Images
  • bayi kembung perut
    Gambar hiasan

Bayi selalu kembung perut? Ini tip berkesan bagi merawat dan mencegahnya

PA&MA: Masalah perut bayi kembung dan sering mengeluarkan angin ada kalanya boleh mendatangkan kerisauan di hati ibu.

Secara purata seorang bayi akan mengeluarkan angin antara 13 hingga 21 kali setiap hari. Punca bayi kembung perut sering disebabkan masalah angin dan biasanya ia tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan khas.

Gas atau berangin adalah perkara biasa yang berlaku pada bayi berusia satu hingga empat bulan.

Keadaan tersebut disebabkan oleh sistem pencernaannya yang masih dalam proses perkembangan.

Banyak perkara boleh mengakibatkan bayi mengalami perut berangin. Bayi akan menelan udara ketika menangis, menghisap puting dan menyusu - sama ada terus daripada ibu atau botol susu.

Perut si kecil juga boleh menjadi berangin kerana menelan udara berlebihan apabila berada dalam posisi penyusuan yang salah, menyusu terlalu banyak atau mengalami sembelit.

Bagi ibu yang sedang menyusu, sesetengah makanan yang anda makan turut menjadi punca bayi mengalami perut kembung.

Berikut antara makanan sedemikian:

  • Makanan tinggi serat, terutamanya makanan yang mengandungi bran - lapisan luar bijirin yang keras
  • Buah seperti aprikot, pic, prun, pir dan plum
  • Buah sitrus
  • Sayuran hijau seperti brokoli, asparagus dan kubis
  • Sayuran berkanji seperti kentang
  • Makanan berkanji seperti pasta
  • Produk tenusu
  • Coklat, minuman soda dan kafein

TIP MEMBANTU BAYI PERUT KEMBUNG

1. Tukar peralatan penyusuan
Jika perut bayi menjadi berangin disebabkan penyusuan botol, cubalah pelbagai jenis puting susu dan kombinasi botol.

Puting lembut, berkontur di sepanjang bibir dan mulut bayi dapat membantu mengelakkan aliran udara berlebihan semasa bayi menyusu.

Pastikan juga aliran susu yang mengalir adalah perlahan untuk membolehkan bayi mempunyai cukup masa menyusu tanpa menghisap susu secara berlebihan.

Masa menyusu terbaik adalah antara 20 minit hingga 1 jam. Jika si kecil menghabiskan susu dalam tempoh 5 minit, bermakna mereka menghisap dengan cepat dan menelan udara berlebihan.

2. Posisi penyusuan
Semasa menyusu badan atau susu formula, kedudukan penyusuan juga memainkan peranan penting atau ia boleh menjadi punca bayi kembung perut.

Penting untuk memastikan kedudukan kepala si manja lebih tinggi berbanding perut mereka.

Kedudukan ini juga membantu susu bergerak ke bahagian bawah perut dan menolak udara ke atas yang membolehkan si manja bersendawa.

3. Sendawakan si manja
Salah satu cara terbaik untuk mengeluarkan gas yang terperangkap dalam perut bayi adalah dengan membedung si manja semasa menyusu dan selepas penyusuan.

Selain itu, sebaiknya tunggu bayi berehat semasa menyusu sebelum cuba menyendawakan mereka. Jika tidak mereka mungkin akan meragam, menangis dan akhirnya menelan lebih banyak udara.

Gunakan posisi sendawa yang paling selesa bagi mereka. Melakukan urutan juga dapat membantu menghilangkan gas pada bayi anda.

4. Pemilihan makanan bersesuaian
Jika bayi sudah mula mengambil makanan pejal, berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai makanan yang boleh menyebabkan gas tambahan.

Sekiranya melakukan penyusuan eksklusif, anda juga perlu menjaga pemakanan kerana apa yang dimakan turut menyumbang kepada punca bayi kembung perut.

Seandainya bayi meminum susu formula, cubalah untuk menukar jenama lain. Jika tidak pasti, berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu. 

- Agensi berita/SM/sm

Top