Images
  • bintan lagoon resort
    (Gambar: Laman web Bintan Lagoon Resort)

Bintan Lagoon Resort gulung tikar setelah 26 tahun operasi

SINGAPURA: Bintan Lagoon Resort, hotel di pulau Bintan yang popular dalam kalangan pengunjung dari Singapura menggulung tikar setelah 26 tahun beroperasi.

Hampir 500 kakitangan di resort lima bintang itu diberhentikan kerja, menurut agensi berita Indonesia, Antara News.

Resort seluas 300 hektar dengan 450 bilik itu mengalami kerugian sepanjang dua tahun lalu.

Kurangnya pengunjung akibat krisis COVID-19 hanya memburukkan lagi keadaan.

Bintan Lagoon Resort, di pantai Pasir Panjang, dimiliki Resort Venture Pte Ltd, sebuah syarikat privet diasaskan di Singapura.
Masa perjalanan dari Singapura ke resort itu adalah sekitar 75 minit dengan menaiki feri.

Mediacorp telah menghubungi Bintan Lagoon Resort bagi reaksinya. Namun hotel tersebut enggan mengulas sambil menambah bahawa satu kenyataan media akan dikeluarkan minggu depan.

Rancangan penutupan itu diserahken kepada Pejabat Tenaga Manusia Kabupaten Bintan pada 31 Julai.

Encik Indra Hidayat, ketua Agensi Pengambilan Kerja Bintan, ditukil Antara sebagai berkata bahawa resort itu akan mematuhi peraturan tenaga manusia seperti membayar pampasan bagi pemberhentian pekerja.

Menurutnya beliau akan memantau proses pemberhentian kerja kakitangan resort itu.

Warga Singapura banyak menyumbang kepada sektor pelancongan di wilayah Kepulauan Riau di mana terletaknya Bintan. Menurut Jakarta Post, hampir separuh pengunjung asing ke pulau itu pada 2019 adalah warga Singapura.

Pada Oktober 2019, Bintan Lagoon Resort diberi Anugerah Pengalaman Hotel Tahun 2020 di Penganugerahan Wisata Global Golf bagi Persatuan Antarabangsa Pengendali Jelajah Golf. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- TODAY/TQ/tq

Top