Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Baru berusia 7 tahun, kanak-kanak ini bergelar CEO dan simpan wang untuk kolej

Usianya baru mencecah 7 tahun, tetapi kanak-kanak lelaki ini sudahpun bergelar CEO, pengurus dan satu-satunya kakitangan syarikat kitar semula, Ryan’s Recycling Company.

Anggaran Waktu Membaca:
Baru berusia 7 tahun, kanak-kanak ini bergelar CEO dan simpan wang untuk kolej

Ryan Hickman, 7 tahun, CEO dan pengurus Ryan's Recycling Company. (Gambar: Facebook/Ryan Hickman)

Diterbitkan : 17 Mar 2017 11:47PM Dikemas Kini : 18 Mar 2017 12:01AM

CALIFORNIA: Usianya baru mencecah 7 tahun, tetapi kanak-kanak lelaki ini sudahpun bergelar CEO, pengurus dan satu-satunya kakitangan syarikat kitar semula, Ryan’s Recycling Company.

Di perniagaan yang ditubuhkannya sendiri itu, Ryan Hickman mempunyai 50 pelanggan dan sudah mengitar semula lebih 200,000 botol dan tin, lapor CNN.

Bahkan, inisiatifnya itu sudah mendapat perhatian personaliti televisyen, Ellen Denegeres.

Hasil perniagaannya itu, Ryan sudahpun mengumpul lebih AS$11,000 (S$15,400), dan jumlah itu dipadankan oleh rancangan ‘The Ellen Denegeres Show’ pada Januari lalu.

SIMPAN WANG UNTUK KOLEJ; MAHU BELI TRAK SAMPAH

Lebih membanggakan, wang simpanan yang dikumpulkan Ryan hasil titik peluhnya sendiri tersebut disalurkan kepada sebuah akaun untuk membiayai yuran kolejnya kelak.

Bahkan, Ryan juga merancang untuk membeli trak sampah dengan wang tersebut dan menjadi pengumpul sampah.

Menurut CNN, Ryan sudah menjalankan projek kitar semula itu sejak usianya baru berusia tiga setengah tahun.

Recycling Kid // 60 Second Docs

This 7-year-old made $21,000.

Posted by 60 Second Docs on Monday, 6 March 2017

Ketika itu, kanak-kanak tersebut mengunjungi pusat kitar semula rePlanet di California dan keesokan harinya, mengumumkan kepada bapanya: “Perniagaan baru saya! Saya akan mengumpul semua botol dan tin dari semua orang di kejiranan ini!”

Ditanya mengapa dia mahu menjalankan perniagaan itu, Ryan berkata: “Kerana botol-botol dicampak ke laut dan kemudian haiwan-haiwan di dalamnya menjadi sakit dan mati.”

SUMBANG DERMA KEPADA PUSAT MAMAL MARIN

Kanak-kanak ini bukan sahaja bijak berniaga, tetapi juga berhati murni.

Ryan mendermakan semua hasil untung dari jualan baju kemeja T jenamanya – lebih AS$3,700 (S$5,190) – kepada Pusat Mamal Marin Pasifik.

“Saya suka ke sana dan melihat singa laut, dan hasil wang yang kami dermakan, haiwan-haiwan itu mendapat ubat dan makanan,” katanya.

(Gambar-gambar: Ryan Hickman/Facebook)

Di kejiranannya, jiran-jiran Ryan sudah biasa melihat kanak-kanak itu mengetuk pintu rumah-rumah mereka untuk meminta bahan-bahan yang boleh dikitar semula.

Di sekolah pula, Ryan rajin membantu penjaga bangunan, Encik Jose, memisahkan sampah sarap.

HASIL INISIATIF SENDIRI

Bapa Ryan, Damion Hickman, memberitahu CNN bahawa seluruh projek kitar semula tersebut adalah inisiatif anaknya sendiri, kecuali beliau yang memandu kanak-kanak itu ke sana sini.

Beliau dan isterinya juga memberikan sokongan penuh kepada Ryan.

“Setiap tiga minggu kami akan ke pusat kitar semula, dan saya juga membantunya memisahkan antara kaca, aluminium dan plastik apabila bahan yang dikumpulkannya terlalu banyak,” katanya.

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan