Images
  • insect repellent
    (Gambar: Agensi berita)

Cara pilih ubat halau nyamuk yang berkesan

SINGAPURA: Singapura mungkin berdepan kes demam denggi yang terburuk sejauh ini.

Setakat Isnin (13 Jul), data daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menunjukkan terdapat lebih 17,000 kes demam denggi dilaporkan tahun ini.

Ia melebihi jumlah kes denggi yang dicatatkan bagi keseluruhan tahun lalu sebanyak 15,998.

Menurut NEA, jumlah kes denggi bagi seluruh tahun ini dijangka melebihi 22,170 yang dilaporkan pada 2013, ketika Singapura dilanda wabak denggi terbesar dalam sejarah negara ini.

Musim kemuncak demam denggi di Singapura lazimnya bermulanya pada Mei dan berterusan hingga September.

Berdasarkan jumlah kes denggi yang meningkat sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, seorang doktor di klinik Healthway Medical (Woodlands), Dr Shee berkata risiko lebih tinggi berlakunya penularan demam denggi dapat dijangkakan dalam beberapa bulan akan datang.

Namun, penggunaan ubat penghalau nyamuk yang berkesan dapat melindungi seseorang daripada demam denggi.

Ia terutama sekali penting bagi mereka yang tinggal di kawasan kelompok denggi selain mereka yang didiagnos mengalami penyakit itu atau disyaki dijangkiti.

UBAT PENGHALAU NYAMUK SEBAGAI PERLINDUNGAN

Menurut NEA, beberapa ubat penghalau nyamuk yang paling berkesan mengandungi bahan-bahan aktif Deet, Picaridin atau IR3535.

Dr Shee berkata produk-produk yang mengandungi kurang 10 peratus bahan Deet adalah selamat digunakan pada kanak-kanak dan bayi yang berusia dua bulan ke atas.

Menurutnya lagi, ada segelintir individu yang mungkin memilih untuk menggunakan ubat alternatif semula jadi seperti minyak pati citronella dan kayu putih (eucalyptus) sebagai perlindungan.

Namun kata Dr Shee, keberkesanan minyak itu bergantung pada setiap individu.

Meskipun minyak pati yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan itu secara lazim dapat memberikan sedikit perlindungan daripada gigitan serangga, ia sebenarnya kurang berkesan berbanding ubat yang mengandungi Deet, picaridin dan IR3535, menurut NEA.

Dr Shee juga menasihatkan pengguna supaya membuat kajian mengenai bahan-bahan alami yang terkandung dalam ubat penghalau nyamuk sebelum menggunanya.

Beliau turut menekankan beberapa pertimbangan yang harus diambil berkaitan keselamatan dan keberkesanan ubat-ubat alternatif.

"Misalnya, minyak kayu putih lemon tidak disarankan untuk digunakan pada kanak-kanak di bawah usia tiga tahun disebabkan kurang kajian akan kesannya terhadap kanak-kanak," katanya.

Dr Shee menambah minyak pati semula jadi tidak harus disapu langsung pada kulit kerana ia boleh menyebabkan iritasi, dan menyebabkanisu-isu kesihatan lain seperti ruam dan masalah kulit lainnya.

CARA GUNA UBAT PENGHALAU NYAMUK DENGAN BETUL

Cara penggunaan tidak betul ubat penghalau nyamuk mungkin sebab mengapa sebilangan orang masih digigit nyamuk meskipun sudah menyapu atau menyemburkan ubat penghalau nyamuk.

Menurut Dr Shee, bergantung kepada kepekatan bahan dalam ubat itu, ia mungkin dapat menawarkan perlindungan sepanjang dua hingga enam jam.

Pakar kajian serangga dari Persatuan Entomologi Amerika, Jo Lynn Teh pula memberi panduan menyapu ubat penghalau nyamuk pada kulit.

Katanya ia harus seperti menggunakankrim pelindung matahari :

- Sapu sebanyak mungkin pada bahagian kulit yang terdedah

- Pastikan anda sapu ubat sekali lagi selepas berenang, berpeluh atau menggunakan tuala untuk mengelap tubuh.

- Ketika memilih ubat penghalau nyamuk untuk kanak-kanak dan bayi, pilih produk yang mengandungi label yang menyatakan ia sesuai digunakan pada kanak-kanak. Anda juga boleh gabungkan penggunaan ubat penghalau nyamuk dengan kaedah lain seperti memasang kelambu pada kereta sorong bayi atau pakaian yang menutupi sebahagian besar tubuh kanak-kanak atau bayi tersebut.

Jika anda turut menggunakan krim pelindung matahari, pastikan anda sapukan krim itu dahulu sebelum menggunakan ubat penghalau nyamuk. 

- TODAY/HA/ha

Top