Images
  • decathlon 4
    Cawangan Decathlon di Stadium Boulevard (Gambar: Decathlon)

Cawangan baru Decathlon penyewa utama The Centrepoint

SINGAPURA: Peruncit barangan sukan Decathlon akan membuka cawangannya yang baru di The Centrepoint pada tahun depan, menurut pemilik pusat beli-belah itu dalam satu kenyataan media pada Selasa (27 Ogos).

Frasers Property Singapore menyatakan Decathlon akan menjadi penyewa utama yang baru di pusat beli-belah di Orchard Road itu. Cawangan tersebut dijangka dibuka pada separuh pertama 2020.

Ini menyusuli laporan bahawa gedung serbaneka Metro, penyewa utama The Centrepoint buat masa ini, tidak akan memperbaharui pajakan sewanya setelah tamat tempoh pada bulan depan.

DECATHLON BAKAL PENUHI CITARASA PELANGGAN CENDERUNG TEKNOLOGI

Menurut Frasers Property Singapore, cawangan terbaru Decathlon itu akan memenuhi citarasa pelanggan yang cenderung kepada teknologi, dengan menawarkan ciri-ciri serta konsep "berteraskan pengalaman dan kegiatan".

Sebagai contoh, para pelanggan boleh mencuba produk-produk dalam persekitaran yang mirip keadaan sebenar melalui simulasi maya dan realiti tambahan.

Profesor Madya Ang Swee Hoon dari Jabatan Pemasaran Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata, dengan Decathlon menjadi penyewa utama, ini bermakna Centrepoint ingin memasarkan pusat beli-belah itu sebagai sebuah pusat beli-belah gaya hidup sukan.

Langkah tersebut juga boleh membantu Centrepoint untuk memikat para penyewa yang dapat memenuhi citarasa pembeli-belah yang lebih muda dan mengutamakan gaya hidup lebih aktif, menurut Prof Madya Leonard Lee.

KELAS ZUMBA, YOGA DITAWARKAN DI CAWANGAN BARU

Pengarah Urusan Decathlon Singapore Nils Swolkien berkata gedung tersebut juga akan menganjurkan acara secara kerap seperti kelas-kelas Zumba dan yoga.

Encik Swolkien menambah Decathlon akan bekerjasama dengan agensi-agensi sukan, akademi-akademi dan para pakar sukan untuk mengadakan demonstrasi dan ceramah sukan secara kerap.

Dalam kenyataan medianya, Frasers Property Singapore menyatakan Decathlon juga akan membuka cawangan 'click-and-collect' yang baru di Waterway Point. Di situ, para pelanggan boleh mengambil barang pembelian mereka dua jam setelah menempahnya secara online.

Decathlon membuka cawangannya yang pertama di Singapura pada 2016 di Viva Business Park di Bedok. Ia kini mempunyai enam cawangan di merata negara.

Awal tahun ini, ia membuka cawangannya yang terbesar di Singapura di Kallang.


Berukuran 5,000 meter persegi, Decathlon Singapore Lab di Stadium Boulevard itu turut menawarkan pelbagai program sukan dan memanfaatkan teknologi untuk menjadikan pengalaman para pelanggan lebih menarik.

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top