Images
  • breast cancer
    (Gambar: AFP)

Benarkah tabiat tidur jadi punca penyakit barah payudara?

LONDON: Ciri-ciri tidur seseorang wanita mungkin salah satu faktor risiko bagi penyakit barah payudara, menurut hasil kajian terbaru.

CNN melaporkan, golongan wanita yang lebih gemar bangun tidur lebih awal didapati kurang berisiko menghidap penyakit barah payudara berbanding mereka yang lebih suka tidur lewat.

Bagaimanapun, para pakar memberi amaran bahawa faktor risiko yang lain seperti meminum arak dan masalah berat badan berlebihan mungkin meninggalkan kesan lebih buruk.

Maka itu, tiada alasan untuk para wanita mengubah corak tidur mereka.

Hanya satu daripada setiap 100 wanita, yang menganggap diri mereka gemar bangun awal, menghidap penyakit barah payudara, menurut kajian yang diterbitkan dalam BMJ.

Ini berbanding dua daripada setiap 100 wanita, yang menganggap diri mereka sebagai 'burung hantu.'

Hasil kajian itu juga mendapati bahawa risiko menghidap barah berkenaan meningkat sedikit bagi para wanita yang tidur lebih daripada purata tujuh hingga lapan jam setiap malam, lapor CNN.

Kajian itu juga mendapati bahawa ia tidak begitu terkait dengan masalah insomnia atau gangguan tidur.

Para penyelidik menggunakan maklumat yang dikumpul daripada lebih 400,000 wanita dari dua pangkalan data.

"Adalah penting untuk memahami bahawa data itu tidak memberi sebarang bayangan bahawa risiko menghidap penyakit barah payudara boleh merosot dengan mengubah tabiat tidur," kata Luca Magnani, ahli penyelidik kanan dari Jabatan Pembedahan & Barah di Kolej Imperial London, kepada Pusat Media Sains.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh badan amal Penyelidikan Barah UK, barah payudara adalah barah paling biasa yang dihidap di Britain.

Sementara itu, Persatuan Barah Amerika Syarikat pula menjangkakan bahawa lebih 260,000 wanita akan didiagnosis menghidap penyakit barah payudara invasif.

Dr Dipender Gill, seorang ahli penyelidik klinikal Wellcome Trust di Kolej Imperial London, berkata hasil kajian itu merupakan "pencapaian bermakna bidang tersebut".

Dapatan kajian itu adalah tambahan kepada hasil kajian yang dijalankan sebelum ini, yang membayangkan bahawa tetrdapat kaitan antara tabiat tidur dengan risiko menghidap masalah kesihatan, katanya dalam kiriman emel kepada CNN.

Bagaimanapun, kajian itu tidak memberikan perincian lanjut mengenai proses yang menyebabkan tabiat tidur menjejas risiko menghidap penyakit barah payudara.

Bagi kes ini, Dr Gill berkata memperbaiki corak tidur tidak semestinya mengurangkan risiko menghidap penyakit barah payudara.

"Lebih banyak usaha diperlukan sebelum kita boleh memahami sepenuhnya implikasi corak tidur terhadap kesihatan,” katanya lagi.

Hasil kajian itu dibentangkan buat pertama kali pada November 2018 di Persidangan Barah NCRI di Glasgow. 

- Agensi berita/AI/ai

Top