Images
  • berita+ house reno main

BERITA+: Ini tip ubah elok 'DIY' rumah dengan kos rendah, namun hasil seperti dalam majalah

BERITAmediacorp: Pasti ramai yang pernah menyimpan hasrat besar mengubah elok rumah pertama mereka, namun akhirnya terpaksa menyesuaikan visi mengikut realiti kos yang termampu.

Atau mungkin ada pemilik rumah yang baru-baru ini terpaksa mengabaikan gambaran rumah idaman, kerana tidak dapat menunggu kelengahan yang dialami banyak syarikat ubah elok ekoran masalah tenaga kerja di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Namun dua pasangan muda yang tular di media sosial baru-baru ini, membuktikan mereka boleh merealisasikan visi rumah yang cantik ibarat dalam majalah, tanpa mengupah syarikat ubah elok.

Pengalaman mereka juga mungkin boleh dijadikan inspirasi, terutama memandangkan mereka berbelanja serendah S$5,000 sahaja, termasuk perkakas rumah.

Namun, seorang profesional ubah elok rumah yang ditemui BERITA menasihatkan bahawa tidak semua kerja-kerja itu patut dilakukan sendiri.

Malah ada yang wajib dilakukan hanya oleh pekerja bertauliah, sama ada berdasarkan undang-undang HDB, ataupun atas faktor keselamatan dan mengelakkan masalah jangka masa panjang.

KEWANGAN & GARIS MASA SINGKAT DORONG CUBA CARA DIY

Bagi Izwan Firdaus dan Nadirah Baharin warga Singapura yang sudah lama tinggal di Johor Bahru bersama keluarga, mereka membeli flat jualan semula mereka secara tergesa-gesa kerana tidak mahu terkandas di seberang tambak ekoran penutupan sempadan COVID-19 yang dilaksanakan Singapura tahun lalu.

Lantaran itu, mereka belum sempat mengumpul wang secukupnya untuk diperuntukkan bagi kerja ubah elok rumah.

"Sebenarnya, kami tinggal S$5,000 saja (ketika itu) untuk ubah elok rumah," kongsi Izwan dengan jujur, sambil menambah bahawa mereka akur mungkin tiada syarikat ubah elok boleh lakukan kerja-kerja dengan belanja serendah itu.


Izwan Firdaus & Nadirah Baharin (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Ilham Ramadan dan Jannah Kamaludin pula mendapatkan kunci rumah jauh lebih awal dari yang dijangka. Lantas, selain belum sempat menabung, mereka juga tidak sempat membuat perbandingan antara pakej-pakej ubah elok.

Kongsi Jannah: "Jadi kami gunakan apa yang kami ada dulu. Kami beli apa yang kami boleh beli dulu dan kami cuba buat sendiri. Pada mulanya saya pun takut tak jadi ke apa, tapi dia (Ilham) cakap: 'Tak apa, kita cuba dulu, nanti kalau tak boleh kita suruh syarikat ubah elok buat'."

APA YANG DILAKUKAN, BERAPA YANG DIBELANJA

Berbekalkan semangat berani mencuba, kedua-dua pasangan muda itu langsung memulakan kerja-kerja ubah elok dan menghias rumah mereka.

Dengan belanja sekitar S$5,000 dan dalam tempoh empat bulan, Izwan dan Nadirah mengubah rumah jualan semula 5-bilik di Sengkang itu dengan:

  • memasang vinil lantai
  • pasang pelekat vinil pada kabinet dapur dan alat hawa dingin sedia ada agar nampak baru dan menepati citarasa
  • ubah sebahagian lampu ruang utama
  • dapatkan perabot dan perkakas rumah

"Sebenarnya tidak begitu susah. Cuma lantai, warna dinding dan lampu, membuat seluruh rumah nampak macam lain, ketara perbezaan reka bentuk rumah," kata Nadirah.

Bagi Jannah dan Ilham pula, kerja-kerja yang dilakukan di rumah BTO 5-bilik mereka itu adalah lebih menyeluruh.

Selain pemasangan paip api air, hawa dingin dan 'skreeding' yang dilakukan kontraktor, serta jubin tandas yang sudah disediakan HDB, hampir segenap sudut flat mereka adalah hasil sentuhan empat kerat mereka sendiri.


Tangki ikan & meja makan '2 in 1' di rumah Ilham & Jannah.

Ini termasuk memasang gerobok tepi tingkap dan di bilik tidur, meja makan 'dwifungsi' di atas tangki ikan dan pemasangan vinil lantai dan 'feature wall'.

Namun, semua berjaya dilakukan dengan belanja sekitar S$9,000, juga termasuk perkakas rumah.

TIDAK BEBAS KESILAPAN WALAU 'BERGURU' ONLINE

Walaupun berjimat dari kewangan, kedua-dua pasangan menarik perhatian bahawa mereka perlu meluangkan lebih banyak masa dan tenaga sendiri.

Ini selain pelbagai cabaran semasa proses 'trial and error' meskipun setelah berpandukan sumber online seperti video YouTube.

Setelah melalui sendiri pahit manis pengalaman ubah elok rumah, kedua-dua pasangan sempat berkongsi dengan BERITA tip-tip untuk bakal pemilik rumah yang berura-ura mengubah suai rumah secara DIY.

Bagi mereka yang ingin berjimat namun tidak seberani kedua-dua pasangan itu, pengarah urusan Altruistic Interior Pte Ltd, Encik Shaih Muhd Rizal turut kongsikan pandangan beliau.

Tip 1: Berani ada visi, tapi perlu juga fleksibiliti

Mempunyai gambaran awal konsep hiasan yang diinginkan membantu kedua-dua pasangan menumpu kepada mencari potongan harga terbaik bagi barangan yang benar-benar diingini saja, selain elak terbeli barangan yang kurang sepadan dengan konsep rumah.

Pakar ubah elok Encik Rizal, turut bersependapat tentang pentingnya memilih konsep terlebih dahulu.

Kata beliau: "Jika anda kerap membuat perubahan dalam proses ubah suai rumah (kerana tidak berpandukan satu gambaran tetap), kos berbelanja akan menjadi lebih tinggi."

Pun begitu, kedua-dua pasangan berkata adalah penting untuk bersikap fleksibel dalam memilih barangan rumah jika sesuatu barang yang awalnya diinginkan adalah di luar kemampuan.

Tip 2: Jangan segan guna barang lama

Dan dalam mencari barang pula, tidak semestinya hadkan kepada barang yang baru saja.

Kedua-dua pasangan kongsi satu nasihat yang sama:Wadah online jual beli barangan terpakai, seperti Carousell, ibarat sahabat pemilik rumah.


Jannah Kamaludin & Ilham Ramadan.

Ilham dan Jannah pula menambah, lebih handal seseorang dalam tawar-menawar, tentu sekali lebih banyak penjimatan yang boleh diraih.

Tip 3: Perlu bersedia kerja keras

Tanpa kontraktor yang diupah bererti beban menjalankan segala kerja-kerja - dan kesilapan - perlu ditanggung sendiri.

Izwan misalnya, terpaksa berlutut selama sembilan jam memasang vinil lantai, kerana "apabila satu kepingan vinil dipasang senget, ia 'terikut-ikut' hingga hujung rumah."

Ilham dan Jannah menceritakan, tanpa adanya kontraktor atau pekerja, mereka terpaksa membawa kayu-kayan berat menaiki tangga semasa Jannah sedang hamil.

"Nasib baik kami tinggal tingkat tiga!" kata Jannah sambil tertawa.


Ruang tamu rumah Izwan & Nadirah.

Tip 4: Fahami peraturan HDB

Encik Rizal menekankan tidak semua kerja-kerja ubah elok rumah boleh dilakukan sendiri.

Kerja-kerja tertentu seperti pemasangan paip gas dan pendawaian atau memecah dinding, mesti dilakukan oleh kontraktor berlesen.

Ada juga pelbagai peraturan dan panduan lain pihak berkuasa - seperti had waktu boleh lakukan kerja ubah elok dan sebagainya - yang boleh didapati di laman HDB dan kata Encik Rizal, perlu difahami setiap pemilik rumah.

Tip 5: Manfaatkan tawaran HDB

Selain peraturan HDB, Encik Rizal juga menyarankan pemilik rumah BTO baru agar pertimbangkan tawaran lembaga perumahan itu untuk meraih penjimatan, tidak kira sama ada mereka mahu melakukan renovasi DIY atau dengan kontraktor.

Tawaran yang dimaksudkan adalah pilihan pemasangan jubin lantai dan kelengkapan tandas oleh HDB, yang lebih murah berbanding sebahagian harga pasaran.

Tip 6: Dalam berjimat, jangan berkompromi

Walau apapun cara ubah elok yang ingin dilakukan, Encik Rizal menegaskan agar perkara-perkara penting dalam rumah diutamakan dahulu.


Encik Shaih Muhd Rizal.

"Misalnya, tandas dan dapur antara ruang paling kerap dipakai. Ia juga melibatkan isu waterproofing (lapisan kalis air), jadi adalah lebih baik laburkan sedikit wang dan lakukan kerja yang bermutu," nasihat beliau.

Selain mungkin perlu belanja wang tambahan bagi kerja pembetulan di hari muka, dikhuatiri kerja-kerja ubah elok kurang bermutu juga boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Lantas, kata beliau, meski pemilik rumah ingin berjimat, jangan sesekali kompromikan kerja-kerja penting.

"Ini demi keselamatan pemilik rumah itu sendiri dan juga jiran-jiran tetangga." 

- BERITAmediacorp/tq

Top