Images
  • sperm ovum
    (Gambar hiasan: Pixabay/ParallelVision)

Cara berbasikal, guna telefon dan pakai 'briefs' ada kesan ke atas kesihatan sperma

SINGAPURA: Isu kesihatan sperma bukan suatu tajuk yang biasa diperbualkan. Dalam kalangan kaum Adam sekalipun.

Meskipun boleh menimbulkan rasa canggung atau janggal, pengetahuan tentang kesihatan sperma adalah penting bagi kemaslahatan kaum lelaki, terutamanya yang bercadang untuk menimang cahaya mata.

Maka itu, berikut adalah beberapa fakta dikumpulkan oleh laman The Asian Parents mengenai kesihatan sperma yang patut anda tahu.

SELUAR DALAM BIASA ATAU 'BOXERS'?

Menurut kajian, adalah lebih baik untuk memberikan ruang aliran udara bagi bahagian kelengkang. Ini adalah sebabnya mengapa seluar pendek longgar 'boxers' lebih disyorkan berbanding seluar dalam biasa.

Memakai pakaian yang ketat akan menjejas kesihatan sperma kerana menaikkan suhu di bahagian sulit. Bahagian sulit seorang lelaki sepatutnya berada pada suhu lebih rendah daripada dalam tubuhnya, menurut Celia E. Dominguez, pakar endokrinologi kesuburan di Pusat Perubatan Reproduktif di Sekolah Perubatan Universiti Emory.

Jika seseorang lelaki memakai seluar dalam, ia akan menghangatkan alat sulitnya dan mengurangkan kiraan sperma.

BERBASIKAL

Walaupun berbasikal mungkin merupakan senaman yang baik untuk kesihatan lelaki secara amnya, ia sebenarnya tidak baik untuk alat sulit. Satu kajian yang dilaporkan BBC mendapati bahawa senaman yang kerap tidak menjejas pengeluaran sperma. Tetapi lelaki yang banyak berbasikal mempunyai jumlah kiraan sperma yang lebih rendah berbanding biasa.

Ini mungkin kerana duduk di tempat duduk basikal boleh memampatkan kawasan pangkal paha seorang lelaki, menjejas zakarnya, kongsi Dr Ronny Tan, seorang perunding urologi dan andrologi di Advanced Urology Associates, dengan Mediacorp.

Kecederaan pada saraf dan pembuluh darah di bahagian kelengkang akibat berbasikal terlalu lama juga boleh menyebabkan masalah mati pucuk, tambah doktor itu.

RISIKO MEROKOK, PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT

Tabiat memang susah untuk diubah. Namun jika seseorang merancang untuk cuba mendapatkan anak kelak, beberapa tabiat berikut perlu diubah kerana didapati menjejas kesihatan sperma:

Merokok

Merokok tentunya patut dielakkan apabila merancang untuk menambah anggota keluarga memandangkan bahayanya terhadap ibu yang hamil dan kanak-kanak. Namun ia lebih-lebih lagi kerana tabiat itu juga boleh menjejas jumlah sperma dan pertumbuhan sperma.

Kajian oleh BMC Public Health mendapati bahawa menghisap tembakau secara kerap boleh mengurangkan jumlah sperma bahkan menyebabkan kecacatan morfologi pada kepala, leher dan ekor sperma.

Penggunaan telefon bimbit

Kajian menunjukkan bahawa radiasi telefon bimbit boleh menjejas mutu sperma lelaki. Penggunaan telefon bimbit dikatakan berkaitan dengan tahap pemecahan DNA dan pergerakan sperma lebih lemah. Walaupun agak mustahil untuk hidup pada zaman ini tanpa telefon bijak atau sambungan Wi-fi, kaum Adam mungkin ingin mengurangkan masa menggunakan alat itu semasa ingin cuba menimang cahaya mata.

JENIS MAKANAN TERBAIK BAGI KESIHATAN SPERMA

Tubuh yang sihat secara semula jadi bermaksud sperma yang sihat. Oleh itu, cubalah mengubah cara pemakanan dengan menyertakan beberapa makanan yang dikatakan sebagai baik untuk sperma seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam dan itik, bijirin dan produk tenusu rendah lemak.

Makanan tambahan yang dapat meningkatkan kualiti sperma termasuk selenium, zink, L-carnitine, L-arginine dan koenzim Q10. Anda juga boleh mencuba Vitamin A, C dan E untuk penghasilan sperma yang sihat.

Sekiranya anda dan pasangan benar-benar sedang berusaha untuk mendapatkan anak sekarang, anda dinasihatkan supaya mengelakkan makanan yang mengandungi produk tenusu penuh lemak dan minuman yang tinggi gula, termasuk kopi. 

LAPORAN BERKAITAN:

- Agensi berita/TQ/tq

Top