempoh lima tahun berikutnya.

Hidangan-hidangan paling laris dijual oleh KRR kini kembali dalam pilihan menu: ayam panggang, mufin jagung serta makaroni dan keju (mac & cheese). Terdapat juga hidang-hidangan baru ikan salmon dan daging stik yang diperkenalkan. Ini selain juadah 'tempatan' Kenny's Nasi Lemak yang turut ditawarkan di cawangan KRR Malaysia.


Sejajar dengan konsep santai dan pantas restoran tersebut, pelanggan perlu memesan dan membayar hidangan mereka di kaunter sebelum ia dihantarkan langsung ke meja mereka.

Pendek kata, versi kedua Kenny Rogers Roaster ini satu konsep dikemas kini yang mengetengahkan citarasa dan selera Asia dalam suasana lebih selesa untuk menjamu selera serta pilihan halal untuk memenuhi permintaan para pelanggan Muslim.  

- TODAYonline/FZ/fz

Top