Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Burnout' di tempat kerja satu masalah kesihatan: WHO

Buat pertama kalinya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan lesu upaya atau 'burnout' di tempat kerja sebagai Penyakit Antarabangsa (ICD), yang lazim digunakan sebagai penanda aras bagi diagnosis dan juga penyedia khidmat insurans kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Burnout' di tempat kerja satu masalah kesihatan: WHO

Gambar hiasan. (Pixabay/caio_triana)

Diterbitkan : 28 May 2019 02:36PM Dikemas Kini : 28 May 2019 02:41PM

GENEVA: Buat pertama kalinya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan lesu upaya atau 'burnout' di tempat kerja sebagai Penyakit Antarabangsa (ICD), yang lazim digunakan sebagai penanda aras bagi diagnosis dan juga penyedia khidmat insurans kesihatan.

Keputusan yang dicapai semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia di Geneva yang berakhir pada Selasa (28 Mei) itu boleh membantu menghuraikan perbahasan selama berpuluh-puluh tahun dalam kalangan para pakar tentang bagaimana untuk mentakrifkan lesu upaya, dan sama ada ia patut dianggap sebagai masalah kesihatan.

Dalam perkembangan terkini senarai penyakit dan kecederaan di merata dunia, WHO mentakrifkan 'burnout' sebagai "sindrom akibat tekanan kronik di tempat kerja yang tidak berjaya diuruskan."

Ia menyatakan ciri-ciri sindrom itu mempunyai tiga dimensi: "1) berasa seolah-olah kehabisan tenaga atau kepenatan; 2) semakin berfikir terasing daripada pekerjaan, atau perasaan negatif atau sinis terhadap pekerjaan; dan 3) keberkesanan profesional yang merosot."

"Lesu upaya merujuk khusus kepada fenomena dalam konteks pekerjaan dan tidak patut diaplikasikan untuk merujuk kepada pengalaman dalam bidang-bidang kehidupan lain," menurut klasifikasi tersebut.

Senarai ICD yang dikemas kini itu, yang dikenali sebagai ICD-11, dilakarkan tahun lalu berdasarkan saranan oleh pakar-pakar kesihatan dari merata dunia dan diluluskan pada Sabtu.

"Ini adalah kali pertama lesu upaya disertakan dalam golongan itu," kata jurucakap WHO Tarik Jasarevic kepada para wartawan.

ICD-11 yang akan berkuat kuasa mulai Januari 2022, merangkumi beberapa lagi masalah kesihatan, termasuk "kelakuan seksual kompulsif" yang digolongkan sebagai masalah mental. Namun ketagihan tidak disertakan.

Namun buat pertama kalinya, ia menyertakan permainan video berlebihan sebagai suatu ketagihan, di samping kegiatan berjudi dan pengambilan dadah seperti kokain.

Sumber : AFP/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan