Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bekas Balai Bomba Bukit Timah akan dijadikan hab gaya hidup

Bekas Balai Bomba Bukit Timah akan diubah menjadi sebuah hab gaya hidup "mampan" yang menawarkan kegiatan-kegiatan bercucuk tanam dalam persekitaran bandar serta kegiatan-kegiatan kesejahteraan yang berasaskan alam semula jadi untuk para pengunjung.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas Balai Bomba Bukit Timah akan dijadikan hab gaya hidup

(Gambar: Homestead Holland)

Diterbitkan : 16 Sep 2021 08:20PM Dikemas Kini : 16 Sep 2021 08:21PM

SINGAPURA: Bekas Balai Bomba Bukit Timah akan diubah menjadi sebuah hab gaya hidup "mampan" yang menawarkan kegiatan-kegiatan bercucuk tanam dalam persekitaran bandar serta kegiatan-kegiatan kesejahteraan yang berasaskan alam semula jadi untuk para pengunjung.

Apabila siap kelak, tapak bersejarah itu akan menjadi gerbang kepada daya tarikan warisan dan alam semula jadi di kawasan tersebut, dedah Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Penguasa Tanah Singapura (SLA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dalam satu kenyataan media bersama.

Mercu tanda yang terletak berdekatan termasuk bekas Kilang Ford, Tugu Peringatan Bukit Batok, Hutan Simpanan Bukit Timah, Taman Alam Semula Jadi Bukit Batok, serta laluan-laluan riadah merata negara - Koridor Kereta Api sejauh 24km dan Jejak Tepi Pantai sepanjang 36km.

Tapak tersebut juga akan menempatkan "ruang masyarakat yang luas" yang dikelilingi oleh "kehijauan yang subur dan warisan yang kaya".

Kerja-kerja baik pulih di tapak itu dijangka bermula sekitar hujung tahun ini. Buat masa ini, ia dijadual dibuka kepada orang ramai sebelum suku kedua 2022.

TENDER DIBERIKAN KEPADA PEMENANG PERTANDINGAN GLOBAL

Tender untuk tanah pemerintah itu akan diberikan kepada Homestead Holland, dengan tempoh sewanya dijangka bermula pada suku keempat 2021.

Syarikat itu memenangi pertandingan "Reinventing Cities" Kumpulan Kepimpinan Iklim Bandar C40, yang dianjurkan bersama dengan URA, SLA, NParks dan BCA.

Pertandingan itu bermatlamat untuk menerapkan ciri-ciri bandar yang neutral karbon dan mampan di tapak-tapak yang kurang digunakan di dalam bandar.

Bekas Balai Bomba Bukit Timah adalah yang pertama di Asia untuk disertakan dalam acara itu semasa ia dilancarkan pada Disember 2019.

Dengan tema "Good Food, Good Life", saranan yang diusulkan oleh pemenang itu menampilkan ruang acara masyarakat, serta taman petak untuk bereksperimen dengan pengeluaran makanan dan pengurusan sisa makanan yang mampan.

"Ia juga akan menyatukan pelbagai kegunaan seperti khidmat makanan dan minuman termasuk pengalaman dari ladang ke meja jamuan, aktiviti kesihatan dan kesejahteraan dan bengkel yang berkaitan dengan alam semula jadi," menurut pihak berkuasa.

Ciri-ciri mesra alam seperti strategi pengurusan sisa yang dipertingkatkan dan pembinaan mesra alam juga akan dilaksanakan.

Terdapat juga inisiatif mobiliti karbon rendah, seperti menyediakan khidmat bas ulang-alik dan stesen mengecas kenderaan elektrik.

Matlamat projek itu adalah untuk mendapatkan pentauliahan Anugerah Tanda Hijau Platinum di bawah Tanda Hijau 2021, menurut pihak berkuasa.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan