Images
  • social media
    Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: AFP/ Kirill Kudryavtsev)

Bahaya belia buru 'likes' di media sosial

SINGAPURA: Menghabiskan lapan jam melayari aplikasi media sosial seperti TikTok, tujuh jam di Instagram dan dua jam di YouTube.

Itulah secara purata masa yang diluangkan Lukas Koshy, 21 tahun, setiap hari di platform sedemikian.

Lukas juga berkongsi bahawa beliau kini kurang tidur kerana sibuk menghasilkan kandungan-kandungan untuk menghiburkan generasi sepertinya.

Beliau berkongsi bahawa kebanyakan hari beliau hanya tidur lima jam sehari.

"Tidak sihat," akuinya. Bagaimanapun, beliau merasakan caranya ini tidak perlu diubah.

Seorang lagi anak muda yang "ketagih" dengan app sebegini ialah murid Darjah 5, Aina Sofia Sirajuddin.

Beliau berkongsi bahawa semasa dirinya terlalu taksub dengan wadah sebegitu pada pertengahan tahun lalu, beliau akan memuatnaikkan sehingga 15 video sehari.

"Saya tidak dapat berhenti melakukannya dan saya akan mendapat lebih 'likes' yang membuat saya rasa seperti saya semakin popular," katanya.

Budaya yang dipupuk media sosial sebegini dan juga sikap memburu 'likes', mendapat tumpuan selepas Instagram baru-baru ini mengumumkan pihaknya akan memperluaskan ujian untuk menyembunyikan kiraan 'likes' bagi setiap catatan.

Langkah yang dimulakan di Kanada itu akan kini diperluaskan ke enam lagi negara. Ketua baru Instagram Encik Adam Mosseri berkata: "Kami tidak mahu Instagram menjadi satu persaingan. Kami mahu orang ramai kurang rasa risau tentang berapa banyak 'likes' diterima di Instagram dan meluangkan lebih banyak masa dengan orang-orang tersayan."

Namun begitu, ramai yang mempersoalkan jika percubaan wadah milik Facebook itu untuk mengubah budaya pengguna, terutama sekali golongan belia, sudah terlalu lambat.

Dalam respons kepada soalan-soalan diajukan media, seorang jurucakap Instagram berkata: "Kami mahu Instagram menjadi ruang yang mana orang ramai rasa selesa meluahkan perasaan. Ini termasuk membantu mereka memberi tumpuan kepada gambar dan video yang dikongsi dan bukan berapa 'likes' yang diterima."

Pakar sosiologi dari Universiti Nasional Singapura (NUS) Tan Ern Ser berkata bahawa bagi ramai anak muda yang membesar dengan media sosial, kehidupan online "boleh membentuk sebahagian besar daripada sekitaran sosial mereka".

Beliau menambah: "Saya percaya ada daripada anak-anak muda ini membayangkan diri mereka sendiri sebagai personaliti media sosial."

Dr Vincent Chua, seorang profesor madya dalam bidang sosiologi di NUS berkata budaya 'likes' media sosial ada kaitan dengan kehendak golongan muda untuk rasa diri mereka diterima terutamanya oleh kawan-kawan, serta populariti dan rasa ingin dikenali.

Setiap anak muda pasti mahu kelihatan "cool" dan popular semasa mereka membesar tetapi jika kemahuan ini di tahap ekstrem, ia boleh membawa kepada sikap-sikap pemikiran yang cetek, kurang keyakinan diri dan yang paling merisaukan adalah budaya membandingkan diri antara satu sama lain secara tidak sihat, kata para pakar sosiologi. 

- TODAY/RU/ru

Top