Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Berselfie berlebih-lebihan mungkin tanda penyakit mental

Ke mana-mana sahaja anda pergi, anda tentu akan melihat seseorang yang berselfie. Apa lagi jika ke tempat-tempat menarik. 

Anggaran Waktu Membaca:
Berselfie berlebih-lebihan mungkin tanda penyakit mental

Seorang lelaki sedang mengambil selfie di Mumbai. (Gambar: INDRANIL MUKHERJEE / AFP)

Diterbitkan : 03 Jul 2018 05:54PM Dikemas Kini : 03 Jul 2018 05:57PM

MALAYSIA: Ke mana-mana sahaja anda pergi, anda tentu akan melihat seseorang yang berselfie. Apa lagi jika ke tempat-tempat menarik. Mungkin anda sendiri gemar berswafoto.

Namun, tahukah anda bahawa berselfie berlebihan tidak baik bagi kesihatan mental anda?

Di Malaysia, masalah ini malah menjadi satu kebimbangan kerana masyarakat kian tergila-gila memetik gambar sendiri. Mujur, setakat ini, masalah ini belum diklasifikasikan sebagai penyakit mental kronik di negara itu.

Pakar Perunding Psikiatri dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid memberitahu Sinar Harian, penyelidikan berkenaan perbuatan itu tidak banyak dilakukan dan ia masih memerlukan kajian ilmiah sebelum diklasifikasikan penyakit kerana dibimbangi masyarakat terjebak dengan amalan itu secara berlebihan hingga boleh mendatangkan kemudaratan sama ada pada kesan fizikal ataupun mental seseorang.

"Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, pakar psikiatri dari seluruh dunia mengklasifikasikan swafoto sebagai satu masalah psikologi terutamanya apabila ia mendatangkan kemudaratan.

"Setakat ini kajian dijalankan di Britain dan India terhadap 225 golongan muda," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Universiti Malaya Specialist Centre (UMSC) berkata, melalui kajian itu, lebih 65 peratus daripada 225 orang berkenaan mengalami masalah 'selfitis' - satu masalah mental di mana pesakit berasa perlu berselfie dan memuat naik gambar mereka di platform-platform media sosial, lapor Sinar Harian.

3 PERINGKAT KESERIUSAN 'SELFITIS'

Mengikut skala kelakuan selfiitis, terdapat tiga peringkat berlainan bagi kondisi tersebut.

"Selfitis pinggiran (borderline) dialami mereka yang berselfie sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan tidak memuat naik gambar dalam media sosial.

"Manakala mereka yang berswafoto sekurang-kurangnya berselfie tiga kali sehari dan memuat naik gambar ke media sosial tergolong dalam kalangan pesakit selfitis akut. Selfitis kronik pula keadaan mereka yang berswafoto lebih daripada enam kali sehari dan memuat naik gambar ke media sosial," katanya.

Menurut Dr Rusdi lagi, berdasarkan ketiga-tiga selfitis itu, selfitis akut dan kronik akan mendorong individu itu melibatkan diri dalam aktiviti swafoto bahaya.

"Mereka juga dikaitkan dengan penyakit mental seperti kemurungan atau tekanan dan personaliti kepada umum.

"Kajian juga mendapati mereka yang berumur belasan hingga 20 tahun sering terlibat dengan gejala itu, bagaimanapun semakin meningkat usia, dorongan ke arah perbuatan swafoto semakin berkurangan," katanya.

BERKAITAN DENGAN MASALAH KURANG PERCAYA DIRI, SIKAP NARSISISTIK

Dalam pada itu, beliau menyifatkan berswafoto juga mempunyai kaitan dengan 'personaliti narsisistik' bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit psikiatri seperti kecelaruan keresahan (anxiety disorder), dan ketagihan.

"Kita belum dapat pastikan sama ada puncanya berswafoto itu sendiri. Bagaimanapun jika dilihat perbuatan berswafoto itu, kemungkinan seseorang sibuk berselfie akan mengalami komplikasi penyakit mental.

"Contohnya, bagi mereka yang kurang percaya diri, mereka akan berselfie kerana mahu memastikan diri kelihatan sempurna dalam alam maya," katanya.

Dr Rusdi selanjutnya memberitahu Sinar Harian, berswafoto juga dikaitkan dengan individu yang bangga dengan diri sendiri, mengharapkan pujian orang ramai. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan