Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bekerja dari rumah ada kesan buruk, mungkin bukan aturan jangka lama terbaik, kata doktor

Beberapa doktor yang ditemui Mediacorp berkata sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada April lalu, mereka menyaksikan kenaikan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam jumlah pesakit yang mengalami masalah kesihatan yang boleh dikaitkan dengan tempoh lama bekerja dari rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekerja dari rumah ada kesan buruk, mungkin bukan aturan jangka lama terbaik, kata doktor

(Gambar: Pexel)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 10:01PM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 10:02PM

SINGAPURA: Beberapa doktor yang ditemui Mediacorp berkata sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada April lalu, mereka menyaksikan kenaikan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam jumlah pesakit yang mengalami masalah kesihatan yang boleh dikaitkan dengan tempoh lama bekerja dari rumah.

Seorang doktor keluarga dari Tayka Medical Family Clinic di Jurong, Dr Sunil Kumar Joseph berkata bahawa aduan yang lazimnya diterima adalah sakit otot seperti sakit belakang dan tengkuk serta migrain atau sakit kepala akibat tekanan.

Sakit badan lazimnya disebabkan oleh kekurangan kegiatan fizikal atau postur badan yang salah, kata Dr Joseph sambil menambah bahawa kebanyakan ruang kerja di rumah tidak mempunyai sistem ergonomik yang baik.

Dr Alvina Nam, yang mengendalikan Clinic@Costa di kondominium Costa Del Sol di Bayshore pula berkata migrain atau sakit kepala lazimnya disebabkan oleh tekanan ketika bekerja dari rumah.

"Orang ramai berasa lebih tertekan dan bimbang kerana ada lebih banyak mesyuarat dan pemisahan antara kerja dengan waktu rehat tidak diamalkan apabila mereka bekerja dari rumah," katanya.

LEBIH BANYAK PENYAKIT LAIN DIALAMI

Para doktor juga berkata mereka melihat peningkatan dalam kes-kes penyakit seperti miopia, keretakan gigi, asma dan ekzema - satu keadaan yang menyebabkan kulit kemerahan-merahan dan rasa gatal - yang mungkin berpunca daripada tempoh lama bekerja dari rumah.

Dr Lynn Chiam, seorang pakar dermatologi di Hospital Mount Elizabeth Novena berkata perengsa seperti sabun dan sabun cuci baju dan faktor-faktor sekitaran seperti hama habuk, bulu haiwan peliharaan dan debunga lazimnya dapat mencetuskan kegatalan pada kulit.

Dr Chiam menambah tahap tekanan yang lebih tinggi semasa pandemik juga boleh menyebabkan tubuh lebih sensitif dan ini menjadikan kulit lebih mudah terjejas apabila terdedah kepada perengsa dan bahan alahan di luar.

Tekanan dan pengambilan makanan juga merupakan antara sebab-sebab utama para doktor gigi melihat lebih ramai pesakit mengalami masalah keretakan gigi.

Ketua pegawai operasi di Q&M Dental Group, Dr Raymond Ang berkata antara masalah yang biasa beliau lihat dalam kalangan mereka yang bekerja dari rumah adalah peningkatan pengambilan makanan ringan, yang boleh menyebabkan masalah kebersihan gigi seperti kereputan gigi - terutama sekali jika makanan ringan itu mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Satu lagi masalah adalah mengetap gigi dan mengisar gigi, yang mungkin disebabkan oleh rasa tertekan dan kegelisahan kerana bekerja dari rumah, dan ini boleh menyebabkan kerosakan pada gigi.

KESAN JANGKA PANJANG

Dalam jangka panjang, aturan bekerja dari rumah yang berpanjangan boleh menghasilkan pelbagai kesan pada kesihatan.

Masalah miopia atau rabun jauh diramalkan menjejas 50 peratus daripada penduduk sejagat dengan hampir satu bilion orang mengalami masalah rabun jauh yang lebih buruk menjelang 2050.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) pada Julai, para pengkaji mendapati bahawa penggunaan peranti digital secara berpanjangan sewaktu pandemik apabila bekerja dari rumah atau menghadiri kelas-kelas online meningkatkan waktu menatap layar digital bagi ramai orang.

Ia juga meningkatkan kekerapan melakukan pekerjaan pada jarak dekat dan kegiatan luar yang terhad, yang boleh mempercepatkan perkembangan miopia dalam sesetengah orang.

Profesor Madya Marcus Ang, pengarah klinikal di Pusat Miopia SNEC berkata semasa satu acara maya pada minggu lalu bahawa kesan pandemik terhadap kadar miopia dan individu yang menghidap miopia mungkin dapat dialami hanya dalam beberapa dekad akan datang kerana keadaan itu berlaku dengan perlahan namun akan menjadi lebih buruk.

Dr Joseph juga percaya bahawa aturan bekerja dari rumah bukanlah aturan mampan kerana gaya hidup tidak aktif boleh menyebabkan tubuh badan menjadi lemah justeru menjejas kekuatan otot, tahap metabolisme dan tabiat tidur.

"Gaya hidup tidak aktif atau kekurangan kegiatan fizikal mempunyai kesan besar terhadap kesihatan seseorang. Kami tidak boleh (bekerja dari rumah) selama-lamanya, orang ramai akan berasa lemah secara keseluruhan."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan