Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Buat coklat sendiri bagi bantu sara keluarga; Nama Truffle air tangan pelajar politeknik ini tawar pilihan halal di ruang siber

Apa yang bermula sebagai satu percubaan oleh Syarah Faiqah Feisal untuk menghasilkan coklat buatan sendiri bagi memenuhi cita rasanya, kini berkembang sehingga menjadi satu sumber pendapatan di tengah-tengah kesulitan kewangan yang didatangkan oleh pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Buat coklat sendiri bagi bantu sara keluarga; Nama Truffle air tangan pelajar politeknik ini tawar pilihan halal di ruang siber

Pengasas Nama Truffle, Syarah Faiqah Feisal. (Gambar: Syarah Faiqah Feisal)

SINGAPURA: Apa yang bermula sebagai satu percubaan oleh Syarah Faiqah Feisal untuk menghasilkan coklat buatan sendiri bagi memenuhi cita rasanya, kini berkembang sehingga menjadi satu sumber pendapatan di tengah-tengah kesulitan kewangan yang didatangkan oleh pandemik COVID-19.

Tuntutan pengajian dan pekerjaan tidak menghambat usaha Syarah - seorang penuntut politeknik tahun akhir dalam jurusan Sains Kesihatan – untuk mengendalikan perniagaannya dari rumah, Nama Truffle, yang dilanggani para penggemar coklat Nama yang menawarkan pilihan Halal.

MELELEH DI MULUT ANDA

Pelajar berusia 19 tahun ini mula berjinak-jinak dengan penghasilan coklat Nama ketika beliau meninjau-ninjau tawaran coklat Nama di ruang Internet. Beliau bagaimanapun berdepan dengan kesulitan untuk mendapatkan pilihan coklat Nama yang Halal.

Jika anda tertanya-tanya apa itu coklat Nama, anda mungkin lebih mengenali jenama Jepun terkenal seperti Royce yang menghasilkannya.

“Ia bukan seperti coklat keping biasa. Ia tidak keras, (sebaliknya) ia berlemak dan cair dalam mulut dan ia bukan sesuatu yang dikunyah,” jelas Syarah kepada BERITAmediacorp.

Coklat Nama diperbuat daripada gabungan biji koko dengan krim segar yang memejal sehingga menjadi coklat. Ia kemudian dipotong-potong dan serbuk koko ditaburkan di atasnya, menurut laman Michelin Guide.

SETANDING JENAMA POPULAR

Meskipun ada kedai dan penjual online yang menawarkan coklat Nama, pilihan amat terhad bagi para pengguna yang mencari versi Halal.

“Saya mendapat tahu bahawa (kedai-kedai jenama terkenal) juga menjual coklat berperisa minuman keras. Saya berasa was-was dan saya tidak begitu senang hati mengambil bahan minuman keras bersama dengan coklat trufel yang saya idam-idamkan.

“Saya mencari alternatif Halal di Instagram dan pilihan lain yang boleh saya beli. Namun apabila saya berhasil mendapatkannya, ia tidak menepati jangkaan saya sama sekali,” ujar Syarah.

Syarah memanfaatkan masa lapangnya untuk "bereksperimen” menggunakan pelbagai jenis coklat dan bahan sehinggakan berjaya menghasilkan coklat Nama tersendiri yang bukan hanya memuaskan cita rasanya sendiri, malah dipuji saudara mara yang mencubanya.

(Gambar: Syarah Faiqah Feisal)

“Apabila mereka memberitahu saya bahawa saya boleh menjual coklat buatan sendiri, saya menganggapnya sebagai suatu penghormatan kerana dikatakan setara dengan coklat-coklat bermutu tinggi daripada jenama-jenama terkenal," kongsi Syarah.

Pujian seumpama itu wajar dibanggakan kerana Syarah sendiri tiada pengalaman memasak atau membuat kek sama sekali sebelum itu.

Syarah juga belum pernah memulakan perniagaan lain sebelum itu atau mengetahui selok-belok mengendalikan perniagaan melalui media sosial seperti Instagram.

“Pada masa dan zaman ini, ada banyak platform yang disediakan secara terbuka dalam bentuk aplikasi YouTube atau Instagram. Saya mengkaji aplikasi-aplikasi yang boleh saya manfaatkan untuk membina wadah penjualan saya,” kata Syarah.

MERINGANKAN BEBAN KELUARGA

Hobi Syarah ini sudah bertukar menjadi satu sumber pendapatan sedang keluarganya dicengkam oleh beban kewangan angkara pandemik COVID-19.

Ini lebih-lebih lagi setelah pendapatan bapanya – seorang pemandu teksi yang juga adalah pencari nafkah utama keluarganya – merudum sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan dikuatkuasakan.

“Segala hasil jualan dari Nama Truffle digunakan saya untuk meringankan beban bapa dari segi perbelanjaan sekolah, makanan dan wang saku.

“Saya sedang menabung untuk melanjutkan pengajian kerana saya merancang untuk meneruskan pendidikan saya (ke peringkat universiti), kata Syarah.

Semasa membuat persiapan untuk melancarkan Nama Truffle, Syarah juga perlu mengimbangi tuntutan latihan amali dalam sektor jagaan kesihatan dengan perniagaan barunya itu.

Apabila ditanya BERITAmediacorp tentang bagaimana beliau membahagikan masa antara perniagaan dengan kerjaya sepenuh masa, Syarah menjawab: “Dalam industri (jagaan kesihatan), saya bekerja syif. Semestinya, ia memerlukan disiplin tinggi dan pengurusan masa yang baik.

“Anda perlu mengabaikan perkara-perkara tertentu tetapi anda perlu memastikan agar ia membuahkan hasil.”

“Saya fikir ramai rakan saya yang berfikir sedemikian … Sebahagiannya disebabkan krisis ekonomi masa ini, akibat keadaan COVID-19. Ramai yang perlu berfikir begini untuk memastikan kehidupan yang stabil dari segi kewangan, kata Cik Syarah.

MERANCAKKAN PERNIAGAAN

Berkat disiplin Syarah, permintaan bagi produk Nama Truffle menjangkaui keupayaannya kerana agak sukar untuk mengekalkan mutu coklat bagi jumlah tempahan yang besar.

Untuk menghasilkan coklat Nama yang bermutu dan konsisten, Syarah perlu menuruti proses yang terperinci. Sebagai contoh, beliau perlu memotong adunan coklat di atas marmar dalam bilik berhawa dingin.

Syarah menjelaskan kepada BERITAmediacorp: “Saya menghadapi kesukaran membuat coklat dari segi suhu (persekitaran). Coklat bermutu tinggi akan cair dengan lebih cepat kerana diperbuat daripada lemak koko dan bukan minyak sayur.”

Mujur seisi keluarganya turut menggembleng tenaga untuk membuat dan membungkus coklat bagi jualan pada hujung minggu namun Syarah perlu memerhatikan setiap langkah untuk memelihara mutunya.

BELIA BERPRINSIP

Meskipun kerjaya sepenuh masa sudah di dalam tangan Syarah apabila beliau menamatkan pengajiannya pada Februari depan, beliau tidak setakat berpeluk tubuh selagi beliau masih berdaya untuk memajukan perniagaannya.

“Saya ingin melakukan sedaya upaya sekalipun berasa penat supaya saya boleh berehat kemudian dan berasa berpuas hati dengan diri saya,” ujar Syarah.

Mengulas tentang rancangannya bagi hari muka, beliau tidak melupakan betapa pentingnya untuk menjaga keseimbangan antara tuntutan kerja dengan kehidupan peribadi.

Ini sungguhpun beliau berhasrat untuk meneruskan perniagaannya sambil bekerja sepenuh masa.

“Sebelum memulakan (perniagaan) anda perlu yakin dengan diri anda sendiri. Sebaik saja ia diwujudkan, jangan putus asa dan kekal tabah dan ia akan menjadi ‘OK’, Insya-Allah.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan