Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Burger Malaysia ini laris! Kerana 'Spiderman' yang jualnya

Meskipun perasaan malu pada mulanya menyelubungi seorang remaja, Fakhrul Fahmie Ishak, 18 tahun, yang memakai kostum watak komik adiwira ‘Spiderman’ ketika membantu di gerai burger milik abangnya, Ahmad Ridhuan Ishak, 22 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Burger Malaysia ini laris! Kerana 'Spiderman' yang jualnya

Aksi Fakhrul Fahmie berkostum Spiderman membuatkan sesiapa saja menoleh lebih daripada sekali ke gerainya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Feb 2019 11:28PM Dikemas Kini : 05 Feb 2019 11:38PM

BESUT: Meskipun perasaan malu pada mulanya menyelubungi seorang remaja, Fakhrul Fahmie Ishak, 18 tahun, yang memakai kostum watak komik adiwira ‘Spiderman’ ketika membantu di gerai burger milik abangnya, Ahmad Ridhuan Ishak, 22 tahun. Namun beliau kini semakin teruja apabila strategi itu berjaya meningkatkan jualan harian mereka.

Setiap hari, gerai itu yang diusahakan bersama rakan mereka, Muhammad Syukri Hakim Yacoob, 21, tidak putus-putus dikunjungi pelanggan dibuka pada 31 Dis.

Menurut anak bongsu dari lapan beradik itu, beliau membantu abangnya berniaga sementara menunggu keputusan peperiksaan kebangsaan bagi mengumpul sedikit simpanan untuk melanjutkan pelajaran pada masa depan.

“Pada awalnya saya rasa malu memakai kostum Spiderman sebab menjadi tumpuan orang ramai yang lalu-lalang dekat sini, namun perasaan itu bertukar teruja apabila perniagaan yang diusahakan abang saya dan Syukri bertambah baik dan ramai pelanggan datang ke gerai burger kami.

"Mereka mencuba keistimewaan burger di sini di samping berswafoto bersama saya,” katanya ketika ditemui di gerainya yang terletak di Kampung Raja.

TAWAR KELAINAN PIKAT HATI PELANGGAN

Kadangkala kenderaan yang lalu depan kedai mereka pun berpatah balik apabila melihat Fakhrul Fahmie berdiri di tepi jalan dan melambai-lambai kepada mereka.

"Mereka akan berhenti seketika untuk anak mereka berswafoto dan ketika itu saya mengambil peluang untuk mempromosikan ‘Square Burger Spiderman kami,” katanya.

Encik Ridhuan pula berkata, idea menggunakan kostum itu tercetus secara spontan dan bersama rakan karibnya Syukri terus membelinya secara online dengan harga hampir RM100 (S$30) pada awal Dis 2018 sebelum memulakan perniagaan akhir bulan itu.

(Gambar: Rusmaini Jusoh/Facebook)

“Seperti yang diketahui umum, perniagaan burger ini kita dapat jumpa di mana-mana disebabkan itu kami perlu menggunakan strategi perniagaan yang kreatif bagi memastikan burger kami berbeza dengan burger yang biasa dijual di tempat lain.

“Memandangkan agak sukar untuk saya dan Syukri memakai kostum itu sambil memasak, kami meminta Fakrul untuk menggayakan kostum itu dan menarik pelanggan ke gerai burger kami dan Fakrul dengan senang hati menyambut cadangan itu,” katanya.

GERAI KECIL JUAL LEBIH 100 BURGER SETIAP HARI

Selain kostum Spiderman, beliau turut menonjolkan kelainan pada burger jualannya dengan menggunakan gabungan roti berwarna-warni dan daging burger berbentuk segi empat.

Hasilnya, mereka kini mampu menjual lebih 100 burger sehari dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10.50 (S$0.80-3.50) mengikut pelbagai jenis burger yang diinginkan pelanggan.

Encik Ridhuan berkata perniagaan yang dikongsi bersama sahabat karibnya itu mampu meraih pendapatan RM400 (S$130) sehari berbanding sebelum ini ketika mereka mengambil upah berniaga burger di Pasir Puteh (Kelantan) dengan bayaran antara RM50 hingga RM70 (S$16-23) setiap malam.

Sementara itu Syukri berkata walaupun gerai yang dibuka agak kecil tetapi mereka berniaga dengan gembira di samping dapat menjalankan perniagaan mengikut masa mereka sendiri dan pulang lebih awal sekiranya stok jualan mereka habis awal.

“Kami memulakan perniagaan seawal 5.00 petang selepas waktu Asar dan menutup gerai pukul 1.00 pagi. Sebelum ini ketika bekerja di bawah orang kami akan memulakan kerja seawal pukul 4.00 petang dan hanya balik pukul 4.00 atau 5.00 pagi.

“Bila berniaga bersama Ridhuan ini semuanya lebih mudah dan teratur, yang mana setiap hari kami akan turun dari rumah masing-masing di Kampung Padang Pak Ahmad, Pasir Puteh kira-kira pukul 3.00 petang dan mula berniaga pukul 5.00 petang selepas membuat persiapan berniaga,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan