Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Buku 'Puasa Pertama Ali' laris; habis dijual dalam tempoh kurang 7 hari

"Sudah boleh berbuka?" adalah soalan cepu emas kanak-kanak yang baru cuba berpuasa. Sebuah buku baru 'Puasa Pertama Ali'  berkongsi pengalaman seorang kanak-kanak berpuasa buat pertama kali dan 'cabarannya' menunggu waktu berbuka; cetak ulangnya dijual sekali lagi mulai hujung minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Buku 'Puasa Pertama Ali' laris; habis dijual dalam tempoh kurang 7 hari

(Gambar: Laugh Play Learn Sg)

SINGAPURA: Mungkin tidak mudah dan agak mencabar bagi kanak-kanak yang berpuasa buat pertama kalinya dalam bulan Ramadan.

Tidak boleh makan, tidak boleh minum. Pasti akan berasa letih dan lemah.

Namun apabila melihat orang dewasa di sekeliling mereka berpuasa, akan terbit rasa ingin mencuba dalam diri kanak-kanak.

Maka pengalaman pertama mereka itu biasanya diwarnai dengan pelbagai ragam dan keletah, di samping soalan cepu emas "sudah boleh berbuka?" yang terus meniti di bibir mereka.

Pengalaman itulah yang ingin dikongsi dengan kanak-kanak lain menerusi buku 'Puasa Pertama Ali' supaya mereka tahu, mereka tidak keseorangan.

Buku tersebut merupakan siri kedua berkaitan bulan Ramadan yang diterbitkan oleh sepasang suami isteri - Encik Nuriskandar Mohd Kassim dan Cik Zhulaiha Abdul Rahim. Ia juga dijual dalam bahasa Inggeris, iaitu 'Ali's First Ramadhan'.

Buku pertama mereka bertajuk 'Aminah & Ali Welcome Ramadhan' (Aminah dan Ali menyambut Ramadan) diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada tahun 2017.

Buku kedua, Puasa Pertama Ali baru sahaja dilancarkan pada awal Ramadan tahun ini dan dalam tempoh kurang seminggu, semuanya habis dijual!

Cik Zhulaiha yang merupakan penulisnya memberitahu BERITAmediacorp buku-buku tersebut - baik yang pertama mahupun yang kedua - sedang dicetak semula dan akan dijual menjelang hujung minggu akan datang.

Jika isi kandungan buku pertama memperkenalkan konsep Ramadan - berpuasa, bersahur, Lailatul Qadar dan sebagainya - kepada watak Ali oleh kakaknya, Aminah, buku kedua berkongsi pengalaman Ali berpuasa pula.

"Jadi jalan ceritanya, Ali cuba puasa pada hari pertama. Kemudian dia cuba menyibukkan dirinya sendiri supaya tidak berasa lapar. Jadi dia bermain dengan bongkah mainan, (tapi) dia teringat sate. Dia bermain Playdoh teringat (pula) ais kacang. Jadi itu cubaan dia," cerita Cik Zhulaiha.

(Gambar ihsan: Laugh Play Learn SG)

Beliau menambah, buku itu ditulis pada 2019 sebagai percubaan untuk memberi perangsang kepada anak bongsunya yang baru hendak mula berpuasa.

"Jadi kami fikir, ini mungkin akan dapat membantu kanak-kanak lain juga. Saya rasa pengalaman berpuasa itu universal kan? Budak-budak nak puasa buat pertama kali," ujar ibu tiga anak itu.

Usai membaca, kanak-kanak akan belajar daripada Ali, meskipun perlu menahan lapar dan dahaga untuk tempoh beberapa jam puasa sebenarnya "Tak susah pun" jika mereka mengisi masa dengan kegiatan-kegiatan bermakna.

Selain itu, mereka juga akan mengetahui bahawa kanak-kanak lain juga melalui pengalaman berpuasa seperti mereka. Jika Ali boleh melakukannya, mereka juga pasti boleh!

"Satu lagi yang ingin kami terapkan dalam buku ini adalah konteks Singapura, sama seperti yang kami lakukan dalam buku pertama. Ada nasi ayam, ada ais kacang, ada kuih lapis.

"Kami rasa kurang bahan bacaan berkaitan Ramadan untuk masyarakat Melayu Singapura. Selalunya kalau kita beli buku Ramadan, bukunya mengikut konteks Pakistan atau Arab. Jadi kami nak adakan sesuatu yang budak-budak boleh kaitkan dengan diri mereka," kongsi Cik Zhulaiha kepada BERITAmediacorp. Suaminya Encik Nuriskandar adalah pelukis ilustrasi bagi kedua-dua buku tersebut.

Sama seperti buku pertama, kumpulan buku kedua yang akan dijual mulai hujung minggu ini nanti turut menawarkan buku kegiatan untuk kanak-kanak peringkat prasekolah dan sekolah rendah.

Buku 'Aminah & Ali Welcome Ramadhan', Puasa Pertama Ali dan 'Ali's First Ramadhan' dijual pada harga S$15 setiap satu. Setiap buku boleh dibeli dengan buku aktiviti yang dijual dalam bahasa Inggeris pada harga S$25 setiap set.

Pembelian boleh dibuat secara langsung menerusi laman laugh.play.learn. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan