Images
  • sister (1)
    Cik Sabariah Hussein. (Gambar: Sister Sabria Foundation)

Bekas guru S’pura ini kini ‘Muslim Mother Teresa’ di Kanada

BERITAmediacorp: Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah Cik Sabariah Hussein tidak akan berhenti menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan. Malah, sudah lebih 20 tahun, wanita yang dibesarkan di Singapura itu, menyediakan jamuan percuma setiap hari kepada golongan kurang bernasib baik dan gelandangan nun jauh di Kanada - tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Ribuan keluarga sudah mendapat sentuhan ihsan makanan percuma wanita berhati mulia itu.

Maka tidak hairanlah orang-orang di sekelilingnya begitu menyanjungi Cik Sabariah sehingga menggelarkan beliau ‘Muslim Mother Teresa’ di Kanada. Insan yang turut dikenali sebagai ‘Sister Sabria’ itu adalah seorang bekas guru pendidikan khas, yang dilahirkan di Johor Bahru.

Sebagai seorang yang prihatin tentang nasib golongan memerlukan, Cik Sabariah sudah menubuhkan Yayasan Sister Sabria dan mengendalikan dua buah rumah perlindungan wanita yang diberi nama Our Second Home.

Tidak lama lagi, wanita berusia 70 tahun itu akan membangunkan pula sebuah pusat masyarakat yang dipanggil Sister Sabria Halal Community Kitchen di Kanada dan sebuah rumah anak yatim di Kota Tinggi, Malaysia.

Cik Sabariah bersama para relawan. (Gambar: Ibrahima Kalil Sackobah)

TUBUH ‘DAPUR MASYARAKAT’ PELBAGAI KEGIATAN

Untuk menempatkan Sister Sabria Halal Community Kitchen, Cik Sabariah membeli sebuah bangunan dua tingkat di daerah Cote Desneiges, di bandar Montreal.

‘Dapur masyarakat’ itu menyasar untuk menjadi sebuah hab yang menawarkan pelbagai insiatif sosial dan aktiviti yang tertumpu kepada usaha memberi bantuan serta makanan kepada golongan memerlukan. Sekali gus berusaha menghuraikan isu kelaparan dalam masyarakat.

BERITAmediacorp dimaklumkan oleh Sister Sabria sendiri bahawa sebuah kedai roti (bakery) dan kafeteria akan dibuka di hab tersebut. Ia akan dikendalikan sepenuhnya oleh para sukarelawan Sister Sabria Foundation (SSF) dan hasil pendapatan yang diraih akan digunakan untuk menyokong projek-projek amal SSF.

Dalam pada itu, golongan memerlukan juga boleh mendapatkan makanan dan minuman secara percuma di situ.

Cik Sabariah mengagihkan makanan percuma. (Gambar: Ibrahima Kalil Sackobah)

SISTER SABRIA DIBANTU 320 SUKARELAWAN!

“Antara projek-projek yang dilaksanakan di Sister Sabria Halal Community Kitchen adalah Big Sister Brother Project. Projek tersebut menyasar untuk membantu para pelajar daripada keluarga kurang mampu dalam pendidikan mereka. Pendek kata, para relawan SSF yang terdiri daripada para mahasiswa dan individu yang sudah bekerja, akan menawarkan khidmat tuisyen percuma kepada mereka dan berperanan sebagai ‘mentor’.

“Buat masa ini, Alhamdulillah, seramai 320 sukarelawan sudah mendaftarkan minat mereka,” kongsi Sister Sabria kepada BERITAmediacorp.


Antara para relawan SSF. (Gambar: Adel Ferradj)

Selain itu, kanak-kanak yatim yang tiada sesiapa untuk menjaga dan membimbing mereka juga boleh mendapatkan bantuan daripada Sister Sabria Halal Community Kitchen.

Mengulas lebih lanjut fungsi ‘dapur masyarakat’ yang bakal ditubuhkannya itu, ia akan dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam dan mempunyai 'peti sejuk masyarakat'. Ia diwujudkan demi membantu golongan memerlukan, tidak kira bangsa ataupun agama, mendapatkan barang-barang keperluan dapur.

Kesimpulannya, Sister Sabria berharap agar Sister Sabria Halal Community Kitchen dapat menjadi pemangkin ataupun penggerak yang mendorong masyarakat bergiat aktif dalam aktiviti berbentuk kebajikan mahupun beramal jariah.

PENTINGNYA ‘TIANG AGAMA’ & DARI MANA DATANGNYA SUMBER BELANJA?

Menurut Cik Sabariah, pihaknya akan bekerjasama dengan Yayasan Zakat Kebangsaan Kanada (National Zakat Foundation) dan bank-bank makanan untuk mengumpul dana serta makanan bagi menolong golongan anak yatim tersebut.

SSF juga menjalin kerjasama dengan banyak badan lain termasuk Human Concern International, Al-Madinah Center dan Anglican Church di negara Amerika Utara itu.

Selain itu, kelas-kelas bimbingan agama dan nasyid turut akan diadakan di hab tersebut.

Antara para relawan SSF. (Gambar: Ibrahima Kalil Sackobah)

Dalam wawancara dengan BERITAmediacorp ini, Cik Sabariah menekankan betapa pentingnya mempunyai tiang agama yang teguh, lebih-lebih lagi sekiranya berada di negara Barat.

“Menjadi seseorang yang berpendidikan itu memang penting. Tetapi juga penting untuk menjadi seorang yang beriman, berbudi pekerti dan menghormati ibu bapa,” tambah Sister Sabria.

Sebenarnya, bagaimana beliau boleh ‘tercampak’ sehingga ke Kanada? Cik Sabariah berhijrah ke sana pada usia 37 tahun kerana bekerja sebagai seorang guru di Montreal. Beliau kemudian berumah tangga dengan seorang lelaki Kanada dan terus menetap di sana.


RANCANG MODEL RUMAH ANAK YATIM ‘BERDAYA MAJU’ DI JOHOR

Kini setelah sekian lama bertapak di Kanada, Cik Sabariah mahu meluaskan kerja-kerja amalnya itu di rantau Melayu pula. Misalnya, membangunkan sebuah rumah bagi anak-anak yatim Rohingnya di Kota Tinggi, Malaysia tidak lama lagi.

Sister Sabria mendedahkan kepada kami bahawa beliau akan ke Malaysia bulan Februari ini untuk menandatangani beberapa dokumen dan menyelesaikan segala urusan bagi penubuhan rumah anak yatim itu. Rumah anak-anak yatim di tapak sebesar 3 ekar itu akan menampung sekitar 70 hingga 80 anak yatim Rohingnya dan 20 hingga 30 anak yatim warga Malaysia sendiri.

Menurut beliau lagi, rumah tumpangan yang bertempat di sebuah tanah wakaf itu dijangka melaksanakan pertanian dan penternakan organik agar rumah anak yatim itu dapat meraih sumber pendapatan sendiri.

“Beberapa chalet juga akan dibina berdekatan bagi menggalak lebih ramai pengunjung untuk menziarahi rumah anak yatim itu. Namun sudah tentunya, beberapa peraturan akan ditetapkan bagi menjamin keselamatan anak-anak yatim itu,” jelas Sister Sabria kepada BERITAmediacorp.


(Gambar: Ibrahima Kalil Sackobah)

RAYU SOKONGAN BADAN NGO M’SIA DAN S’PURA

Sister Sabria berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau amat bersyukur ramai yang tidak teragak-agak menderma kepada pertubuhan kebajikan amal Yayasan Sister Sabria.

Beliau kini menaruh harapan agar warga dan badan-badan Malaysia dan Singapura juga, turut menyokong SSF agar ia dapat membantu lebih ramai lagi golongan kurang bernasib baik.

“Oleh kerana saya dibesarkan di Singapura, saya amat berharap rakan-rakan, kenalan serta rakyat Singapura dapat memainkan peranan dalam projek membangunkan rumah anak yatim di Kota Tinggi.

“Sumbangan dana tersebut akan dapat membantu membiayai kebajikan anak-anak yatim,” menurut Sister Sabria.

“DALAM BERAMAL, TIDAK ADA ISTILAH SETENGAH-SETENGAH…”

Walaupun pertubuhan amalnya di Kanada kini berada jauh dari Singapura dan Malaysia, ada seorang sukarelawan berasal dari Malaysia yang kini menyingsing lengan membantu usaha-usaha Cik Sabariah.


Aiman Hadif Abdul Razak bersama Cik Sabariah.

Aiman Hadif Abdul Razak, 20 tahun, yang sudah dua tahun bergiat aktif dalam SSF secara serius, berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau amat bertuah mengenali Sister Sabria, yang dianggapnya seperti neneknya sendiri.

Mahasiswa tahun kedua jurusan Neurosains di Universiti McGill itu berkongsi bahawa kesungguhan dan keikhlasan Sister Sabria membantu golongan kurang bernasib baik, membakar semangatnya untuk juga melakukan perkara yang sama.

“Sister Sabria sering menasihati bahawa dalam beramal, tidak ada istilah setengah-setengah atau melepaskan batuk di tangga. Kita mesti memberi 100 peratus atau lebih kepada mereka yang memerlukan. Dan yang paling penting adalah niat kita. Insya’Allah semua urusan akan dipermudahkan jika kita ikhlas,” cerita Aiman.

KEMANISAN BERAMAL JARIAH

Sepanjang dua tahun sebagai relawan bersama SSF, Aiman berkongsi pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan adalah apabila beliau memberikan makanan kepada sebuah keluarga pelarian daripada Syria. Pertemuannya dengan keluarga itu meninggalkan kesan yang mendalam kerana liku-liku kehidupan yang dihadapi keluarga itu ‘terpeta’ pada anggota badan mereka – iaitu dipenuhi dengan pelbagai kesan luka.

(Gambar: Ibrahima Kalil Sackobah)

“Meskipun saya tidak dapat berkomunikasi dengan mereka kerana mereka hanya boleh bertutur Bahasa Arab, gerak geri dan raut wajah mereka jelas menzahirkan perasaan sedemikian. Senyuman mereka adalah ‘hadiah’ paling bermakna untuk saya… walaupun bantuan yang dihulurkan itu kecil, tetapi ia amat bermakna bagi penerima,” kongsi Aiman lagi.

Apabila diminta BERITAmediacorp untuk merumuskan perwatakan Sister Sabria, Aiman berkata: “Sister Sabria seperti permata berkilauan yang menerangi kehidupan orang-orang di sekelilingnya.” 

- BERITAmediacorp/na

Top