Images
  • floraclay

Bunga tanah liat Cik Noor Jamilah Ramli antara huraian mampan SG Maker Extravaganza 2019

SINGAPURA: Ruang dan peluang untuk mempelajari cara bagaimana untuk mereka sesuatu yang mesra alam lagi mampan tampaknya kian meluas.

Di acara 'SG Maker Extravaganza' sahaja, lebih 500 pencipta berkongsi dengan masyarakat betapa daya kreativiti boleh diolah menjadi satu huraian yang mampan.


Sekali pandang, saling tidak tumpah seperti bunga segar. Namun jambak bunga ini sebenarnya diperbuat 100 peratus daripada tanah liat.

Sentuhan kreatif tersebut menjadi produk utama FloraClay Singapore, syarikat milik Cik Noor Jamilah Ramli atau lebih dikenali sebagai Nora, yang diasaskan pada 2006.

"Kita bermula dengan mengambil tempahan-tempahan perkahwinan. Salah satu tempahan yang kita selalu buat adalah bunga tangan untuk pengantin perempuan. Kemudian kita juga dapat tempahan untuk bunga pahar," kongsi Cik Nora.

SANGGUP KE HAWAII BAGI PEROLEH TEKNIK BARU

Kemahirannya membuat bunga daripada tanah liat membawa beliau jauh ke Hawaii untuk mempelajari teknik kerajinan tangan tersebut.

Tanah liat yang beliau gunakan diimport khas dari Jepun dan proses persiapan sesuatu tempahan pula bergantung kepada kerumitan rekaan serta gubahannya.

Untuk menghasilkan sejambak bunga tangan, ia boleh memakan masa dari seminggu hingga ke sebulan. Harganya pula, tidak kurang beza dengan harga bunga segar di pasaran. Namun, sesetengah pelanggan yang sanggup membelanjakan sehingga lebih S$400 merasakan jambak bunga tanah liat mampu bertahan lama.


Bahkan, menurut Cik Nora, bunga tanah liat boleh mekar abadi jika dijaga pantang-larangnya seperti tidak boleh terkena air.

"Bunga segar ini, ia tidak tahan lama - selalu tiga hari sudah layu jadi anda kena selalu ganti dan ganti. Bila anda pakai bunga tanah liat, ia akan terus kekal sampai bila-bila, jadi itulah faktor yang boleh menyelamatkan sekitaran," jelas Cik Nora.

ANJUR BENGKEL, ACARA KORPORAT

Melihat para pembeli mahupun pengikutnya di laman sosial mendahagakan ilmu untuk memintal bunga mereka yang tersendiri, Cik Nora mula menganjurkan bengkel di bawah syarikatnya untuk berkongsi teknik-teknik tersebut.


"Bahkan, saban tahun kita mendapati lebih banyak korporat yang ingin menggunakan pembikinan bunga tanah liat sebagai salah satu cara untuk membuat acara team bonding," kata beliau.

Bertemakan pembangunan mampan, iaitu sejajar dengan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), acara SG Maker Extravaganza kali ini menyaksikan lonjakan pada jumlah peserta apabila ia dirintiskan pada 2012 dengan hanya 50 pencipta.

Pameran anjuran Pusat Sains Singapura itu juga wadah buat para pencipta saling bertukar-tukar idea, maklumat serta kandungan yang boleh diguna pakai untuk membangunkan huraian lebih mesra alam.

"Kami boleh melihat bahawa rakyat Singapura sangat menyukai idea untuk dapat menggunakan tangan dan minda bagi membuat, mencipta serta berinovasi dalam mencari cara hidup lebih mampan," ujar Profesor Madya Lim Tit Meng, Ketua Eksekutif Pusat Sains Singapura. 

Di samping mencedok inspirasi untuk projek DIY sendiri, pengunjung juga berpeluang mengikuti 16 bengkel yang disediakan sepanjang tiga hari hingga Ahad (20 Okt).  

- BERITAmediacorp/fz

Top