Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Beri anak anda 4 jenis makanan ini untuk dapatkan penglihatan jelas

Khasiat lobak merah bagi kesihatan mata adalah satu fakta yang ramai sudah sedia maklum.

Anggaran Waktu Membaca:
Beri anak anda 4 jenis makanan ini untuk dapatkan penglihatan jelas

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 05 Sep 2021 09:42PM Dikemas Kini : 05 Sep 2021 09:45PM

CALIFORNIA: Khasiat lobak merah bagi kesihatan mata adalah satu fakta yang ramai sudah sedia maklum.

Kandungan beta-karoten yang ada di dalam lobak merah membantu retina dan bahagian mata lain berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, tidak semestinya anda perlu beri anak makan lobak merah sahaja sepanjang masa.

Jadi, selain lobak merah, apakah lagi jenis makanan lain yang juga baik untuk mendapatkan penglihatan lebih jelas dan memelihara kesihatan mata si manja anda?

Berikut adalah perkongsian oleh majalah Hello Health, seperti dipetik AstroAWANI, tentang makanan-makanan lain yang boleh diberikan kepada si cilik anda bagi meningkatkan kesihatan matanya.

SAYUR-SAYURAN BERDAUN HIJAU GELAP

Jenis sayuran seperti ini adalah sumber baik antioksidan yang melindungi tubuh anda daripada kerosakan disebabkan oleh bahan radikal.

Sayuran ini juga mengandungi lutein, zeaxanthin, beta-karoten, vitamin A, vitamin C, vitamin E, vitamin K, kalsium, zink dan zat besi serta serat pemakanan.

Lutein dan zeaxanthin menjaga mata bayi anda daripada sinaran ultra ungu. Selain itu, menurut majalah Hello Health, nutrien itu juga baik untuk mengawal kerosakan retina, katarak dan glaukoma.

Bayam, brokoli, kubis, lada hijau dan timun adalah contoh sayuran berdaun hijau yang mudah diperolehi di mana-mana kedai runcit mahupun pasar raya.

BUAHAN & SAYURAN BERWARNA KUNING, JINGGA

Kuning dan jingga adalah warna utama vitamin A, karotenoid, vitamin C, folat, dan fitonutrien antioksidan lain.

Kajian menunjukkan bahawa jumlah karotenoid yang tinggi boleh mengurangkan masalah mata.

MAKANAN BERWARNA MERAH

Makanan berwarna merah selalunya mengandungi vitamin C, likopena dan antioksidan lain yang berfungsi melawan penyakit serta menerangkan penglihatan bayi anda selain memelihara kesihatan tubuh bayi.

Kajian membuktikan bahawa seseorang individu yang mempunyai paras likopena dan vitamin C yang rendah cenderung mendapat masalah mata.

Tomato pula mengandungi jumlah likopena yang tinggi. Makanan berwarna merah lain adalah seperti ubi bit (beetroot), epal, ceri, dan strawberi.

SAYURAN & DAGING PUTIH

Makanan berwarna putih diketahui mengandungi sejumlah besar beta-glukan.

Sayur-sayuran dan buah-buahan putih termasuk pisang, cendawan, bawang putih dan bijirin penuh.

Daging putih adalah seperti telur putih serta ikan, sebagai contoh salmon dan tuna.

Ikan putih adalah sumber kaya dengan asid lemak omega-3, DHA dan EPA yang baik untuk mencegah penyakit mata seperti sindrom mata kering serta makular, menurut majalah Hello Health.

Tambahkan lebih ikan dalam hidangan harian untuk si cilik anda untuk meningkatkan kesihatannya.

Selain itu, gantikan lobak merah dengan sayuran lain yang kaya dengan vitamin A bagi memberikan pengalaman makan menarik untuk si manja anda.

Bagaimanapun, ingatlah bahawa amalan pemakanan hanyalah sebahagian kecil dalam usaha anda untuk memastikan kesihatan mata bayi.

Mata yang terang dan sihat adalah hasil daripada gabungan pemakanan, gaya hidup dan tabiat peribadi yang sihat. 

Sumber : Agensi berita/FZ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan