Images
  • carousel buffet 1
    (Gambar: Carousel)

Carousel dan Straits Kitchen kembali tawarkan hidangan bufet Ramadan

SINGAPURA: Hotel Royal Plaza on Scotts dan Hotel Grand Hyatt Singapore kembali menawarkan hidangan bufet halal di hotel masing-masing.

Bufet di Carousel dan Straits Kitchen kembali beroperasi dengan langkah-langkah jarak selamat dilaksanakan.

Sejak pandemik COVID-19 melanda tahun lalu, restoran-restoran bufet di Singapura terpaksa mengubah cara mereka menghidangkan sajian dengan menyediakan bufet a la carte, di mana makanan disajikan di atas meja para pelanggan. Pengalaman menjamu selera seperti itu tidak sama dan mungkin tidak dapat menandingi masa-masa sebelum pandemik melanda, di mana orang ramai boleh mengambil sendiri makanan mereka.

Jika itu yang anda rindukan, berita ini pasti akan menggembirakan anda!

Bufet Carousel dibuka semula sejak 12 April sementara Straits Kitchen pula mula beroperasi semalam (13 Apr). Pembukaan semula itu tepat pada masanya untuk masyarakat Islam berbuka puasa sempena Ramadan.

Carousel di Royal Plaza on Scotts


Di Carousel, para pelanggan boleh memilih hidangan yang digemari dari kaunter-kaunter bufet. Namun, para pelanggan masih tidak dibenarkan mencedok makanan sendiri. Sebaliknya, mereka hanya perlu meminta makanan yang diinginkan dan seorang kakitangan restoran akan ditugaskan di setiap kaunter untuk mencedokkan lauk-pauk yang diinginkan. Di kaunter-kaunter bufet, semua hidangan diasingkan menggunakan panel-panel bagi melindungi daripada kuman dan sebagainya. Setiap barisan bufet akan mempunyai seorang pelayan yang akan membantu para pelanggan mencedokkan makanan daripada kaunter tersebut bagi mengurangkan sentuhan antara pelanggan dan kakitangan restoran.

Para pelanggan yang sedang beratur untuk mendapatkan makanan di kaunter juga mesti memakai pelitup dan menjaga jarak selamat satu meter antara satu sama lain.

Restoran itu menawarkan semula beberapa kaunter bufetnya yang popular, termasuk kaunter makanan laut, seksyen roti dan Dapur Asia yang menjadi keistimewaannya. Menu Ramadan pula menampilkan makanan kegemaran masyarakat Melayu seperti rojak, gado gado, nasi ambeng, mi udang galah, sate dan macam-macam lagi.

Pencuci mulut bagaimanapun akan terus dihidangkan secara langsung ke meja para pelanggan. Kakitangan restoran akan membawa troli berisi pencuci mulut ke sekeliling dewan makan apabila tiba penghujung masa makan, menawarkan pilihan seperti macaron dan kek. Pilihan minuman seperti teh organik dan kopi Lavazza pula boleh dipesan dengan mudah menerusi menu digital restoran berkenaan.

Straits Kitchen di Hotel Grand Hyatt

Di Strait's Kitchen kendalian Hotel Grand Hyatt Singapore, semua lauk-pauk juga akan dicedokkan oleh kakitangan yang bertugas di kaunter-kaunter makanan. Sementara itu, minuman harus dipesan menerusi kod QR menu restoran dan akan dihantar ke meja para pelanggan.

Menu berbuka puasa restoran itu menampilkan makanan Melayu, India, Cina dan Arab. Pembuka selera yang ditawarkan termasuk fattoush (salada Timur Tengah) dan hummus, manakala menu utama pula merangkumi tulang sumsum kambing Australia yang dihidang bersama nasi kekacang, ketam cili, ayam Szechuan, udang dan bermacam-macam lagi.

Sempena bulan Ramadan, restoran itu juga menyediakan pilihan pencuci mulut yang eksotik seperti beraneka jenis kurma dari Timur Tengah dan Afrika Utara. Menu pencuci mulut juga menampilkan baklava dan basbousa (kek manis tradisional Arab).

Pencuci mulut tempatan yang ditawarkan dalam menu termasuk pisang goreng, aiskrim perisa durian, aiskrim mangga dan bermacam-macam lagi.

Selain menu Ramadan, Carousel dan Strait's Kitchen juga menawarkan menu bufet tengah hari.

Jamuan Makan Malam Ramadan Carousel (12 Apr hingga 12 Mei) bermula dari harga S$75++ bagi dewasa dan S$42++ bagi kanak-kanak. Jamuan Ramadan Straits Kitchen pula (13 April hingga 13 Mei) ditetapkan pada harga S$88 bagi dewasa dan S$48++ bagi kanak-kanak. 

- CNA/AY/ha

Top