Images
  • pedang msia
    (Gambar: BERNAMA)

Belia bina kerjaya dalam pembuatan pedang tradisional

PASIR MAS: Biarpun seni pembuatan senjata api tradisional ketika ini semakin hilang ditelan zaman, minat terhadap senjata tradisional mendorong seorang pemuda dari Kampung Jelujok dekat Slow Machang, di sini, memilih 'bergelumang' dengan besi dan api, serta sentuhan kreativiti untuk dijadikan sebagai kerjaya.

Saiful Azhar Abd Deraman, 26, yang memiliki sebuah bengkel pembuatan pedang di sebelah rumahnya turut mengakui beliau juga bagaikan tidak pernah 'menganggur' daripada melakukan kerjanya kerana mendapat permintaan tinggi, dengan pulangan yang boleh dikatakan lumayan.

"Dahulunya saya tidak yakin dengan kebolehan sendiri, namun apabila pedang yang dibuat mampu menarik pembeli dengan harga ratusan ringgit untuk sebilah, keyakinan mulai hadir dalam diri.

"Kini saya mampu membuat pelbagai pedang termasuk pedang yang dinamakan Buaya Berenang, Krabi, Jenawi Sukma, pedang Rotan, Sundang Lipas dan sudah pastinya pedang Melayu," katanya yang turut menerima tempahan pedang Samurai.

Bercerita lanjut, Saiful Azhar yang juga mahir membuat pisau dan golok berkata beliau berguru dengan abangnya, Mohd Fadzil, 43, selama dua tahun untuk menambah kemahiran dalam seni tradisional itu dan kini mampu menyiapkan sebilah pedang bersama hulu serta sarung hanya dalam tempoh sehari sahaja.

BESI DIIMPORT DARI JEPUN

Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, besi bilah pedang yang dibuatnya berasal dari Jepun dan diperolehi daripada pengedar dari Perak dan kebiasaannya, bilah pedang itu akan dipotong sebelum dimasukkan ke dalam api dan ditempa mengikut bentuk yang dikehendaki.

"Saya turut menggunakan mesin bagi menajamkan bilah mata pedang sehingga tajam dan berkilat sebelum membuat sarung dan gagang (hulu) pedang.

"Biasanya sarung dan gagang pedang dibuat daripada kayu akasia, halban dan kundang (setar) kerana kukuh dan mempunyai teras yang pelbagai corak. Ini akan menambahkan lagi kecantikan sarung pedang dan kelihatan lebih berseni," kata Saiful Azhar, yang namanya juga bermaksud pedang.

Menurutnya, bidang pembuatan pedang yang diceburinya ini kelihatan agak ketinggalan bagi sesetengah orang, namun dengan wujudnya pelbagai platform media sosial kini, proses memasarkannya menjadi mudah.

Katanya walaupun masih baru dalam bidang itu, pedang yang dibuatnya pernah dijual sehingga RM600 (S$195.20) sebilah dan kini sudah mendapat tempahan seluruh negara apabila ramai yang berminat untuk menempah selepas melihat hasil seninya yang dimuat naik di laman sosial Facebook.

"Dalam sebulan saya boleh menyiapkan 30 bilah pedang. Pedang paling panjang yang pernah dibuat adalah sepanjang 36 inci dan paling pendek 24 inci,” katanya.

- BERNAMA/TQ/tq

Top