Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bermula dengan 1 gerai di Golden Mile, Burgs kini sudah jual lebih 700,000 burger di 4 cawangan merata negara

Tahukah anda 'abang-abang' Burgs ini pernah menimba pengalaman bekerja di restoran-restoran bertaraf Michelin? Ini kisah perjalanan Mohd Ridzuan Ayob dan Muhd Shah Indra Jasni dan rancangan masa depan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Bermula dengan 1 gerai di Golden Mile, Burgs kini sudah jual lebih 700,000 burger di 4 cawangan merata negara

(Gambar: BURGS)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 07:25PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 07:39PM

SINGAPURA: Lebih 700,000 dan dijangka akan terus meningkat - begitulah berapa banyak burger yang sudah dijual oleh rangkaian burger halal tempatan Burgs sejak 2017.

Jumlah yang tepat sebenarnya sebanyak 711,365 burger setakat ini. Perangkaan yang membanggakan itu dipaparkan oleh Mohd Ridzuan Ayob dan Muhd Shah Indra Jasni di laman web mereka.

"Pasukan kami memantau dan mengemas kini jumlah tersebut setiap bulan setelah memeriksa hasil penjualan kami," kongsi Indra, 29 tahun, kepada Mediacorp. "Ia adalah satu idea kolektif sejak awal lagi. Kami juga merasakan bahawa ia adalah satu cara yang menyeronokkan untuk mengukur kejayaan kami."

Pencapaian mereka berdua sungguh membanggakan, lebih-lebih lagi memandangkan perniagaan mereka bermula daripada sebuah gerai kecil di Golden Mile pada satu ketika dahulu. Burgs sejak itu sudah berkembang dengan empat lagi cawangan di kawasan kejiranan merata Singapura dan cawangan terkini mereka (cawangan kelima) pula terletak di 313@Somerset.

“Cawangan ini adalah cawangan paling 'atas' kami," kata Ridzuan, 27 tahun, secara berseloroh.

Kedua-dua Ridzuan dan Indra pernah bekerja di restoran-restoran bertaraf Michelin.

Lulusan program seni masak-memasak (kulinari) Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Indra menamatkan program latihan amali di Saint Pierre, DB Bistro Moderne dan La Pyramide bertaraf dua bintang Michelin di Perancis.

Ridzuan pula pernah menuntut di Institut Shatec⁠ dan menjalani latihan amali di Hotel St Regis. ⁠Setelah tamat pengajiannya, beliau terus bekerja di Terra Tokyo⁠ Italian, sebuah restoran bertaraf satu bintang Michelin. ⁠

Burgs by Project Warung (nama asal) diasaskan pada Mei 2017 oleh Ridzuan dan Indra, bersama seorang lagi rakan mereka, Lee Syafiq, yang sudah meninggalkan jenama itu, dua tahun lalu.

Mereka berpegang kepada satu matlamat yang dikongsi bersama iaitu: "Kami ingin memulakan konsep makanan halal mudah kami sendiri," kata Ridzuan.

Dan kini, Burgs (jenama seperti yang dikenali sekarang) jelas mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Rakyat tempatan sanggup beratur untuk mendapatkan burger 'gourmet' mereka. Malah daya tarikan Burgs bukan sekadar status halalnya, harga burger yang dijual juga sangat berpatutan.

“Kami membuka gerai pertama kami seolah-olah kami mengendalikan sebuah restoran. Kami juga yakin bahawa kami tahu apa yang kami mahukan dan apa yang perlu dilakukan dan kami berbuat demikian dengan mencedok pengalaman kami. Namun, kami tidak menyedari bahawa keperluan dan keinginan pelanggan adalah berbeza, dan kami perlu membuat penyesuaian,” kongsi Indra.

"Kami berusaha sedaya upaya untuk mendengar kesemua maklum balas positif dan negatif dan mengubah suai strategi kami dengan sewajarnya untuk memenuhi apa yang diinginkan."

Mereka turut menyaksikan semakin ramai pelanggan melanggani burger mereka. Setelah perniagaan mereka semakin laris, mereka berkembang dengan pantas.

Meskipun gerai pertama mereka di Golden Mile sudah ditutup, mereka membuka pula gerai Burgs di merata Singapura, dari Bukit Batok West dan Timbre+ di Ayer Rajah Crescent hingga ke Viva Business Park dan Punggol Walk. Dan tentu sekali, "cawangan di pusat beli-belah" pertama mereka di 313@Somerset, di tengah-tengah Orchard Road.

"Salah satu cabaran terbesar adalah mencari lokasi yang sesuai," kata Ridzuan mengenai perjalanan Burgs. "Satu lagi cabaran adalah mencari pekerja dan pertolongan yang betul, yang kerap dialami dalam industri F&B."

Matlamat utama Burgs, menurut Ridzuan lagi, adalah "supaya Burgs dikenali sebagai jenama Singapura di persada global".

"Kami ingin menjana pertumbuhan yang konsisten agar perniagaan kami dapat ditampung secara organik," katanya.

Bukan sekadar menebarkan sayap, kesetiaan pelanggan turut dititikberatkan.

“Sehingga kini, saya masih melihat orang yang sama yang pernah menjamu selera di gerai pertama kami dan ini membuatkan kami begitu gembira melihat wajah-wajah lama di lokasi-lokasi baru kami," tambahnya.
 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan