Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Belajar kata 'tidak' kepada majikan, ahli keluarga dan rakan sebelum terlambat

Sering katakan 'ya' kepada permintaan orang di sekeliling adalah sikap yang disukai ramai, namun boleh membawa kemudaratan pada kesihatan diri anda sendiri. Ini cara mengatasinya dengan baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Belajar kata 'tidak' kepada majikan, ahli keluarga dan rakan sebelum terlambat

(Gambar hiasan: Gerd Altmann/Pixabay)

Diterbitkan : 09 May 2021 10:52PM Dikemas Kini : 09 May 2021 10:57PM

SINGAPURA: Aturan kerja dari rumah dan mesyuarat maya yang menjadi perkara biasa semasa pandemik COVID-19, mengaburkan garis batasan antara kehidupan profesional dengan peribadi. Semakin ramai rakyat Singapura melaporkan fenomena "burnout" di mana berlakunya keletihan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental di tempat kerja.

Oleh itu, masanya amat sesuai dan penting sekali untuk memperoleh serta mengasah satu kemahiran penting bagi mengekalkan gaya hidup dan hubungan yang lebih sihat.

Kemahiran yang dimaksudkan ialah untuk belajar katakan "tidak".

Katakan tidak kepada perlunya duduk di hadapan skrin komputer anda melebihi waktu bekerja. Tidak kepada menghadiri mesyuarat online “mendesak” lagi semasa waktu tidur anda. Tidak kepada memenuhi undangan ke sesuatu tempat yang anda tidak mahu pergi.

Bagaimanapun, menolak sesuatu permintaan bukan semestinya mudah. Tanya saja pakar psikiatri Lim Boon Leng dan psikologi klinikal Gregor Lim-Lange, yang kerja mereka adalah untuk membantu orang menangani masalah kesihatan mental termasuk rasa lesu dan tekanan yang berkaitan dengan pekerjaan.

Dr Lim-Lange adalah ketua psikologi dan pengasas bersama Forest Wolf, sebuah firma perundingan yang bekerja dengan individu dan perniagaan untuk membangunkan kemahiran bagi masa depan.

Menurutnya beliau sendiri kadang-kala bergelut dengan keinginan untuk mengatakan "ya" kepada kenalan sosialnya apabila mereka memintanya untuk menjadi ahli terapi mereka.

Menjadi ahli terapi kepada rakan melanggar batasan profesional, selain boleh menjejas persahabatan itu, jelas beliau.

Dr Lim Boon Leng, yang mengendalikan klinik privet di Pusat Perubatan Gleneagles, berkata walaupun tampak mudah, menolak sesuatu permintaan memerlukan tahap penguasaan tertentu.

"Ini terutama dalam budaya kita, di mana 'memberi muka' dan tidak menyinggung perasaan orang lain adalah keutamaan penting ketika berhadapan dengan orang lain, terutama mereka yang mempunyai lebih kuasa ke atas kita," katanya.

MENGAPA SUKAR SANGAT UNTUK KATAKAN 'TIDAK'

Salah satu sebab mengapa ramai orang cenderung untuk menerima saja permintaan mungkin disebabkan oleh budaya di Asia yang mengelakkan perselisihan dan menitikberatkan sifat patuh kepada kuasa.

"Ada juga rasa tidak mahu mengganggu kumpulan "kita", seperti tidak ingin menyusahkan rakan sekerja atau ahli keluarga"

Pun begitu, Dr Lim-Lange berkata beliau juga melihat pelanggan dari budaya Barat yang bergelut dengan masalah sama untuk menetapkan garis batasan.

"Sekiranya tiada yang mengajar anda (untuk mengatakan 'tidak') atau memberi contoh kepada anda, bagaimana anda tahu untuk melakukannya? Ia seperti bertutur dalam bahasa baru," tambahnya.

Dr Lim Boon Leng berkata bahawa mempunyai ketegasan yang rendah dan ketidakmampuan untuk menolak permintaan adalah faktor risiko yang biasa menyumbang kepada lebih banyak tekanan di tempat kerja, yang kemudiannya mengakibatkan kemungkinan berlakunya lesu upaya dalam pekerjaan dan rasa gelisah.

Secara umumnya, beliau mendapati ciri-ciri tersebut dalam kalangan mereka yang bekerja di industri di mana kakitangan dijangka bersedia sepanjang masa dan memenuhi garis masa yang ketat.

"Ini juga dilihat dalam sektor-sektor di mana ada kekurangan tenaga kerja dan di mana sifat altruisme dijangkakan, seperti dalam kerjaya pendidikan dan kesihatan," tambahnya.

Mereka yang dibesarkan dalam sekitaran yang menggalak untuk ikut kata dan elak perselisihan lebih mudah terdedah kepada masalah ini juga.

BILA HARUS KATAKAN ‘TIDAK’

Selain melindungi kepentingan seseorang dan menjaga diri daripada keletihan secara fizikal dan mental, Dr Lim Boon Leng berkata bahawa seseorang itu harus menetapkan batasan yang sihat atas sebab keselamatan, misalnya, dalam situasi kemungkinan berlaku gangguan seksual.

Di tempat kerja, menjadi "pak turut" pastinya bukan sesuatu yang dibanggakan.

Dr Lim-Lange berkata: "Sekiranya anda selalu mengatakan 'ya', itu tidak akan membawa kepada inovasi baru atau mendorong seseorang keluar dari zon keselesaan mereka, yang merupakan syarat bagi daya kreativiti, inovasi dan kepimpinan."

Beliau menjelaskan bahawa perselisihan atau perbahasan yang sihat adalah sebahagian penting dalam hubungan yang sihat. Ini termasuk di tempat kerja, di mana pasukan berprestasi tinggi cenderung melakukan perbahasan sedemikian.

"Penting juga untuk diingatkan bahawa apabila anda mengatakan 'tidak' kepada sesuatu, ia sekaligus bermakna mengatakan 'ya' kepada sesuatu yang lain. Misalnya sekiranya anda mengatakan 'tidak' kepada projek yang baru, anda mungkin mengatakan 'ya' pada projek sedia ada, memberikan lebih banyak masa dan perhatian.

"Ini tidak bermaksud anda malas atau tidak bekerjasama."

CARA MENOLAK PERMINTAAN

Seperti belajar bahasa baru, belajar untuk mengatakan "tidak" memerlukan latihan.

Dr Lim Boon Leng berkata penting bagi seseorang untuk faham terlebih dahulu sebab sebenar mereka mendapatinya sukar untuk menolak permintaan - daripada merasa seperti orang lain mengambil kesempatan ke atas mereka.

Dr Lim-Lange berkata kebanyakan orang menghormati batasan apabila mereka tahu apa yang sedang dilalui oleh orang lain. Namun, ramai mendapatinya sukar untuk menjelaskan emosi mereka dan berkongsi betapa terharu atau lelah mereka rasakan.

"Apa yang saya galak klien saya lakukan ialah menerangkan dan menzahirkan emosi mereka seadanya. Sebagai contoh, anda boleh berkata 'Saya ingin melakukan apa yang anda minta saya buat tetapi pada masa ini, saya benar-benar penat, rasa lesu, gusar, dan lain-lain'.

"Selalunya, orang akan memahami - dan ini termasuk pengurus dan bos anda."

Ia memerlukan masa untuk berlatih mempamerkan sifat tegas dan seseorang mungkin gagal beberapa kali sebelum membuat kemajuan kecil.

Dr Lim Boon Leng berkata: “Mulakan secara beransur-ansur dengan orang atau masalah yang kurang memberi kesan seperti rakan sebaya yang meminta anda melakukan pekerjaan mereka. Kemudian secara beransur-ansur beralih ke senario yang lebih sukar seperti jangkaan bos anda yang tidak masuk akal. "

Ia juga satu amalan baik untuk terlebih dahulu mempertimbangkan permintaan tersebut.

"Anda boleh memberitahu mereka bahawa anda perlu memeriksa jadual atau komitmen anda dahulu dan anda akan memberi jawapan kemudian. Mungkin lebih mudah untuk menolak kemudian menerusi teks atau emel, yang boleh disertakan dengan alasan yang baik untuk menolak,” tambahnya.

Meskipun demikian, beliau mengingatkan agar tidak mengatakan "tidak" semata-mata dan bersikap agresif daripada bersikap tegas.

"Selalu pertimbangkan sama ada permintaan itu juga untuk kepentingan anda sendiri dan jika ia bermanfaat untuk anda. Bersikap sopan dan tenang, menjelaskan alasan dan sebab anda serta dapatkan persefahaman dari pihak yang meminta akan membantu anda mencapai situasi yang saling menguntungkan,” nasihat Dr Lim Boon Leng.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan