Images
  • bike
    (Gambar: tourdehajj)

Berbasikal dari England ke Arab Saudi untuk tunaikan haji, kumpul derma

MADINAH: Jutaan jemaah menuju ke Arab Saudi sedang musim haji tahun ini mula membuka tirainya. Namun bagi satu kumpulan jemaah dari Britain, ketibaan mereka minggu ini di kota Madinah menarik perhatian yang istimewa sedikit.

Apakan tidak, kumpulan itu memilih untuk menaiki basikal menyusuri jarak 6,500 kilometer dari England langsung ke Arab Saudi.

Saudi Gazette melaporkan kumpulan itu mengembara selama enam minggu dari London untuk sampai ke Madinah, di mana mereka disambut dengan penuh meriah termasuk oleh Pengerusi Kebudayaan dan Kesenian Masyarakat, Mishaal Al-Touhami.

Menurut laman Stepfeed, kumpulan tersebut melakukan perjalanan 'Tour de Hajj' mereka - satu permainan kata yang merujuk kepada lumba basikal tahunan antarabangsa Tour de France - untuk menyebarkan mesej agama Islam sebagai "sebuah agama kedamaian dan toleransi di negara-negara yang mereka lalui".

Menurut laman pungutan derma kumpulan itu https://pennyappeal.org/event/tour-de-hajj, mereka menyasarkan untuk mengumpul £500,000 (S$839,600). Wang tersebut bertujuan untuk membiaya pembinaan sekolah-sekolah, masjid dan kemudahan asas lain di lima kawasan kampung di Pakistan, Sri Lanka, Afrika Selatan dan Uganda.

Dalam wawancara dengan media Al Arabiya, kapten pasukan itu Taher Hasan Akhtar - seorang penggemar sukan berbasikal yang sebelum ini pernah membawa rombongan ke Makkah bagi ibadah haji, sempat berkongsi pengalaman pengembaraan mereka.

Sebelum ini, beliau pernah membawa tujuh jemaah Muslim Britain lain dalam perjalanan selama lima minggu ke Makkah dengan menaiki basikal.

Pengembaraan mereka ketika itu menyusuri sembilan negara sepanjang perjalanan lebih 3,200 kilometer.

Stepfeed melaporkan kumpulan tersebut bukan satu-satunya kumpulan yang menaiki basikal menuju ke Tanah Suci demi mendirikan rukun Islam yang kelima.

Pada 2016, seorang warga Islam dari China bernama Mohammad pernah menaiki basikal dari Xinjiang hingga ke Taif untuk menunaikan ibadah haji. Jarak perjalanannya meliputi 8,150 kilometer. 

- Agensi berita/TQ/na

Top