Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Beg duit kembali dalam genggaman lebih 50 tahun selepas hilang di Antartika

Beg duit Paul Grisham sudah begitu lama hilang jauh di Kutub Selatan sehingga beliau sendiri terlupa tentang beg duit itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Beg duit kembali dalam genggaman lebih 50 tahun selepas hilang di Antartika

Paul Grisham bersama isterinya Carole Salazar membuka beg duitnya yang dijumpai kembali setelah lebih 50 tahun hilang. (Gambar-gambar: Nelvin C. Cepeda/The San Diego Union-Tribune via AP)

Diterbitkan : 06 Feb 2021 11:33PM Dikemas Kini : 06 Feb 2021 11:37PM

SAN DIEGO: Beg duit Paul Grisham sudah begitu lama hilang jauh di Kutub Selatan sehingga beliau sendiri terlupa tentang beg duit itu.

Lima puluh tiga tahun kemudian, beg duit itu kembali berada dalam genggaman lelaki berasal dari San Diego yang berusia 91 tahun itu.

Bukan itu sahaja, segala isi kandungannya juga masih ada dalam beg duit itu.

"Saya sangat teruja," Encik Grisham memberitahu The San Diego Union-Tribune setelah beg duitnya dikembalikan pada Sabtu (30 Jan).

"Begitu ramai orang yang terlibat cuba menjejaki saya."

Beg duit itu mengandungi kad pengenalan tentera laut milik beliau, yang dulu bertugas sebagai ahli meteorologi tentera laut dengan misi di Antartika pada tahun 1960-an.

(Gambar: Nelvin C. Cepeda/The San Diego Union-Tribune via AP)

Selain itu, lesen memandunya, kad rujukan mini yang dijadikan panduan untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku serangan atomik, biologi atau kimia, kad tebuk bagi mencatu arak, kenyataan cukai dan resit-resit kiriman wang kepada isterinya juga masih ada dalam beg duit tersebut.

(Gambar: Nelvin C. Cepeda/The San Diego Union-Tribune via AP)

Encik Grisham, yang dibesarkan di Douglas, Arizona, menyertai tentera laut pada 1948. Beliau kemudian menjadi teknisyen cuaca dan peramal cuaca.

Beliau ditugaskan ke Antartika sebagai sebahagian daripada 'Operation Deep Freeze', yang menyokong para saintis awam dan berlayar ke benua sejuk itu pada Oktober 1967.

Pada waktu itu, beliau berusia 30-an tahun, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kecil.

"Saya memberontak juga semasa ke sana," beliau memberitahu Union-Tribune.

Pada satu ketika semasa di Antartika, Encik Grisham kehilangan beg duitnya. Namun kemudian terlupa mengenainya.

Ia dijumpai di belakang sebuah gerobok pada tahun 2014 semasa proses merobohkan sebuah bangunan di Stesen McMurdo di Ross Island, Antartika.

Sekalipun demikian untuk mencari pemilik beg duit itu melibatkan kiriman emel, mesej Facebook dan surat-menyurat antara sekumpulan orang.

(Gambar: Nelvin C. Cepeda/The San Diego Union-Tribune via AP)

BAGAIMANA BOLEH JUMPA PEMILIK ASAL?

Stephen Decato dan anak perempuannya Sarah Lindbergh, kedua-duanya dari New Hampshire, dan Bruce McKee dari sebuah pertubuhan bukan untuk keuntungan di Indiana sebelum ini pernah berusaha untuk memulangkan seutas gelang pengenalan tentera laut kepada pemiliknya.

Encik Decato menjumpai gelang tersebut di sebuah kedai lalu membelinya. Anak perempuannya kemudian mendapat tahu tentang pertubuhan Encik McKee yang memberi pengiktirafan kepada tentera veteran. Notis online yang dimuat naik oleh Encik McKee mengenai gelang tentera laut itu membawa mereka kepada pemilik asalnya.

Encik Decato sebelum ini bekerja di sebuah agensi yang melakukan kajian di Antartika.

Bekas bos beliau, George Blaisdell, mendapat tahu tentang gelang tentera laut itu dan memutuskan untuk mengirimkan dua beg duit kepada Encik Decato. Kedua-duanya dijumpai semasa proses merobohkan bangunan McMurdo itu.

Cik Lindbergh sekali lagi menghubungi Encik Mckee, yang menghubungi seorang lelaki bernama Gary Cox, dari Pertubuhan Khidmat Cuaca Tentera Laut, iaitu kumpulan yang termasuk Encik Grisham.

Beg duit kedua sudah dikirimkan kepada keluarga seorang lelaki yang sudah meninggal dunia pada 2016.

Encik Grisham memberitahu Union-Tribune, sukar untuk menggambarkan keluasan Antartika dan betapa terpencilnya tempat itu.

Encik Grisham sudah bersara daripada tentera laut sejak 1977 dan tinggal di Monterey, California, di mana isteri pertamanya meninggal dunia pada 2000. Beliau kemudian berkahwin lagi dengan isteri kedua, Carole Salazar di San Diego pada 2003. 

Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan