Images
  • chef haigh
    Chef Elizabeth Haigh (Petikan Video: YouTube/Chef Elizabeth Haigh)

Buku masak selebriti MasterChef UK ditarik balik susuli dakwaan ciplak oleh penulis S'pura

SINGAPURA: Satu buku resipi oleh cef selebriti Britain Elizabeth Haigh ditarik balik setelah seorang penulis warga Singapura, Sharon Wee mendakwa buku itu menciplak penulisannya.

Haigh, yang mengambil bahagian dalam MasterChef UK pada 2011, merupakan seorang individu terkenal dalam industri makanan London. Setelah memenangi bintang Michelin bagi air tangannya di restoran Pidgin di timur London. Beliau kemudian membuka Kaizen House dan restoran bertemakan Singapura, Mei Mei.

Cef 33 tahun itu menerbitkan buku resipinya berjudul Makan pada Julai tahun ini. Merujuk kepada warisan keturunannya dari Singapura dan Britainnya, buku Haigh diuar-uarkan sebagai kumpulan resipi-resipi Nyonya Singapura "yang diwarisi turun-temurun dalam keluarganya". Penerbitan awalnya mendapat sambutan hangat, dengan penulis buku makanan popular Nigella Lawson berkata beliau mahu "cuba masak semua resipi dalam buku itu".

Bagaimanapun, penulis warga Singapura Sharon Wee baru-baru ini mendedahkan beberapa resipi dan kisah Haigh yang sangat mirip dengan penulisan dalam buku masakan dan biografi yang diterbitkannya pada 2012, bertajuk Growing Up In A Nonya Kitchen.

Dalam satu kenyataan melalui Twitter pada 6 Oktober, Wee menulis bahawa beliau berasa tertekan ketika mengetahui bahawa "resipi tertentu dan kandungan lain daripada (bukunya) disalin semula atau diolah frasa tanpa persetujuannya".

Pengguna di media sosial menarik perhatian kepada petikan-petikan serupa daripada kedua-dua buku tersebut. Menurut pengarang dan penyair tempatan Daryl Lim, buku bertajuk Makan itu tidak hanya mengambil beberapa resipi tersendiri milik Wee, tetapi juga meniru biografi dan anekdot peribadi Wee. Lim juga berkata bahawa Makan mengandungi resipi daripada penulis lain dan juga laman memasak.

Penerbit dari syarikat Britain Bloomsbury Absolute kemudian menarik balik buku masakan itu "atas isu hak cipta" dan tidak memberikan lebih banyak perincian.

Menyusuli tuduhan terhadap Haigh, pelbagai kedai buku masakan di seluruh dunia menarik balik tajuk itu daripada rak mereka. Cook the Books di New Zealand menulis, "untuk mengambil resipi orang lain dan mendakwa ia masakan anda adalah satu hal. Namun mencuri biografi peribadi mereka tidak boleh dimaafkan ”.

Kedai makanan dan buku masakan yang berpusat di Los Angeles, Now Serving LA juga menggugurkan judul itu, sambil mengeluarkan kenyataan bahawa Haigh dan pasukan penyunting bukunya perlu dipertanggungjawabkan. 

- CNA/TQ/tq

Top