Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Barang kemas Melayu yang menjadi 'fashion statement' zaman 1950-an hingga 1970-an

Sebut sahaja barang kemas Melayu seperti cincin buah kana, gelang papan, rantai emas bertatah intan dengan bentuk kerawangnya yang unik, anting-anting bintang dan kerongsang intan - semuanya beliau ada.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebut sahaja barang kemas Melayu seperti cincin buah kana, gelang papan, rantai emas bertatah intan dengan bentuk kerawangnya yang unik, anting-anting bintang dan kerongsang intan - semuanya beliau ada.

Orang yang kami maksudkan ini bukan seorang wanita. Tetapi seorang lelaki yang cukup berminat mengumpulkan barang-barang kemas Melayu yang berstatus vintaj. Hobi ini sudah beliau lakukan sejak lebih sedekad lalu.

Encik Rossman Ithnain, 57 tahun, boleh dikatakan antara segelintir sahaja lelaki yang menjadi pengumpul barang kemas wanita Melayu yang cukup bermutu dari era tahun-tahun 1950-an hingga 1970-an.

Namun lebih dari itu, beliau hakikatnya bukan setakat seorang 'collector', tetapi juga berusaha mengupas ketinggian cita rasa orang Melayu dalam dunia barang kemas era tersebut. Banyak kajian dibuat tentang barang kemas wanita Melayu, khususnya dengan mengumpul gambar-gambar lama sebagai bukti.

"Bila saya membeli sesuatu barang kemas di dalam koleksi saya, apa yang saya minat adalah kualiti pembuatannya (craftsmanship). Bagi saya konteks dan naratif koleksi itu mustahak. Ia seharusnya mencerminkan tentang kehidupan dan budaya orang Melayu waktu itu," kongsi Encik Rossman kepada BERITAmediacorp.

Menurut beliau lagi, barang kemas yang popular di kalangan orang Melayu saat itu mempunyai ciri-ciri unik yang sangat menyerlah.

Itulah yang juga menjadi 'fashion statement' orang Melayu zaman tersebut - sekali gus mencerminkan cita rasa tinggi orang Melayu.

Gelang bertatahkan intan. 

Encik Rossman mempunyai koleksi cukup besar untuk dijadikan sebagai rujukan. Itulah yang ditunjukkan kepada BERITAmediacorp bagi wawancara ini. Berpuluh, jika tidak beratus keping barang kemas yang dapat kami tatap. Harganya secara terkumpul mungkin mencecah ratusan ribu dolar.

Jika anda peminat barang kemas sedemikian, anda pasti rambang mata dan seronok menikmati halwa mata ini.

Motif barang kemas dalam koleksinya cukup pelbagai dengan desain yang rumit dan pembuatannya sangat halus. Cukup malar segar dan tak jemu dipandang mata.

INTAN SEBAHAGIAN 'FASHION STATEMENT' ORANG MELAYU

Sememangnya mengenali barang-barang kemas itu, semestinya membawa kita lebih mengenali masyarakat Melayu itu sendiri pada dekad-dekad silam, kata Encik Rossman.

Di balik kilauan-kilauan emas yang disimpan, terkandung cebisan-cebisan sejarah orang Melayu.

Contohnya, pada tahun-tahun 1950-an hingga 1960-an khususnya, pemakaian barang kemas bertatahkan intan begitu popular.

Rantai bertatahkan intan. 

"Intan adalah permata yang berkilat. Kelihatan bersinar bila kita memakainya, bercahaya, nampak cantik. Dari segi bahan, (ia) sejenis berlian cuma perbezaannya adalah cara ia dipotong. Di bawahnya agak leper, mendatar. Di permukaan, bentuk seginya tidak banyak. Tiga atau enam," terang Encik Rossman tentang apa itu intan, yang menurutnya seolah-olah menghilang pada 1970-an, seiring dengan evolusi fesyen.

Beliau percaya, intan menjadi popular waktu itu kerana ia banyak dibawa masuk daripada Martapura, Kalimantan oleh para pedagang. Tambahan lagi, disebabkan potongan intan yang agak berbeza daripada berlian, "harganya terjangkau" untuk masyarakat Melayu ketika itu.

Barang kemas yang bertatahkan intan termasuklah, anting-anting, cincin, rantai, gelang dan kerongsang.

CINCIN IKONIK 1960-AN

Cincin buah kana pula merupakan jenis cincin yang sering disarung wanita Melayu semasa zaman 1950-an hingga 1960-an, menurut beliau.

Dengan reka bentuknya yang memanjang persis biji buah kana, ia lazimnya berukuran antara 1.5cm dengan 4cm.

"Cincin itu kata orang memang cincin yang paling ikonik waktu 60-an walaupun ia digunakan dari 50-an hingga ke awal 70-an," jelas Encik Rossman.

"Kalau dalam Bahasa Inggeris mungkin dipanggil 'marquise cut', tapi di Singapura diberi nama lokal, cincin buah kana kerana memang bentuknya mirip buah kana."

Pilihan paling popular pada zaman itu adalah cincin buah kana yang menggunakan batu Ceylon berwarna biru.

"Di tepinya, iaitu garis bentuk buah kananya pula ada intan."

Batu ceylon, menurut Encik Rossman, adalah batu-batu yang berasal dari Sri Lanka. Ia terdiri dari bermacam-macam warna tetapi yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu adalah warna biru dan merah jambu.

"Kalau warna lain - seperti nilam, rubi merah dan juga hijau seperti zamrud - itu agak 'rare'," tambah beliau.

GELANG PAPAN DENGAN JUNTAIAN BEBOLA

Gelang ala-ala 'Wonder Woman' turut sudah dipakai wanita Melayu pada zaman 1950-an dan 1960-an.

Perhiasan diri dikenali sebagai gelang papan itu tebal dan cukup tersendiri dengan bebola-bebola emas terjuntai mengiringi bahagian tepinya.

"Itu (bola-bola emas) memang ciri gelang papan yang dibuat waktu itu. Paling lebar mungkin saya fikir ada sembilan bola," ulas Encik Rossman.

Bermakna, semakin tebal gelang papan itu, maka semakin ada banyak bola emas di sisinya. Ini kerana setiap bola emas dipasang bagi setiap baris emas pada gelang papan. Jika gelang papan itu ada sembilan bola emas di hujungnya, ia terdiri daripada sembilan 'baris' emas!

"Kalau kita memakai gelang yang setebal itu - 100 gram, bila kita ke apa-apa pun majlis kelihatan 'wah kencang seh kakak ini pakai gelang itu cantik'!" cerita Encik Rossman mengimbas senario yang mungkin biasa kelihatan pada dekad-dekad tersebut.

KAUM ADAM PUN PAKAI BARANG KEMAS

Begitu mendalam minatnya terhadap barang kemas Melayu, Encik Rossman banyak mencari dan menggali gambar-gambar lama dan majalah-majalah lama zaman meledaknya dunia keemasan perfileman Melayu Jalan Ampas untuk dijadikan rujukan.

Ternyata seolah-olah tiada konsep minimalis dalam pemakaian barang kemas bagi orang Melayu, terutama sebagai pengantin. Kaum wanita akan memakai barang kemas secara berlapis-lapis. Misalnya, rantai di atas rantai atau memakai lebih daripada satu rantai.

Koleksi gambar-gambar lama milik Encik Rossman. 

Sepatah kata Encik Rossman, mempelai wanita memakai barang kemas 'bertepek-tepek'!

"Kalau rantai, dua atau tiga utas dipakai sekaligus. Begitu juga bagi gelang tangan. Dua atau tiga pasang dipakai pada setiap tangan. Juga cincin, semua jari memakai," terang beliau sambil duduk di sebelah wartawan menunjukkan paparan barang kemas dalam gambar-gambar lama.

Malah ini bukan terhad kepada pengantin perempuan. Kaum lelaki juga Encik Rossman dapati, cukup rancak memakai barang kemas demi menghidupkan konsep "raja sehari".

"Persandingan waktu (tahun-tahun) 50-an dan 60-an, songkok yang dipakai akan selalu dihiasi dengan kerongsang dan juga termasuk rantai. Saya pernah tengok yang songkok mereka ada kedua-duanya sekali jadi penampilannya agak istimewa untuk hari itu," kata Encik Rossman kepada BERITAmediacorp sambil menunjukkan beberapa keping gambar sebagai buktinya.

SUDAH MASANYA HIDUPKAN KEMBALI BARANG KEMAS LAMA

Begitulah antara gaya dan cita rasa yang ditonjolkan orang Melayu dalam penggunaan perhiasan badan.

Encik Rossman berkata mungkin sudah tiba waktunya untuk mengangkat kembali populariti barang-barang kemas Melayu yang punya desain-desain unik seperti ini.

Kerongsang yang digunakan Kaum Hawa mahupun Adam. 

"Yang paling mustahak membawa balik kesedaran dan kefahaman anak-anak muda masa kini tentang kewujudan barang-barang kemas vintaj tahun 50-an hingga 60-an terutama barang kemas intan," tegas Encik Rossman.

Beliau berpandangan, minat generasi masa kini terhadap barang kemas zaman dahulu belum lagi berputik. Ini mungkin kerana koleksi dahulu disangkanya sebagai 'off beat' (lapuk ditelan zaman).

"Mereka tidak kenal maka tak cinta. Betapa cantiknya barang kemas di waktu itu mempunyai ciri-ciri yang unik, yang jarang didapatkan sekarang ataupun dari segi pembuatannya, sangat menyerlah pada waktu itu."

Encik Rossman juga berharap, sekiranya ada yang tertarik untuk mula mengumpul barang kemas vintaj, mereka tidak melakukan demikian kerana harganya sahaja.

"Mereka harus memahami tentang latar belakang barang kemas dan mengapa ia digunakan oleh wanita melayu," hujah beliau.

IBARAT 'TELANJANG' TAK PAKAI BARANG KEMAS

Pada akhirnya, memang, barang kemas cukup sinonim dengan masyarakat Melayu, khususnya emas.

Pada era 1950-an hingga 1970-an, iaitu ketika fesyen kebaya ketat sedang popular, barang kemas menjadi sebahagian etika dan pemakaian busana Melayu.

Antara koleksi majalah dan gambar milik Encik Rossman. 

"Orang wanita bila dah berbusana ketika itu harus memakai barang kemas. Nenek saya dia cakap dahulu, kalau tidak pakai (barang kemas), rasa macam telanjang pergi ke acara pernikahan," kata Encik Rossman, yang turut mengumpul banyak lagi barangan antik dan vintaj lain seperti pinggan-pinggan lama serta barangan tembaga dan perak lama.

Dalam soal pengumpulan barang kemas, beliau juga mempunyai minat mendalam terhadap warisan dan sejarah Singapura.

Karyawan bidang perhubungan dalam sebuah syarikat gergasi itu berkongsi bahawa barang kemas emas penting kerana boleh digadaikan pada masa-masa sukar atau masa-masa memerlukan.

"Ini saya cakap ini tentang tabungan. Jadi bila masa memerlukan wang, senang dipajak dan mendapat wang.

"Jadi kalau kita hendak 'wang tunai kecemasan', nak gunakan untuk naik haji ke, nak untuk ke doktor pun, maksud saya anda boleh dapatkan wang dengan segera," cerita beliau.

Memakai barang kemas juga memang menjadi suatu norma dalam kalangan masyarakat Melayu sehinggakan tak dapat rotan, akar pun berguna juga. Tidak dapat memakai barang kemas emas yang asli, yang 'celup emas' pun boleh juga.

Lantaran itu, pada suatu ketika, khidmat 'celup emas' cukup menjadi suatu kelaziman.

Perhiasan diri di atas ini bukan diperbuat daripada emas.

"Bukan semua orang berupaya membeli barang-barang kemas yang mahal. Maka itu ada amalan mencelup perhiasan diri yang bukan emas untuk diwarnakan jadi emas.

"Sebagai contoh, ada barang kemas yang aslinya diperbuat daripada tembaga dan perak tetapi dihantar ke kedai untuk dicelup. Kalau tidak salah saya di Joo Chiat, ada kedai-kedai yang mempunyai khidmat sedemikian waktu itu," jelas Encik Rossman lagi.

Memang Encik Rossman cukup mahir tentang cerita orang Melayu dan barang kemasnya.

Menurut beliau, barang kemas Melayu seperti rantai, gelang dan kerongsang intan masih sesuai dipakai dengan busana moden.

Dalam wawancara bersama kami ini, beliau juga menyelitkan satu harapan dalam usaha memartabatkan barang kemas intan era 1950-an hingga 1970-an itu:

"Jadi kita boleh adakan pameran yang menjelajahi busana waktu itu dan juga barang-barang kemas yang saya katakan tadi.

"Dengan itu, justru mungkin akan ada kesedaran pada barang kemas vintaj kita." 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan