Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bahaya tekanan darah rendah

Anda mengenali seseorang yang sering pening kepala dan tiba-tiba pengsan? Atau anda pernah mengalaminya sendiri? Ini adalah salah satu gejala masalah tekanan darah rendah.

Anggaran Waktu Membaca:
Bahaya tekanan darah rendah

(Gambar hiasan: Marcelo Leal/Unsplash)

Diterbitkan : 14 Oct 2019 03:12PM Dikemas Kini : 14 Oct 2019 03:21PM

AGENSI: Anda mengenali seseorang yang sering pening kepala dan tiba-tiba pengsan? Atau anda pernah mengalaminya sendiri? Ini adalah salah satu gejala masalah tekanan darah rendah.

Menurut Sinar Harian, tekanan darah rendah tidak hanya berlaku kepada ibu hamil. Ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Julat tekanan darah yang normal adalah antara bacaan 90/60 milimeter merkuri (mmHg) hingga 140/90mmHg. Tekanan darah pesakit lebih rendah daripada bacaan normal.

Jika tekanan darah kurang daripada bacaan itu, pesakit akan mengalami masalah pening kepala dan pengsan. Namun, jika ia lebih daripada julat tersebut, pesakit dikatakan mengalami tekanan darah tinggi.

Tidak semua pesakit menunjukkan simptom tekanan darah rendah. Ia mungkin disebabkan bacaan tekanan darah sebelum ini sudah rendah.

Bacaan rendah biasanya dialami kaum wanita, kurus dan faktor keturunan.

Simptomnya termasuk:

  • Rasa berdebar-debar
  • Pening kepala
  • Badan menjadi lemah
  • Pengsan
  • Sesak nafas
  • Pandangan menjadi berpinar ataupun kabur
  • Merasakan badan sejuk
  • Muka pucat

Beberapa punca sebenar yang boleh menyebabkan tekanan menjadi terlalu rendah adalah:

1. MASALAH JANTUNG

Jantung berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Jika organ itu mengalami masalah, ia akan menyebabkan tekanan darah menjadi rendah. Beberapa penyakit yang menyebabkan masalah pada jantung adalah serangan sakit jantung, injap jantung bermasalah, jantung berdenyut tidak normal, lemah jantung, keradangan pada otot jantung.

2. MASALAH ENDOKRIN

Sistem endokrin adalah sistem yang melibatkan penghasilan hormon dalam badan. Ia boleh mempengaruhi pelbagai organ lain dalam badan termasuk jantung, buah pinggang dan sebagainya, lapor Sinar Harian.

Beberapa masalah yang boleh menyebabkan tekanan darah rendah disebabkan masalah endokrin adalah Diabetic Ketoacidosis (masalah kencing manis dan gula dalam darah sangat tinggi) dan Addison’s Disease (tidak dapat menghasilkan hormon yang cukup untuk mengekalkan kandungan gram dalam darah.

3. KURANG AIR

Masalah yang menyebabkan muntah-muntah dan boleh membuatkan seseorang itu kekurangan air dalam badan. Terutamanya jika pesakit tidak boleh minum air disebabkan asyik muntah.

Masalah itu akan menyebabkan isipadu darah semakin kurang dan tekanan darah turut menjadi kurang.

4. PENDARAHAN

Pendarahan yang teruk juga akan menyebabkan isipadu darah menjadi berkurangan. Pesakit kehilangan darah memerlukan ia diganti semula.

5. JANGKITAN KUMAN TERUK (SEPSIS)

Jika kuman mencemari darah, ia boleh menyebabkan satu keadaan yang dinamakan sebagai sepsis. Jika tidak dirawat dengan cepat, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah dan keadaan itu dipanggil sebagai Septic Shock dan boleh membawa kepada maut.

Jangkitan yang boleh berlaku dengan teruk adalah jangkitan paru-paru, jangkitan pada kulit (cellulitis), jangkitan pada tempat buang air kencing atau kencing kotor dan banyak lagi.

SIAPA LEBIH BERISIKO?

  • Pesakit yang berumur lebih 65 tahun dan mempunyai pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.
  • Pesakit yang mengambil ubat tekanan darah.
  • Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan pernah mengalami serangan sakit jantung. 

Rawatan masalah tekanan darah rendah adalah berdasarkan punca-punca yang dinyatakan. Punca yang berlainan memerlukan rawatan lain, lapor Sinar Harian lagi. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan