Images
  • instagram
    Gambar: Pixabay

Bimbang anak anda ketagih media sosial? Ini cara bantu mereka

AMERIKA SYARIKAT: Para penyelidik mendapati bahawa aplikasi Instagram berbahaya untuk pengguna muda khususnya remaja perempuan.

Demikian dedah laporan The Wall Street Journal.

Persoalannya adalah: Apa yang boleh dilakukan untuk membantu anak-anak kita menggunakan media sosial dengan cara yang betul.

JANGAN TERUS SEKAT

Daripada anda memberikan telefon bijak kepada anak anda dan membiarkan mereka memuat turun pelbagai aplikasi media sosial, pertimbangkan untuk membenarkan anak anda mengirimkan mesej kepada teman baiknya atau sepupunya menggunakan alat yang dikongsi sekeluarga terlebih dahulu, saran Devorah Heitner, penulis buku Screenwise: Helping Kids Thrive (and Survive) in Their Digital World.

Selepas itu, fikirkan tentang usia paling sesuai untuk anak anda mula menggunakan media sosial dengan mengambil kira peribadi mereka, gerak hati serta kematangan mereka.

Benarkan mereka memuat turun satu aplikasi media sosial apabila mereka sudah bersedia, saran Dr Heitner lagi.

TETAPKAN HAD

Fikirkan tentang cara paling kurang invasif untuk menetapkan had masa dan memupuk etika media sosial berbanding asyik memantau interaksi online anak anda.

Cuba paparkan diri anda sebagai seseorang yang menyokong dan membantu berbanding seorang yang dianggap selalu bimbang atau suka mendenda, nasihat Dr Heitner.

Apabila anda memutuskan bahawa anak-anak anda sudah bersedia untuk memiliki peranti sendiri, jangan memberi mereka akses kepada peranti itu 24/7, kata para pakar.

Ambil telefon, tablet atau peranti elektronik lain daripada bilik anak anda apabila sudah malam, tambah Dr Jean M Twenge, seorang profesor psikologi.

HARGAI PERKARA LAIN DALAM HIDUP

Penting untuk kanak-kanak (dan orang dewasa) memahami bahawa lebih banyak masa kita habiskan menggunakan telefon, kita kurang meluangkan masa untuk perkara lain dalam hidup.

Oleh itu, "perkara lain dalam hidup kita menjadi kurang menarik," kata Dr Anna Lembke, penulis "Dopamine Nation".

Di meja makan misalnya, anggota keluarga perlu "bersama memberi perhatian kepada satu sama lain," kata beliau.

"Kita mesti melakukan sedemikian untuk melestarikan hubungan."

"Media sosial memang direka untuk membuat seseorang ketagih," tegas Dr Twenge."Ia bukan saja masalah individu tetapi masalah sekumpulan." 

- Agensi berita/SM/sm

Top