Images
  • haunted manor
    (Gambar: Russ McKamey)

Cabaran 'Rumah Berhantu' di Amerika tawar hadiah AS$20,000

TENNESSEE: Pengalaman mengunjungi rumah hantu atau 'haunted house' - di mana seorang pengunjung disergah pelakon yang memakai kostum dan dandanan mengerikan - kian menjadi satu kegiatan yang popular.

Di Singapura misalnya, USS Halloween Horror Nights yang dianjurkan di Resort World Sentosa menjadi satu daya tarikan yang begitu popular sehingga ramai pengunjung setiap tahun sanggup membayar harga tiket puluhan dolar untuk mengikuti pengalaman itu.

Namun di Summertown, Tennessee, Amerika Syarikat ada sebuah rumah hantu yang bukan sahaja menjanjikan pengalaman menyeramkan pada harga yang murah, malah menawarkan ganjaran bagi mereka yang berjaya melalui pengalaman lawatan itu sehingga selesai.

TIKET MURAH, HADIAH AS$20,000

Associated Press melaporkan McKamey Manor menjanjikan ganjaran AS$20,000 bagi sesiapa yang dapat melalui pengalaman selama 10 jam di dalam rumah hantu itu dan hanya mengenakan harga bayaran sekampit makanan anjing untuk haiwan peliharaan pemilik rumah itu, Russ McKamey.

Namun apa pula syarat-syaratnya?

Seorang pengunjung perlu berusia sekurang-kurangnya 18 tahun, mempunyai perlindungan insurans dan lulus pemeriksaan latar belakang dan ujian dadah.

Selain itu, mereka yang ingin menyahut cabaran perlu menandatangani borang setebal 40 muka surat yang melepaskan McKamey daripada sebarang tanggungjawab jika berlaku kecederaan semasa lawatan itu.

SANGGUP TANGGUNG RISIKO... MATI?

Menurut laporan Metro UK, antara syarat-syarat dalam dokumen itu adalah pengunjung bersetuju "tidak akan undurkan diri (dari lawatan itu) kecuali adanya kecederaan fizikal atau psikologi yang serius".

Borang itu menyatakan rasa takut atau mengalami rasa cemas tidak dikira sebagai kecederaan dan menambah: "Kecederaan boleh berlaku semasa lawatan mereka ... termasuk namun tidak terhad kepada kecederaan bahagian kepala, leher dan belakang, kematian, angin ahmar, kecederaan trauma pada otak" selain strok haba, lemas dan tidak sedarkan diri.

Metro melaporkan setakat ini belum ada sesiapa yang berjaya menamatkan cabaran tersebut dan memenangi ganjaran yang ditawarkan McKamey.

Sanggupkah anda menjadi orang yang pertama melakukannya?

- AP/Agensi berita/TQ/tq

Top