Images
  • potato chips
    (Gambar: Pixabay)

Berjalan 15 minit boleh buat anda lupa pada snek, makanan segera

KUALA LUMPUR: Cepat, mudah dan ringkas - inilah sebabnya mengapa makanan rapu atau 'junk food' menjadi kegilaan ramai sekalipun mereka sedar akan bahananya ke atas kesihatan diri.

Makanan rapu ini lazimnya merangkumi pelbagai jenis bahan berperisa yang hadir dalam bermacam-macam bentuk dan saiz.

Bagi orang yang berdiet, semua itu adalah pantang larang yang perlu dijaga dan ini memerlukan disiplin tinggi.

Sungguhpun demikian, kadangkala manusia tewas jua dengan godaan makanan rapu.

Maka itu, berikut adalah beberapa tip yang boleh dicuba untuk melawan nafsu daripada mengambil makanan 'junk food'.

1. Berjalan 15 minit

Berjalan mampu membuat anda melawan keinginan terhadap makanan ringan dan makanan segera.

Melakukan senaman ringan seperti berjalan mampu mengeluarkan endorfin yang akan merangsang otak supaya menjadi lebih tenang.


Udara segar juga boleh merendahkan rasa tekanan dalam diri.

Malah, jika anda berjalan selama 15 minit, keinginan untuk mengambil makanan bergula juga akan turun.

2. Guna kayu manis

Seorang pakar psikologi dari Amerika Syarikat, Susan Albers, mengamalkan petua ini apabila beliau berdepan keinginan makanan ringan dan bergula.

Beliau akan meminum air panas yang dicampur dengan madu dan serbuk kayu manis.

Fakta menarik - serbuk kayu manis terbukti mampu mengawal gula darah anda sekali gus menguruskan keinginan makanan.

3. Makan avokado

Jika anda betul-betul teringin makan sesuatu yang ringan, pilihlah makanan yang mengandungi lemak sihat, protin dan serat.


Antara makanan sihat yang boleh anda ambil ialah avokado.

4. Fikirkan kegiatan lain

Anda boleh membuat kegiatan yang tiada kena mengena dengan makanan bersama rakan, misalnya bersukan dan melakukan aktiviti lasak.

Kegiatan seumpama itu mampu mengalih perhatian anda daripada ingat pada 'junk food'. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top