Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Benarkah kumpulan sembang WhatsApp ibu bapa jadikan anak-anak kurang berdikari? Bekas guru ini kongsi pengalamannya

Dalam tempoh bulan pertama anak perempuan Cik Banu Partiban memasuki sekolah rendah, beliau dan suaminya menerima kiriman mesej WhatsApp dari sepasang ibu bapa.

Anggaran Waktu Membaca:
Benarkah kumpulan sembang WhatsApp ibu bapa jadikan anak-anak kurang berdikari? Bekas guru ini kongsi pengalamannya
Diterbitkan : 13 Jan 2020 10:12AM Dikemas Kini : 13 Jan 2020 10:19AM

SINGAPURA: Dalam tempoh bulan pertama anak perempuan Cik Banu Partiban memasuki sekolah rendah, beliau dan suaminya menerima kiriman mesej WhatsApp dari sepasang ibu bapa.

"Ia adalah kiriman gambar. Ibu bapa itu membulatkan (wajah) anak saya. Ibu bapa itu menulis, 'Boleh saya mengetahui siapa ibu bapa anak ini?" katanya.

Mesej itu dikirimkan kepada sebuah kumpulan sembang ibu bapa, yang menurut Cik Banu, merupakan perkara yang "tidak begitu elok untuk (dilakukan)". Cik Banu yang berasa susah hati dihubungi ibu bapa lain yang turut merasakan ada sesuatu yang tidak kena, untuk bertanya apa yang berlaku dan mengapa anak perempuannya itu menjadi sasaran.

Beliau menghubungi ibu bapa berkenaan secara peribadi kerana pada mulanya beliau berfikir bahawa ia adalah satu pendekatan yang lebih baik.

Sebenarnya anak-anak mereka terlibat dalam pertikaian kecil yang akhirnya dapat dihuraikan.

Insiden itu mengejutkan Cik Banu, kerana ia berlaku beberapa hari selepas beliau menyertai kumpulan WhatsApp tersebut. Namun beliau kekal dalam kumpulan itu kerana, sebagai ibu yang bekerja, beliau tidak ingin ketinggalan mendapatkan perkembangan di sekolah.

Rata-rata ibu bapa hari ini menyertai kumpulan-kumpulan WhatsApp ibu bapa. Namun tidak kesemua ibu bapa bersetuju tentang perlunya kumpulan-kumpulan sedemikian.

Sesetengah ibu bapa - dan kanak-kanak - menyifatkan kumpulan-kumpulan WhatsApp itu sebagai "bersifat kompetitif", dan ketika ibu bapa bergelut dengan keputusan sama ada ingin terus kekal atau meninggalkan kumpulan-kumpulan sedemikian, Mediacorp menyiasat sama ada kumpulan-kumpulan sembang ibu bapa kian toksik atau secara tidak sengaja membahayakan kanak-kanak.

JENIS-JENIS IBU BAPA DALAM KUMPULAN SEMBANG

Encik Winston Tay menyertai sebuah kumpulan sembang ketika anaknya di Darjah Satu hingga Darjah Tiga. Namun beliau kemudian meninggalkan kumpulan itu kerana ibu bapa lain dalam kumpulan tersebut memperlihatkan "banyak cara berfikir dan berkelakuan yang aneh".

"Lebih-lebih lagi pada sebelah malam Ahad, akan ada banyak sekali mesej," imbas Encik Tay sambil memberi contoh pertanyaan mengenai kerja rumah pada hujung minggu.

"Dan kami sedar bahawa ada ibu bapa tertentu yang akan .... bertanya 'Bagaimana keputusan anak anda? Keputusan anak saya begini.' Lantaran itu lama-kelamaan, ia menjadi perkara yang agak menjengkelkan.

Sungguhpun demikian, kumpulan-kumpulan WhatsApp dianggap "amat berguna" bagi ibu kepada dua orang anak, Serene Seah, yang mengaku "mudah lupa" dan perlu diingatkan mengenai perkara-perkara persekolahan.

Kedua-dua ibu bapa itu tergolong dalam dua daripada tiga jenis peserta komuniti online seperti kumpulan-kumpulan WhatsApp bagi ibu bapa.

Hasil kajian Nielsen Norman Group mendapati 90 peratus pengguna merupakan pemerhati yang hanya membaca pesanan, 9 peratus aktif dalam perbualan, dan 1 peratus merupakan pengguna yang sangat aktif dan menyediakan banyak maklumat.

Pentadbir kumpulan-kumpulan sembang seperti Encik William Choo perlu memainkan peranan sebagai "pegawai polis" untuk memelihara tatatertib perbualan.

"(Sebilangan ibu bapa) cuba untuk membongkar maklumat seperti ... keputusan peperiksaan anak anda," kata bapa kepada tiga anak itu. "Saya cuba untuk memberitahu mereka, 'Harap jangan membanding-bandingkan.'

"Kita perlu mempunyai seseorang untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak, untuk membenarkan setiap anggota kumpulan supaya berasa tenang, contohnya dengan (melaksanakan) peraturan-peraturan mudah seperti 'Jangan mengirim pesanan selepas, katakanlah, 11.00 malam' ... (jangan membincangkan) isu-isu sensitif (dan) jangan memburuk-burukkan antara satu sama lain."

KESAN PADA GURU-GURU

Penggunaan WhatsApp juga mendedahkan guru-guru kepada kata-kata yang merendah-rendahkan mereka, kutukan dan penghinaan oleh ibu bapa.

Misalnya, antara sebab-sebab Cik Lenny Syafawatie Abdul Rahman meninggalkan sektor pendidikan setelah 14 tahun mengajar di sekolah rendah adalah beliau perlu menangani ibu bapa yang menyusahkan, secara peribadi mahupun online, meskipun beliau sendiri tidak menyertai kumpulan-kumpulan sembang ibu bapa.

"Anda harus berfikir dua kali mengenai apa-apa yang anda katakan dalam bilik darjah kerana anda bimbang kata-kata anda akan disalah tafsir oleh para murid," kata guru tuisyen sepenuh masa itu. "Ibu bapa akan menyebarkan (kata-kata) itu dalam kalangan mereka sendiri (dan) mengubah kisah (sebenar)".

Dalam satu insiden ketika Cik Lenny mengajar kelas seramai 40 murid, seorang ibu bapa memetik gambar pemarkahannya dan mengirimkannya ke sebuah kumpulan sembang.

"Beliau berkata, 'Anda semua harus menyemak kerja sekolah anak anda. Guru ini menyemak secara semberono.' Ia sebenarnya satu (jawapan kepada soalan Matematik) yang silap disemak," kata Cik Lenny.

ANAK-ANAK KURANG BERDIKARI?

Sebagai kayu ukur untuk meningkatkan pelibatan ibu bapa dan mengikuti perkembangan persekolahan anak mereka, kumpulan-kumpulan WhatsApp amat berguna, lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang khuatir anak-anak mereka tidak memberi perhatian atau lupa mencatat nota.

Namun jika seseorang ibu bapa itu bergantung kepada ibu bapa lain untuk mendapatkan maklumat-maklumat seperti tarikh peperiksaan, tidakkah ini juga menyebabkan anak mereka menjadi kurang berdikari?

Xavier Chua adalah salah seorang murid yang "kerap" lupa untuk melakukan kerja sekolah di rumah tetapi para ibu bapa dalam kumpulan sembang yang disertai ibunya akan mengongsi maklumat itu, dan kemudian dia akan dimarahi.
Namun bagi Chua, itu bukanlah masalah utama. Menurut murid berusia 11 tahun itu, keburukannya tercetus apabila para ibu bapa mengongsi keputusan murid-murid yang lain.

Kadangkala ibu bapanya akan memberitahunya mengenai rakan-rakannya yang meraih markah-markah yang lebih tinggi daripadanya.

Jurulatih pendidikan digital Carol Loi, yang mengendalikan bengkel-bengkel mengenai keibubapaan dalam zaman digital, berkata bahawa ibu bapa mungkin gagal menyokong pembelajaran anak-anak mereka jika "mereka sentiasa menyediakan tongkat sepanjang masa".

Beliau mengesyorkan agar anak-anak dibantu dengan mengalami kesan-kesan jika mereka terlupa dan perkara-perkara yang mereka boleh pelajari daripada pengalaman itu.

"Ini lebih penting daripada mendapatkan maklumat bagi mereka dan memberikannya kepada mereka," kata Cik Loi, 49 tahun.

Bagi para ibu bapa yang mempertimbangkan sama ada untuk meninggalkan kumpulan-kumpulan sembang ibu bapa, Cik Choo memberi nasihat: "Jika anda boleh bergantung 100 peratus kepada anak-anak anda - ini bermakna anda tidak bergantung kepada 'pusat maklumat' ini - anda boleh melakukannya."

Sumber : CNA/ZM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan