Images
  • weighing-scale
    (Gambar: Unsplash)

Benarkah puasa berselang dapat menurunkan berat badan?

AGENSI: Diet puasa sudah wujud selama ratusan tahun sebagai sebahagian daripada budaya dan agama yang berbeza. Pada umumnya, kebanyakan puasa dilakukan lebih dari 24-72 jam. Puasa telah terbukti mempunyai banyak manfaat kesihatan, daripada penurunan berat badan ke fungsi otak yang lebih baik.

Menurut satu kajian baru-baru ini mereka yang puasa berselang mungkin dapat menurunkan lebih banyak berat badan berbanding jika tabiat pemakanan mereka diteruskan.

Dalam kajian yang dijalankan selama empat minggu itu, 60 orang dibahagikan secara rambang kepada dua kumpulan - iaitu satu kumpulan yang meneruskan tabiat pemakanan mereka dan satu lagi yang mengamalkan puasa yang mana mereka dibolehkan makan sepanjang tempoh 12 jam dan kemudian berpuasa selama 36 jam.

Hasil daripada kaedah berpuasa secara selang sehari itu, para peserta mengalami penurunan purata berat badan sebanyak 3.5 kilogram. Ini berbanding penurunan purata berat badan sebanyak 0.2 kilogram tanpa mengamalkan diet itu.

Namun begitu, kaedah diet itu mungkin tidak sesuai untuk semua orang.

Menurut pengkaji Frank Madeo: "Kami tidak menggalakkan ini sebagai skim pemakanan umum untuk semua orang kerana ia satu gangguan yang keras yang kita tidak tahu akan kesan jangka panjangnya.

"Kami rasa ia satu rejim baik untuk beberapa bulan bagi mereka yang mengalami berat badan berlebihan dan ingin mengurangkan berat badan."

Meskipun begitu, amalan berpuasa juga membawa manfaat kepada tubuh manusia menerusi 'kaedah kebuluran' yang dialami.

Misalnya, perut kita sentiasa diberi ruang berehat daripada memproses makanan yang sekali gus menjadi cara yang efektif untuk mengawal berat badan.

Puasa juga membaiki keupayaan tubuh kita untuk menjadi lebih responsif terhadap hormon insulin, iaitu hormon yang dikeluarkan apabila kita makan, berfungsi untuk menyimpan gula dalam badan sebagai sumber tenaga.

Menurutnya, hormon insulin menjadi berkurangan apabila kita berpuasa dan seterusnya memberi isyarat kepada badan untuk membakar gula simpanan supaya menghasilkan tenaga bagi kegunaan aktiviti harian.

Setelah empat minggu mengamalkan puasa berselang-seli, para peserta membentuk lebih banyak otot tanpa lemak, tahap kolesterol lebih rendah dan kesihatan jantung yang lebih baik.

- Agensi berita/HA/ha

Top