Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Barista robot akan hidang kopi 'gourmet' kepada penumpang di 30 stesen MRT merata S'pura

Penumpang boleh buat pesanan menerusi app, dan secawan kopi panas akan siap menanti apabila mereka tiba di stesen MRT tujuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Barista robot akan hidang kopi 'gourmet' kepada penumpang di 30 stesen MRT merata S'pura

(Gambar: Crown Digital)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 10:05PM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 10:10PM

SINGAPURA: Menghirup secawan kopi yang menyegarkan mata adalah satu kenikmatan biasa buat ramai orang untuk memulakan hari mereka. Namun kadangkalanya dek kesuntukan masa, seseorang mungkin tidak sempat menjamah minuman itu sebelum melangkah keluar dari rumah.

Mujur tidak lama lagi, akan ada cara mudah untuk seseorang menikmati kopi kegemaran mereka dalam perjalanan, khususnya bagi penumpang stesen MRT.

ELLA, barista robot akan dilancarkan di 30 stesen MRT menjelang hujung 2022 dari ruang runcit kurang 5 meter persegi. Dengan menggunakan khidmat antara muka (interface) tanpa tunai dan kontak, robot itu boleh menghidangkan hingga 200 cawan kopi setiap jam.

Lebih menarik lagi, penumpang boleh membuat pesanan bagi minuman mereka terlebih dahulu menggunakan sebuah aplikasi dan mengambilnya setiba mereka di stesen MRT.

Sistem canggih ini adalah hasil kerjasama antara syarikat pengurus runcit Stellar Lifestyle dengan syarikat pemula F&B, Crown Digital, yang mengumumkan inisiatif itu pada Rabu (18 Ogos).

Stellar Lifestyle, cabang perniagaan SMRT yang dahulunya dinamakan SMRT Commercial, telah melabur dalam pusingan pendanaan pra-series A Crown Digital, yang mencipta barista robot itu.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pendanaan itu, robot itu akan ditempatkan di 30 stesen kereta api kendalian SMRT, menurut kedua-dua syarikat itu.

Presiden Stellar Lifestyle, Tony Heng, berkata: "Kami ingin meningkatkan pengalaman penumpang dengan menyegarkan ruang rangkaian pengangkutan awam SIngapura menggunakan konsep inovatif dan baru.

"ELLA adalah satu contoh jenis konsep gaya hidup yang kami cari secara aktif di stesen-stesen MRT merata negara."

Kerjasama itu adalah yang kedua antara Crown Digital dengan sebuah rangkaian kereta api. Pada Disember, ia menandatangani perjanjian untuk mengerahkan barista robot bagi uji cuba pasaran di stesen-stesen kereta api JR East di Jepun.

"Dengan pelaburan strategik ini, Crown Digital mempunyai pasaran sasaran seramai 1.4 juta penumpang setiap hari di Singapura. Kami sedang berusaha untuk menawarkan huraian unik ini secara komersil di peringkat global sambil memanfaatkan bakat teknologi canggih tempatan," kata CEO Crown Digital Keith Tan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan