Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bapa 'diketepikan', kurang sokongan emosi selepas kelahiran bayi

Dalam kajian mengenai pelibatan bapa dalam pengasuhan anak mereka dan cabaran yang dihadapi kaum bapa Singapura yang dijalankan buat julung-julung kalinya, para penyelidik mendapati para bapa baru di negara ini mempunyai pengetahuan dan latihan oleh pakar jagaan kesihatan yang tidak mencukupi.

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa 'diketepikan', kurang sokongan emosi selepas kelahiran bayi

Ramai bapa "diketepikan" kerana kebiasaan masyarakat. (Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 28 Jul 2019 12:13AM Dikemas Kini : 28 Jul 2019 12:18AM

SINGAPURA: Kaum bapa Singapura ingin memainkan peranan aktif dalam pengasuhan cahaya mata mereka tetapi mereka dibelenggu pelbagai rintangan.

Dalam kajian mengenai pelibatan bapa dalam pengasuhan anak mereka dan cabaran yang dihadapi kaum bapa Singapura yang dijalankan buat julung-julung kalinya, para penyelidik mendapati para bapa baru di negara ini mempunyai pengetahuan dan latihan oleh pakar jagaan kesihatan yang tidak mencukupi. Ini kerana usaha-usaha sedemikian masih tertumpu kepada kaum ibu.

Ramai bapa "diketepikan" kerana kebiasaan masyarakat. Para ibu dan anggota keluarga yang lebih tua, seperti ibu bapa mentua, percaya bahawa mereka lebih berupaya untuk menjaga zuriat yang baru dilahirkan.

Situasi ini "unik" khususnya dalam kalangan kaum bapa di Singapura dan Asia, menurut ketua penyelidik kajian tersebut, Dr Shefaly Shorey dari Pusat Alice Lee bagi Pengajian Kejururawatan. Hasil kajian itu didedahkan pada Sabtu (27 Julai).

"Satu perkara unik dalam konteks Asia adalah, terdapat keluarga luas atau pengasuh yang menjaga bayi semasa waktu bersalin. Kami mendapati dengan kehadiran ibu bapa mentua, para bapa tidak digalakkan terlibat dalam penjagaan bayi kerana orang lain kelihatan lebih tahu tentang pengasuhan bayi," kata Dr Shorey.

KURANG KAJIAN KE ATAS BAPA

Kajian ke atas pelibatan para bapa dalam penjagaan bayi dalam konteks Asia kurang dilakukan, tambah Dr Shorey.

Tinjauan tersebut, yang dibiayai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), dijalankan ke atas lebih 200 bapa berusia antara 21 hingga 52 tahun.

Antara Oktober 2016 hingga Mac 2018, para penyelidik juga melakukan tinjauan kualitatif, melibatkan 50 bapa dalam tempoh seminggu dan enam bulan selepas kelahiran bayi. Ini termasuk mengendalikan sesi-sesi interviu terperinci dan lawatan ke rumah.

BAPA JUGA BERASA MURUNG KERANA 'TIDAK DIJAGA'

Isu-isu seperti kekurangan dari segi sokongan emosi dan keperluan seksual yang tidak dipenuhi juga timbul pada suatu masa menyusuli kelahiran cahaya mata mereka.

Selepas enam bulan, sekurang-kurangnya seorang bapa dilaporkan mengalami risiko kemurungan, menurut kajian tersebut.

Para bapa juga didapati mendambakan hubungan seksual. Malah ada sebilangan bapa yang mempersoal bagaimana mereka boleh menyambung hubungan intim dengan pasangan mereka.

Semasa ditemui Mediacorp, sebilangan bapa yang tidak terlibat dalam kajian itu berkata mereka menghadapi kesukaran melahirkan keperluan emosi mereka memandangkan kebiasaan masyarakat menuntut mereka supaya bersikap gagah.

Mereka juga berkata mereka sering disuruh untuk menjalankan tugas-tugas harian seperti membeli lampin, susu tepung dan barang runcit. Ini merupakan pengalaman lazim yang juga dikongsi para bapa dalam kajian tersebut.

KURANG LATIHAN

Selain keperluan emosi dan seksual para bapa yang tidak dipenuhi, kajian itu juga mendapati para bapa berasa tertekan sedang keperluan bayi mereka berubah.

Enam bulan selepas bayi mereka dilahirkan, para bapa dalam kajian itu melaporkan kekurangan dari segi bantuan dari pakar jagaan kesihatan. Bayi yang menangis tanpa henti dan keadaan berjaga pada sebelah malam menyumbang kepada kelelahan dan tekanan.

Dr Shorey mendedahkan bahawa para bapa lazimnya mempunyai pengetahuan "teori", tetapi mereka menghadapi kesukaran dari segi aspek "praktikal", termasuk dalam perkara-perkara seperti cara mendukung bayi dan menukar lampin.

Dr Shorey berkata para bapa berpendapat mereka tidak diberi latihan kemahiran pratikal, dan pakar-pakar jagaan kesihatan sering menggunakan "anak patung untuk tujuan latihan".

Menurut beliau latihan jagaan bayi yang lebih praktikal boleh diadakan dengan lebih kerap dalam tempoh sebelum dan selepas kelahiran.

TINGATKAN SUMBER-SUMBER

Setakat ini ada sumber-sumber yang menyediakan bantuan kepada para bapa. Pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah (NGO) seperti 'Centre for Fathering' menjalankan bengkel-bengkel dan menyediakan maklumat secara online kepada bapa-bapa baru.

NGO itu juga menubuhkan gerakan bapa nasional, 'Dads for Life', pada 2009 untuk menggalakkan pelibatan para bapa secara aktif dalam pengasuhan anak mereka.

Namun Dr Shorey berkata sumber-sumber sedemikian boleh ditawarkan dengan lebih "menonjol" dan lebih mudah diakses.

"Kami mendapati tiada iklan untuk kelas-kelas jagaan bayi, dan hanya segelintir orang yang melihatnya... Saya terkejut kerana sebilangan bapa tidak sedar sama sekali (bahawa ada kursus-kursus sedemikian)," tambah beliau.

Meskipun sudah ada kursus-kursus bagi ibu bapa dengan bayi yang belum dilahirkan, Dr Shorey berkata kelas-kelas jagaan bayi harus bersifat lebih inklusif terhadap kaum bapa, dan bukan sekadar tertumpu pada wanita dan bayi.

Ini boleh dilakukan dengan mengadakan kursus-kursus khusus untuk para bapa, dengan sekurang-kurangnya satu kelas tertumpu kepada peranan bapa. "Bapa-bapa berpengalaman boleh mengongsi pengalaman dan cabaran yang mereka hadapi, dan juga menubuhkan kumpulan-kumpulan tumpuan dan kumpulan sokongan setelah itu," kata Dr Shorey.

Beliau berkata pada dasarnya penting untuk mewujudkan kesedaran dalam setiap lapisan masyarakat dan membiasakan kenyataan bahawa keperluan bapa sama pentingnya dengan keperluan ibu.

"Para bapa perlu berasa bahawa mereka memainkan peranan penting dalam jagaan bayi dan mereka bukan sekadar memainkan peranan sampingan," kata beliau.

Sumber : Today/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan