Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bank S'pura perkenal kaedah baru beri hongbao menerusi wadah online

Tradisi memberi 'hongbao' sudah diamalkan sejak sekian lama dalam budaya kaum Cina terutama sekali sempena menyambut perayaan Tahun Baru mereka. Bank-bank dan syarikat mencetak pula lazimnya akan menghasilkan dan mengagihkan 'paket merah' kepada para pelanggan masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Feb 2019 06:01PM Dikemas Kini : 06 Feb 2019 12:15AM

SINGAPURA: Tradisi memberi 'hongbao' sudah diamalkan sejak sekian lama dalam budaya kaum Cina terutama sekali sempena menyambut perayaan Tahun Baru mereka. Bank-bank dan syarikat mencetak pula lazimnya akan menghasilkan dan mengagihkan 'paket merah' kepada para pelanggan masing-masing.

Namun dengan kemajuan teknologi, keluarga-keluarga Cina sudah mula mengubah cara mereka memberi hongbao - iaitu memberi secara online - dan ia kini semakin menjadi satu trend.

Sejak tahun lalu, Bank DBS mencatatkan peningkatan enam kali ganda dalam penggunaan aplikasi "paket merah" elektroniknya. Aplikasi itu membolehkan para pelanggan DBS memberi dan menerima wang secara online tanpa menggunakan sampul duit fizikal.

Bank-bank lain seperti Standard Chartered dan Citibank juga sedang menggalak para pelanggan untuk memberi hongbao melalui wadah PayNow.

Bukan itu sahaja, Bank DBS mempergiat usahanya dengan mencuba cara baru memberi hongbao iaitu melalui kod QR. Menurut syarikat itu, kaedah yang diperkenalkannya merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Para pengguna boleh menokok wang melalui kod QR yang unik dan memberikan kod tersebut kepada orang lain.

Mereka yang menerima kod QR itu kemudian boleh mengimbas kod berkenaan. Jumlah wang 'tersimpan' dalam kod tersebut akan seterusnya dipindahkan ke dalam dompet mudah alih DBS atau PayLah! mereka.

Hotel Jen di Tanglin juga menggabungkan teknologi dengan tradisi. Ia bekerjasama dengan sebuah badan amal untuk menghasilkan aplikasi memberi hongbao.

Namun, adakah inovasi dan teknologi akan menggantikan sampul duit pada masa hadapan?

Seorang pencetak sampul duit yang ditemui Mediacorp percaya bahawa perkara itu tidak mungkin berlaku kerana para pelanggan masih tertarik kepada pelbagai jenis sampul duit yang dihasilkan.  

Sumber : CNA/RU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan