Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Bukan pengorbanan, tapi satu anugerah': kata ibu dengan 3 anak keperluan khas

Ini kisah Cik Rosmawati Rusli yang membesarkan bukan 1, tapi 3 anak yang mengalami kurang daya intelektual: "Ini bukan pengorbanan. Kehadiran mereka dalam hidup saya satu anugerah."

Anggaran Waktu Membaca:
'Bukan pengorbanan, tapi satu anugerah': kata ibu dengan 3 anak keperluan khas

Cik Rosmawati bersama anak-anaknya (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 12 May 2019 05:44PM Dikemas Kini : 13 May 2019 12:34AM

SINGAPURA: Dipinggirkan rakan sekolah, tidak dihiraukan sanak saudara, disalah faham oleh guru.

Dalam sebuah masyarakat yang terbiasa dengan keseragaman, kelainan Siti Nurhamizah menonjol.

"Ada seorang kawan saya yang bertanya jika 'penyakit' anak saya boleh diubati," kenang ibu Nurhamizah, Cik Rosmawati Rusli. "Saya memberitahunya, ia bukan penyakit, ia sesuatu dalam diri Nurhamizah."

"Menjadi ibu kepada tiga anak berkeperluan khas menjadikan saya lebih tabah berdepan apa sahaja, terutama sekali apabila saya dan anak-anak dipandang serong."

Nurhamizah, 21 tahun serta dua adiknya Muhammad Hakim, 19 dan Siti Nurhazimah, 17, mempunyai kondisi yang dipanggil global development delay (GDD), keadaan yang menjejas pembangunan kognitif, percakapan dan keupayaan pergerakan.

Meskipun terbiasa mendengar orang lain melabel anak-anaknya, Cik Rosmawati berpegang pada pandangan yang berbeza.

"Saya memberitahu suami saya: 'Awak tak kacak. Saya tak cantik. Tapi anak-anak kita sempurna,'" kongsi ibu 46 tahun itu.

Siti Nurhamizah Hamzah (kiri) dengan rakan sepasukan Assekin Mohamed Anuar. (Gambar: Special Olympics Singapore)

Siti Nurhamizah (kiri) mewakili S'pura dalam Sukan Olimpik Khas Dunia (Gambar: Special Olympics Singapore)

Meskipun dilahirkan dengan palsi serebrum tahap sederhana (mild cerebral palsy), Nurhamizah sangat aktif ketika membesar.

"Beliau kelihatan normal selain tapak kaki yang melengkung ke dalam sedikit," jelas Cik Rosmawati. "Namun anak saudara saya yang sebaya dengannya dapat bertutur dengan baik apabila berusia dua, tiga tahun. Ketika itu, emak saya kerap mengadu bahawa anak saya tidak menjawab apabila emak saya berbual dengannya."

"Ketika itu kami tidak cemas namun apabila mula prasekolah, beliau masih belum bercakap dengan baik. Kata-katanya tidak jelas."

Selepas dinasihatkan pengetua prasekolah, Cik Rosmawati membawa Nurhamizah bertemu dengan pakar psikologi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, di mana anaknya dikesan mengalami GDD.

ANUGERAH ISTIMEWA DARI TUHAN

Diagnosis Nurhazimah mempunyai GDD sedikitpun tidak melunturkan semangat Cik Rosmawati, yang berhenti kerja demi menjaga anaknya sepenuh masa.

"Saya rasa Tuhan memberikan kami anugerah dengan menganugerahkan (Nurhamizah) kepada kami," kata beliau. "Saya kini mendapat gelaran seorang ibu. Perkara tertentu (seperti pekerjaan) perlu ditinggalkan."

Cik Rosmawati menghantar Nurhamizah ke sekolah biasa, kerana sekolah bagi kanak-kanak berkeperluan khas hanya menerima masuk murid selepas peringkat tadika.

Di sekolah biasalah Cik Rosmawati menyaksikan cabaran yang dihadapi anak sulungnya.

"Seorang guru pernah memarahi saya: 'Sekolah kami sekolah mahal, awak tahu anak awak itu istimewa, mengapa tidak hantar ke sekolah pendidikan khas?'" kongsi Cik Rosmawati.

Nurhamizah pula gembira dapat berkenalan dengan rakan sekolah, meskipun mereka tidak begitu gemar berinteraksi dengannya.

"Dia ingin bergaul. Saya biarkannya naiki bas sekolah dan saya lihat dia terlari ke sana ke mari, mahu sertai kanak-kanak lain bermain namun mereka enggan," kata Cik Rosmawati. "Saya sedih, namun dia tabah. Mereka meminggirnya, tapi keesokan hari dia tetap mahu ke sekolah."

"Saya belajar dari Nurhamizah juga."

TIDAK "SEDIKITPUN" KECEWA

Apabila anak lelakinya Hakim juga menunjukkan tanda-tanda pergerakan yang perlahan, Cik Rosmawati mula mengesyakinya juga mempunyai GDD.

Ini mungkin sesuatu yang boleh melunturkan semangat sesetengah orang. Namun, tidak bagi Cik Rosmawati yang terus tabah membesarkan anak-anaknya.

"Ini bukan pengorbanan. Kehadiran mereka dalam hidup saya satu anugerah. Saya mungkin orang yang berbeza tanpa mereka."

PERLU FAHAM CARA MENGAJAR TERSENDIRI

Cik Rosmawati akur bahawa sifat tabah sahaja menerima keadaan istimewa anak-anak tidak memadai - beliau perlu belajar cara khas mengajar untuk membantu anak-anaknya.

"Saya perlu ulang dan ulang lagi untuk memastikan mereka faham," kata beliau. "Bagi anak-anak saya, oleh kerana mereka perlahan sedikit semasa belajar, anda perlu ajar selangkah demi selangkah.

"Mereka tidak boleh diberi tiga atau empat arahan serentak - paling-paling, dua arahan sahaja."

Cik Rosmawati yang merupakan ketua kumpulan sokongan ibu bapa di Delta Senior School, juga kerap bertemu dengan guru anak-anak beliau untuk memahami cara mereka, supaya beliau dilengkapi kemahiran sewajarnya untuk membantu anak-anak beliau.

PERANAN PENTING SUKAN

Sukan turut memainkan peranan penting dalam pembangunan anak-anak beliau, kata Cik Rosmawati.

Di satu sudut flat mereka di Sengkang terdapat sebuah almari kaca yang mempamerkan beberapa cenderamata yang membuktikan keupayaan anak-anak Cik Rosmawati dalam bidang sukan.

Nurhamizah dan Hakim adalah pemain sukan boling, manakala Nurhazimah pula seorang atlit balapan dan padang serta pemain bola lantai atau floorball.

Bapa mereka sibuk menghantar mereka ke sesi-sesi latihan, di mana ibu mereka sentiasa hadir memberi sokongan.

"Saya gembira melihat mereka berlatih, jadi saya dapat menyaksikan jika saya benar-benar membantu mereka mengawal emosi, menyaksikan bagaimana mereka memandang serius tanggunjawab dan disiplin," kata Cik Rosmawati.

"Para ibu atlit istimewa yang saya lihat, mereka sendiri adalah istimewa. Ramai daripada mereka menunjukkan semangat kental menghadapi cabaran," presiden Pusat Sumber Autisme (Singapura) Denise Phua memberitahu Mediacorp.

Cik Phua, yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, menambah: "Mereka melakukan sedaya upaya untuk membesarkan anak-anak mereka sehingga bakat anak-anak itu begitu menyerlah dan kini mereka mewakili Singapura."

Di Sukan Olimpik Khas Dunia baru baru ini, Nurhamizah berjaya membawa pulang pingat pertama Singapura dalam acara boling, iaitu pingat perak.

Ari mata Cik Rosmawati mula berlinang apabila beliau mengenang kejayaan anaknya.

"Dia bertanya kepada saya: Ibu, mengapa ibu menangis?" kongsi Cik Rosmawati.

"Saya memberitahunya, ini air mata gembira ... Semasa bertanding, saya melihatnya berinteraksi dan membuat kawan dengan para atlit lain," kata beliau. "Saya sentiasa beritahu anak-anak saya, apabila pergi bertanding, yang membanggakan bukan mata yang dipungut atau rekod masa yang dicatat, tapi tingkah laku mereka."

Dua hari kemudian di Pusat Boling Khalifa, Nurhamizah meraih satu lagi pingat, kali ini gangsa.

Berdiri di atas podium, gadis yang dahulunya pernah dipinggir dan disalah faham itu, kini menjadi seorang pemenang di mata dunia.

Namun bagi ibunya, sejak awal lagi, dia sentiasa seorang pemenang.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan