Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bekas pemain bola sepak negara Rafi Ali, pemuzik tanah air kendali 4 gerai rumah makan Ali Nachia

Jika anda mahu mencuba pelbagai jenis masakan air tangan para pemuzik tanah air di bawah satu bumbung, tempatnya di sebuah kedai kopi dekat Hoe Chiang Road. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemain bola sepak negara Rafi Ali, pemuzik tanah air kendali 4 gerai rumah makan Ali Nachia

Bekas pemain bola sepak tempatan, Rafi Ali, berniaga briyani di Rumah Makan Ali Nachia. (Gambar: Rumah Makan Ali Nachia, Rafi Ali menerusi TODAYonline)

Diterbitkan : 13 Aug 2020 01:33PM Dikemas Kini : 13 Aug 2020 01:37PM

SINGAPURA: Jika anda mahu mencuba pelbagai jenis masakan air tangan para pemuzik tanah air di bawah satu bumbung, tempatnya di sebuah kedai kopi dekat Hoe Chiang Road.

Dalam sebuah kedai kopi yang tercorok di Tanjong Pagar, Shah dan Faizal daripada kugiran tempatan terkenal SuperSonic sedang menyapu kaya pada roti bakar dan merebus telur setengah masak.

Di seberang meja, abang mereka iaitu bekas pemain bola sepak negara dan pemain dram The Vibes, Rafi Ali, mengambil pesanan untuk nasi beriani. Di satu lagi gerai jiran, Rostam ataupun Tom Ross iaitu pemain keyboard daripada Shagies baru saja menarik secawan teh tarik yang berbusa.

Ali Nachia adalah sebuah gerai menjual nasi beriani yang bukan asing lagi di Singapura. Ia dikendalikan oleh bapa Rafi, Mohammed Ali Latif, yang membuka gerai itu pada 2002 di stesen Kereta Api Tanjong Pagar yang lama.

Bekas pemotong daging dan katerer perkahwinan itu berpindah ke Tanjong Pagar Plaza pada 2011 selepas stesen kereta api tersebut ditutup dan berniaga di sana sehingga Januari tahun ini. Kenaikan harga sewa memaksa beliau untuk keluar daripada premis itu dan berjualan di ruang sekarang yang terletak di Hoe Chiang Road, sebuah rumah kedai kecil tidak jauh dari tempat lama. Kedai kopi berkonsep santai itu menyediakan sekitar 11 set meja kayu dan bangku plastik untuk menjamu para pelanggan yang kunjung tiba.

"Tuan tanah baru mahu meningkatkan sewa sebanyak 100 peratus, gila!" kongsi Rafi. Beliau sudahpun bersara daripada arena bola sepak profesional pada 2008 tetapi masih disanjung sebagai salah seorang pemain midfield terbaik Singapura dan sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Tiger pada 1998. "Jadi kami harus berpindah"

Pada awalnya, Ali Nachia hanya mengambil satu gerai sahaja di kedai kopi dengan empat gerai itu. Namun, apabila penyewa utama berpindah keluar pada Mei lalu, tuan tanah menawarkan seluruh ruang kedai kopi itu untuk dikendalikan oleh keluarga tersebut - langkah yang bijak memandangkan ia kini satu-satunya gerai makanan halal dalam kalangan lima cawangan F&B terletak sederetnya.

“Kami tidak mempunyai masa lama untuk berfikir, kami hanya menerimanya," kata Rafi sambil tersengih. "Kemudian kami berfikir, mengapa tidak mengajak rakan-rakan pemuzik kami untuk mengambil alih gerai-gerai itu? Kami semua banyak melancong, kami gemar memasak, kami tahu apa yang orang ramai mahukan."

Kuih-muih yang dijual di Rumah Makan Ali Nachia. 

Pengambilalihan itu berlaku bulan lalu. Salah sebuah gerai di kedai kopi tersebut menjual kuih-muih Melayu dan pisang goreng manakala satu lagi adalah gerai nasi padang - kebangkitan semula Maimon & Son, yang terletak bertentangan dengan Panggung Rex dari tahun 1950-an hingga 1970-an sebelum ia berpindah ke Pasar Tekka. Gerai tersebut terkenal dengan masakan Jawa seperti nasi jenganan dan nasi rawon.

Maimon & Son’s versi 2.0 dikendalikan oleh seorang lagi muka popular dalam arena muzik setempat, pemain gitar bes Jive Talkin’, Din Safari, dan adik perempuannya. Ibu bapa adik-beradik itu pernah berniaga di sebuah gerai di Pasar Tekka yang kini sudahpun ditutup. Di gerai baru tersebut, Din dan adik perempuannya menghidangkan juadah resipi lama orang tua mereka.

Sementara itu, gerai keempat di belakang kedai kopi berkenaan menjual tek tarik dan roti bakar kaya, diusahakan oleh Rostam dari kugiran Shagies.

Rafi Ali (tengah) dan adik-beradiknya. 

Ini adalah kali pertama Rafi dan adik-beradiknya menyertai perniagaan bapa mereka secara sepenuh masa dan mereka sudahpun mempunyai buah fikiran segera dalam perancangan. Rafi, bagaimanapun, masih bergiat dalam bola sepak dengan menjadi jurulatih kepada para pelajar di sekolah-sekolah menengah Manjusri dan Riverside untuk tiga kali seminggu.

“Kami ingin menawarkan hidangan khas di menu sekali-sekali, buat sesuatu berlainan sekali dalam sebulan," ujar lelaki berbakat itu. Sebelum ini beliau membantu bapanya di gerai sekali-sekali saja sejak bersara daripada bola sepak tetapi kini berpendapat bahawa sudah tiba masanya beliau dan adik-beradik lelakinya belajar untuk mengambil alih perniagaan memandangkan ibu bapa mereka kian lanjut usia.

Hidangan briyani yang dijual di Rumah Makan Ali Nachia. 

Juadah pengenalan yang dirintiskan adalah beriani daging paha kambing yang dihidangkan sekali bersama tulangnya, berharga S$17 sepinggan. Ia adalah juadah paling mahal pada menu gerai itu kerana ia menggunakan daging kambing Australia yang bermutu tinggi.

Bapa Rafi, berusia 70 tahun, masih melakukan segala kerja memasak. Beliau memastikan resipi rempah asli gerai tersebut - yang menurut Rafi adalah "senjata rahsia" keluarga itu dan mengandungi "banyak" bahan termasuk saffron - diikuti dengan rapi.

Periuk berisi nasi briyani, juadah utama dijual di Rumah Makan Ali Nachia. 

“Beliau memasak seolah-olah untuk majlis perkahwinan! Falsafahnya adalah jika kita mahu memberi orang makan, kita lakukannya dengan betul, jika tidak, tidak perlu buat langsung," kata Rafi.

Selain beriani, roti bakar disapu kaya dan mentega oleh Rostam yang digandingkan dengan telur separuh masak dan secawan air panas bagi set berharga S$3.00 mungkin satu pilihan popular sekembalinya orang ramai ke tempat kerja. Ini kerana ia adalah pilihan sarapan paling murah di kawasan tengah bandar itu. Lagi satu pilihan yang mungkin melihat barisan beratur panjang adalah teh tarik, berharga S$1.20.

Set sarapan yang dijual di Rumah Makan Ali Nachia.

Rafi dan keluarganya tidak memendam cita-cita besar untuk kedai makan tersebut. "Kami tidak menyasarkan untuk menjadi jutawan. Saya hanya mahu bekerja di tempat di mana anda tidak takut melakukan ini dan itu; hanya suka-suka," ujar beliau.

Sekalipun demikian, beliau bersemangat untuk mengubah ruang tersebut menjadi tempat di mana golongan pemuzik dan pemain bola sepak boleh bersantai, saling memberi inspirasi dan merasakan ibarat di rumah sendiri.

Nampaknya, begitulah keadaannya tidak lama lagi kerana sekarang saja, rumah makan Ali Nachia kerap dikunjungi Papa Rock Ramli Sarip dan legenda bola sepak tahun 70-an, Quah Kim Song, yang juga merupakan teman lelaki anggota Parti Pekerja Sylvia Lim.

Rumah Makan Ali Nachia Eating House terletak di 9 Hoe Chiang Rd, S089314. Ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu dari sekitar 10.30 pagi hingga 2.15 petang (buat masa ini). Ditutup pada Ahad. Penghantaran ke merata negara disediakan pada kadar tetap S$10 - hubungi atau WhatsApp 9389-2615. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan