Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Harga lebih murah, bermacam model tarik ramai beli kayak pancing tengah laut

Dengan kayak kini boleh dibeli pada harga kurang S$1,000, kaki pancing tertarik membeli kayak mencari ketenangan dan kebebasan di tengah laut sewaktu pandemik ini.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Harga lebih murah, bermacam model tarik ramai beli kayak pancing tengah laut

Farahdillah dan suaminya antara mereka yang mula-mula bergiat dalam memancing berkayak di sini. (Gambar ihsan: Farahdillah Abdul Razak)

SINGAPURA: Memiliki kayak memancing menjadi trend bagi kaki pancing di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang.

Dengan kayak kini boleh dibeli pada harga kurang S$1,000, sebuah kumpulan penggiat menyaksikan 70 peratus peningkatan anggota dalam tempoh hanya beberapa bulan lalu.

HARGA BERPATUTAN, BERMACAM JENAMA DI PASARAN

"Apa yang saya lihat sekarang, harganya boleh dimampui. Campur kos penghantaran melalui kapal, ia antara S$1,500 dengan S$1,600," kata Cik Farahdillah Abdul Razak, 36 tahun.

Kayak model Langkawi 12 milik Cik Farahdillah ini berharga RM3600 (Gambar ihsan: Farahdillah Abdul Razak)

Ini berbanding S$6,000 hingga S$8,000 untuk memiliki sebuah kayak apabila beliau baru-baru bermula hampir 10 tahun yang lalu.

Malah, hari ini, bermacam jenama, reka bentuk, saiz dan aksesori tersedia di pasaran bagi berkayak sambil memancing.

Oleh itu, Cik Farahdillah yang merupakan duta bagi syarikat kayak Malaysia, KayaKING, membuka kumpulan sembang Kayaking Sg Club di Facebook bersama suaminya untuk menghimpunkan kaki pancing dan memudahkan pembelian secara borong.

"Kami hanya menarik orang yang berkongsi minat. Kerana mereka akan tertanya-tanya – Apa ini? Berapa ini? Kayak ini bagaimana? Berat macam mana? Mereka akan tanya berapa lebar? Berapa panjang? Semua ini," tambah beliau.

Pasangan itu juga boleh mengaturkan tempat menyimpan kayak yang harganya purata S$50 sebulan sahaja.

Berbanding sebelum ini, terdapat lebih banyak pilihan tempat menyimpan kayak di Singapura dengan ada yang turut menyediakan khidmat pengangkutan ulang-alik.

Cik Farahdillah dan suaminya sudah hampir 10 tahun bergiat dalam kegiatan memancing berkayak. (Gambar ihsan: Farahdillah Abdul Razak)

GIAN MEMANCING BERKAYAK

Salah seorang yang baru membeli kayak baru adalah Encik Mohammed Hanaffi Hassan, 41 tahun.

Beliau yang membesar di Pulau Seking sebenarnya antara perintis memancing berkayak apabila ia mula diperkenalkan di sini.

Oleh sebab komitmen kerja, karyawan industri perkapalan tersebut terpaksa berhenti sementara tetapi kini kembali menyuntik semula minatnya terhadap kegiatan itu.

Encik Hanaffi sebelum ini kerap memancing di luar negara dengan menaiki bot. (Gambar ihsan: Mohammed Hanaffi Hassan)

"Kita labur sedikit untuk beli kayak sendiri. Dapat kebebasan. Bila-bila kita nak pergi boleh pergi, lagi-lagi pada masa pandemik ini.

"Tidak ada banyak sekatan kalau di atas kayak. Kalau pergi seorang diri, tidak perlu penjarakan sosial atau apa-apa," kongsi Encik Hanaffi.

Kaki pancing itu turut kagum dengan perkembangan peralatan kegiatan memancing berkayak sepanjang sedekad lalu.

Awalnya, penggiat seperti beliau menggunakan kayak boleh kembung atau 'inflatable' untuk memancing sebelum menaik taraf ke kayak berkulit keras atau 'hardshell' dengan pendayung.

Encik Hanaffi di perairan Tanjung Rhu bersama kayak barunya. (Gambar ihsan: Mohammaed Hanaffi Hassan)

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimanakah untuk memancing menggunakan kayak yang ruang duduknya agak sempit?

Bagi model sekarang, terdapat jenis di mana pemancing boleh mengayuh kayak, yang juga memiliki rekaan lebih besar berbanding kayak biasa dan dilengkapi kemudahan membawa barangan memancing.

Ada juga yang dilengkapi "fishing point" dan juga "gish finder" yang menggunakan sistem sonar bagi menyediakan maklumat lokasi memancing dengan lebih tepat.

"Paling baik kalau kita ada kereta sendiri, boleh memasang rak atas kereta. Kemudian kita ikatkan kayak itu untuk dibawa ke lokasi," kata pemilik kayak baru itu.

Kayak baru Encik Hanaffi ringan lantas mudah diangkut menggunakan kereta sendiri (Gambar ihsan: Mohammed Hanaffi Hassan)

UTAMAKAN KESELAMATAN

Memancing berkayak mempunyai peminatnya tersendiri yang sukakan cabaran. Namun, yang penting keselamatan diutamakan, tegas Cik Farahdillah.

"Saya syorkan biar ke laut dengan kawan. Kita tidak tahu-menahu tentang keadaan di laut. Mesti ada seorang yang perlu ikut kita. Sekurang-kurangnya anda tahu ada orang untuk menolong anda di sisi anda," nasihat beliau.

Semangat yang berani juga penting menurut individu yang aktif bersukan lasak itu, selain melengkapi diri dengan kemahiran yang sewajarnya sebelum ke laut.

Biar pun tampak mudah, kaedah memancing menggunakan kayak sangat menguji daya tahan pemancing.

Antara tangkapan Farahdillah di pantai Sembawang. (Gambar ihsan: Farahdillah Abdul Razak)

"Saya menghadiri kursus berkayak satu bintang di PassionWave.

"Pada saya, ia perlu untuk membina keyakinan diri. Apabila anda ke laut, anda sudah bersedia untuk melakukan apa yang sepatutnya apabila kayak terbalik, anda bersedia untuk apa sahaja," ujar Cik Farahdillah.

Selain itu, seseorang juga harus melihat keadaan air pada hari berkenaan dan cuaca untuk sepanjang hari.

Ini selain membawa peralatan pancing, makanan dan minuman yang mencukupi supaya tidak perlu ulang-alik ke darat, tambah beliau yang turut menekankan pentingnya memakai jaket keselamatan dan memeriksa kayak sebelum ke laut.

Selepas membuat persiapan sewajarnya, barulah seseorang itu boleh menikmati keindahan dan ketenangan memancing berkayak.

Suami CIk Farahdillah di perairan di Singapura. (Gambar: Facebook/Kayaking Sg Club)

"Satu minggu anda bekerja. Jadi anda perlukan sesuatu yang menenangkan lantas anda keluar memancing," kongsi Cik Farahdillah.

"Saya rasa tenang bila saya ke laut. Pengalaman itu anda tidak akan dapat di mana-mana."


Jangan terlepas ikuti laporan-laporan lain BERITA Jelajah.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan