Images
  • Bangkok
    Ibu kota Thailand, Bangkok, mengatasi Paris dan London sebagai bandar paling popular dikunjungi di dunia. (Gambar fail: Adrees Latif/Reuters)

Bangkok bandar paling dikunjungi, tewaskan Paris dan London

BANGKOK: Ibu kota Thailand, Bangkok, mengatasi Paris dan London sebagai bandar paling popular dikunjungi di dunia, menurut tinjauan yang dikeluarkan pada Rabu (4 Sep).

Ranking itu berita baik bagi Thailand setelah mengalami kemerosotan pada jumlah kedatangan warga asing ke negara itu.

Bangkok dinamakan sebagai bandar paling dikunjungi buat empat tahun berturut-turut, dengan sekitar 22.8 juta orang dilaporkan mengunjungi bandar tersebut dalam ranking tahunan yang dijalankan oleh MasterCard Inc.

Paris dan London menduduki tangga kedua dan ketiga, dengan masing-masing menerima sekitar 19.1 juta pengunjung.

Ia disusuli dengan Dubai yang menyambut kedatangan 15.9 juta pengunjung.

Bandar-bandar Asia Tenggara seperti Singapura dan Kuala Lumpur menduduki tempat keempat dan kelima, berdasarkan kajian pihak ketiga, analisis proprietari dan data awam merangkumi 200 bandar destinasi.

New York, Istanbul, Tokyo dan Antalya di Turki juga menduduki antara 10 tangga teratas.

Jumlah pengunjung antarabangsa di 200 bandar tersebut meningkat sebanyak 76 peratus sepanjang 10 tahun lalu.

Sektor pelancongan membentuk sekitar 12 peratus daripada ekonomi Thailand.  

- Reuters/AI/ai

Top