Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bayi 6 bulan ke atas disaran dapatkan suntikan vaksin influenza

Akademi Pediatrik Amerika menyarankan agar setiap bayi yang berusia lebih enam bulan mendapatkan suntikan vaksin selesema bagi musim 2018-2019 sebelum hujung Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi 6 bulan ke atas disaran dapatkan suntikan vaksin influenza

Gambar hiasan. (Gambar: Brian Snyder/Reuters)

Diterbitkan : 22 Oct 2018 06:02PM Dikemas Kini : 22 Oct 2018 06:10PM

WASHINGTON: Akademi Pediatrik Amerika menyarankan agar setiap bayi yang berusia lebih enam bulan mendapatkan suntikan vaksin selesema bagi musim 2018-2019 sebelum hujung Oktober.

Menurut kenyataan dasar yang diterbitkan dalam edisi bulan Oktober bagi Pediatrics, vaksin influenza yang diberikan dalam bentuk suntikan adalah vaksin paling sesuai untuk kanak-kanak. Vaksin ini, menurut laporan New York Times, juga selamat bagi kanak-kanak yang mempunyai alahan telur dan jenis alahan teruk yang lain.

Vaksin yang disemburkan ke dalam hidung didapati kurang berkesan sejak beberapa tahun lalu. Akademi Pediatrik Amerika menyarankan agar kaedah sedemikian tidak lagi digunakan kecuali bagi kes-kes di mana kanak-kanak enggan mendapatkan suntikan vaksin selesema. Vaksin itu bagaimanapun tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak yang berusia 2 tahun dan ke bawah.

Kanak-kanak yang berusia 9 tahun dan ke atas hanya memerlukan satu suntikan. Manakala mereka yang berusia antara 6 bulan hingga 8 tahun mungkin memerlukan dua suntikan, dengan suntikan kedua diberikan sekurang-kurangnya sebulan selepas suntikan pertama.

New York Times difahamkan bahawa adalah amat penting bagi kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan yang boleh meningkatkan risiko masalah disebabkan selsema supaya mendapatkan suntikan vaksin itu. Antara masalah kesihatan itu termasuk semput, kencing manis dan anemia sel sabit.

Wanita yang hamil juga boleh mendapatkan suntikan vaksin itu pada bila-bila masa saja semasa hamil dan mereka yang tidak menerima suntikan tersebut harus mendapatkannya secepat mungkin setelah bersalin. Pemvaksinan juga didapati selamat bagi kedua-dua ibu dan anak ketika ibu menyusukan bayi.

Influenza boleh menyebabkan kematian. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), seramai 180 kanak-kanak meninggal dunia akibat selesema sepanjang musim 2017 hingga 2018. Sekitar 80 peratus daripada mereka tidak menerima sebarang suntikan vaksin selesema, lapor New York Times.

Pengerusi Jawatankuasa Akademi Pediatrik Amerika bagi Penyakit Berjangkit, Dr Yvonne Maldonado, berkata: "Apabila kami memeriksa kanak-kanak yang meninggal dunia akibat selesema, kami mendapati bahawa separuh daripada mereka tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Ini bukan saja jangkitan biasa. Ini adalah salah satu punca utama seseorang dimasukkan ke hospital dan ia juga menyebabkan kematian."

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan