Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bekerja dari rumah? Bagaimana untuk elak berat badan naik akibat makan cemilan

Jika syarikat anda melaksanakan aturan bekerja dari rumah baru-baru ini ekoran penularan COVID-19, anda pasti sedar akan baik buruk aturan baru itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekerja dari rumah? Bagaimana untuk elak berat badan naik akibat makan cemilan

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 20 Feb 2020 01:43PM Dikemas Kini : 20 Feb 2020 01:53PM

SINGAPURA: Jika syarikat anda melaksanakan aturan bekerja dari rumah baru-baru ini ekoran penularan COVID-19, anda pasti sedar akan baik buruk aturan baru itu.

Misalnya, anda tidak perlu lagi meredah lautan manusia pada waktu pagi dan lewat petang untuk menaiki pengangkutan awam.

Jika anda menempah makanan, penghantaran akan dibuat secara langsung ke pintu rumah dan bukan di lobi pejabat.

Namun, dengan begitu banyak kemudahan yang ada, ia boleh menyebabkan berat badan meningkat jika anda tidak berjaga-jaga, kata pakar pemakanan sukan dan klinikal, Jaclyn Reutens.

Menurut Reutens, memandangkan 'isyarat persekitaran mempunyai pengaruh besar terhadap selera makan', ini bermakna anda lebih cenderung untuk memakan bahan-bahan makanan yang ada di rumah.

BERAT BADAN MUNGKIN MENINGKAT 0.5 KG DALAM SEMINGGU

Ketika menyiapkan kerja, anda lebih terdorong untuk memakan snek atau kudapan yang disimpan dalam almari dapur.

Menurut Reutens, satu paket kerepek kentang seberat 75 gram mengandungi sekitar 400 kalori. Jika anda memilih untuk memakan biskut-biskut tawar, ia boleh menyumbang kepada 160 kalori jika anda memakan empat keping biskut sekali gus.

Secawan kopi tiga dalam satu mengandungi 90 kalori manakala minuman jus atau minuman manis dalam paket pula mengandungi 120 kalori.

Jika anda memakan makanan tambahan yang mengandungi 500 kalori setiap hari dalam seminggu, jika dihitung ini akan menyebabkan kenaikan berat badan sebanyak 500 gram.

Bagi mengelakkan pengambilan kalori yang berlebihan, Reutens menyarankan agar anda "mengurangkan jumlah makanan yang anda makan berbanding jika anda bekerja di pejabat."

Misalnya, kurangkan jumlah hidangan nasi atau mi bagi makanan tengah hari. Elakkan daripada memakan biskut untuk waktu rehat atau meminum air soda dan bukan kopi.

Selain daripada itu, Reutens juga menggalak anda supaya bersenam.

Ini seperti melakukan aktiviti meregang otot selama lima minit atau senaman kalistenik selang sejam melakukan tugas.

Jika anda tidak mempunyai masa untuk bersenam, Reutens menyarankan cara-cara berikut untuk memastikan anda kekal aktif di rumah:

- Berhenti dan lakukan senaman regang otot selama lima minit bagi setiap sejam bekerja
- Minum lebih banyak air, supaya anda akan kerap berjalan ke bilik air
- Berdiri daripada duduk ketika melakukan kerja menggunakan komputer riba
- Keluar berjalan untuk makan tengah hari. Guna tangga dan bukan lif
- Jika anda menonton televisyen semasa waktu rehat, lakukan senaman tekan tubi atau 'lunges' semasa tempoh iklan disiarkan

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan