Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Beli-belah sepanjang hari tanpa GST? Pengalaman GSS baru kembali ke Orchard Road

Jualan Raksasa Singapura yang selama ini dikenali sebagai GSS kini kembali dengan acara GSS: Experience Singapore. GSS: Experience Singapore yang berlangsung antara 21 Jun hingga 28 Julai, akan menawarkan pelbagai kegiatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Beli-belah sepanjang hari tanpa GST? Pengalaman GSS baru kembali ke Orchard Road

Gambar fail. (Gambar: Ernest Chua/TODAY)

Diterbitkan : 17 Jun 2019 03:34PM Dikemas Kini : 17 Jun 2019 03:43PM

SINGAPURA: Jualan Raksasa Singapura yang selama ini dikenali sebagai GSS kini kembali dengan acara GSS: Experience Singapore.

GSS: Experience Singapore yang berlangsung antara 21 Jun hingga 28 Julai, akan menawarkan pelbagai kegiatan termasuk Fashion Scramble - iaitu pertunjukan fesyen yang diadakan di tempat lalulintas dan juga pasar sementara serta kunjungan sekitar Kampong Glam.

Kempen itu yang sudah diadakan selama 25 tahun, bermula sebagai acara sepanjang bulan pada 1994, menjanjikan lebih banyak potongan harga, tawaran dan tumpuan khusus kepada sambutan fesyen, makanan dan seni Singapura.

DISKAUN HEBAT

Tarikh 7 Julai pasti dinanti-nantikan orang ramai, kerana ia ditetapkan sebagai Hari 7.7 GST Diserap (7.7 GST Absorbed Day). Mereka yang memburu tawaran istimewa boleh membeli-belah tanpa dikenakan GST di kedai-kedai terpilih yang akan menanggung cukai GST 7 peratus, termasuk cukai yang dikenakan ke atas barangan tawaran.

Senarai peruncit yang menyertai Hari 7.7 GST Diserap dijangka akan diumumkan menjelang GSS.

Ada juga peluang bagi 'hantu' tawaran beli-belah untuk menyertai acara-acara seperti TGIF!, di mana para peruncit akan mempromosikan potongan harga setiap Jumaat semasa tempoh acara. Para pembeli-belah boleh mengakses tawaran mengejut 'beli satu, dapat satu percuma', tawaran hingga 80 peratus untuk kesemua barangan dalam kedai dan hadiah-hadiah percuma.

Sepanjang acara 38 hari itu, ada diskaun-diskaun lain yang boleh dimanfaatkan. Misalnya, mereka yang menggunakan aplikasi e-kupon GoSpree yang dikendalikan Persatuan Peruncit Singapura (SRA) akan menerima tawaran-tawaran istimewa dan penjimatan tambahan.

PERTUNJUKAN FESYEN TENGAH JALAN

Jangan bimbang jika didampingi peragawati di lalulintas berbilang arah di persimpangan Cairnhill Road dengan Orchard Road. Ia adalah sebahagian daripada Fashion Scramble Orchard Road yang akan membuka tirai GSS: Singapore Experience.

Pertunjukan fesyen yang diselia SRA dan Persekutuan Tekstil dan Fesyen (TAFF) itu akan diadakan pada Jumaat (21 Jun) dari 3.30 petang hingga 5.30 petang.

Ia akan mengetengahkan 300 penari dan model yang akan menggayakan rekaan oleh pereka tempatan dan asing dari institusi-institusi seperti Politeknik Temasek, Institut Reka Bentuk Raffles, Akademi Seni Halus Nanyang dan Maktab Seni LASALLE.

Pasar sementara GSS akan menawarkan lebih 40 pilihan runcit sepanjang 10 hari dari 21 hingga 30 Jun. Pasar itu akan menawarkan juadah makanan dan pameran seni yang akan dikongsi menerusi Instagram sepanjang kawasan beli-belah Orchard Road dari ION Orchard hingga Mandarin Gallery, dan juga di Robinsons The Heeren dan di tempat letak kereta Grange Road.

Mereka yang ingin beristirahat setelah penat membeli-belah boleh menikmati tayangan 10 filem pendek terbitan penuntut Politeknik Temasek dan juga persembahan muzik oleh artis-artis tempatan di Rooftop Design Orchard dan tempat letak kereta Grange Road.

Bagi peminat reka bentuk pula, The Great Furniture Showcase akan mengetengahkan reka bentuk edisi terbaru di Robinsons The Heeren.

Pameran itu diselia Majlis Industri Perabot Singapura. Studio-studio reka bentuk yang akan menyertai pameran itu termasuk jenama-jenama tempatan 11H, Creativeans dan Fraction Design Studio.

Pengarah eksekutif SRA Rose Tong berkata kepada Mediacorp bahawa selepas 25 tahun GSS diadakan, GSS sudah bertambah matang.

"GSS: Singapore Experience merupakan satu usaha bersama untuk menyegarkan Orchard Road," kata beliau. "SRA bertekad untuk (menjadikan GSS lebih menarik) untuk memenuhi permintaan pembeli-belah hari ini yang mendambakan pengalaman unik dan menarik". 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan